Idealis Mahasiswa
 
 

Star Wars Dalam Percaturan Politik Dunia


Hit = [ ]

oleh: MUHAMAD MAT YAKIM
sumber - Bacaria Rabu 25 Mei 2005

"IF you're not with me, then you're my enemy!"

Itulah dialog yang paling menarik perhatian saya daripada filem Star Wars: Episode III - Revenge of The Sith yang menyerang pawagam-pawagam seluruh dunia sejak minggu lalu.

Kata-kata itu dituturkan oleh Anakin Skywalker yang begitu marah terhadap gurunya, Obi-Wan Kenobi yang enggan bersekongkol dengannya berpindah ke Dark Side atau menjadi paksi kejahatan.

Keengganan Obi-Wan untuk bersekutu dengan Anakin langsung mencetuskan sengketa hidup dan mati antara mereka. Anakin yang telah diangkat menjadi Lord Darth Vader terpaksa berseteru dengan guru Jedinya itu.

Sedangkan sebelum itu, Obi-Wanlah yang telah mendidik Anakin yang dianggap seperti adiknya sendiri. Dan Anakin sendiri sememangnya sangat menyayangi Obi-Wan.

      

Namun atas sebab tertentu - yang mungkin boleh disama ertikan dengan kepentingan politik atau kuasa - dialog seperti itu terpaksa diungkap oleh Anakin terhadap orang yang paling dia sayang sebelumnya.

Kuasa atau politik sememangnya tidak memberi pilihan kepada mereka yang menatangnya. Itulah juga barangkali isu yang bermain dalam minda George Lucas sehingga mengilhamkan skrip yang dituturkan antara dua watak lakonan Hayden Christensen (Anakin Skywalker) dan Ewan McGregor (Obi-Wan) itu.

Malah, kalaulah mahu disamakan, negaranya sendiri, Amerika sudah begitu masyhur dengan tindakan-tindakan yang seerti dengan amaran Anakin terhadap Obi-Wan. Motifnya juga serupa - mengajak menjadi jahat. Bersekongkol dengannya sebagai PEMBULI untuk terus mendominasi politik dan ekonomi dunia sehingga hari Kiamat !

Bunuh

Jika tidak, "kita adalah musuh" dan "bersiap sedialah untuk terima padah !"

Menabalkan diktator yang pada mulanya dianggap boleh dicucuk hidung sampai bila-bila tetapi kemudiannya menjadi terlalu berkuasa hingga hilang kawalan merupakan tanda piawaian bagi campur tangan Amerika dalam politik di beberapa buah negara Afrika, Amerika Latin dan negara-negara Teluk.

Tokoh yang paling sohor dalam balada penderhakaan itu tentunya Saddam Hussein.

Dunia tahu bahawa sejarah keakraban Saddam dengan Amerika sudah berbenih lama iaitu sejak awal pembabitannya dalam politik. Pada tahun 1959, ketika baru berusia 22 tahun, Saddam terlibat komplot membunuh Perdana Menteri Iraq waktu itu, Abdul Qassem, tokoh Arab yang tidak disenangi Amerika. Dia bagaimanapun ditembak dan ditangkap tetapi berjaya melarikan diri ke Syria dan seterusnya Mesir.

Setelah kembali semula ke negaranya ketika Iraq diperintah oleh partinya, Baath, pada tahun 1964, Saddam terlibat pula dalam usaha menjatuhkan Presiden Abdul Salam Arif. Akhirnya pada tahun 1979, Saddam diangkat menjadi pemimpin Iraq, sudah tentu dengan bantuan Amerika !

Setahun kemudian, apabila angkatan revolusi Islam pimpinan Ayatollah Khomeini berjaya menjatuhkan dinasti Phalevi dan menguasai Iran, Saddam sebagai budak suruhan Amerika yang paling setia terus menyerang negara Syiah itu dalam usaha untuk mengekang pengaruh revolusi Islam dari terus merebak ke negara Teluk yang lain, terutama Iraq yang majoriti rakyatnya adalah bermazhab Syiah.

      

Iran sebelum revolusi - semasa zaman Shah - sememangnya adalah sekutu Amerika.

Angkatan tenteranya dibekalkan dengan senjata buatan Amerika yang paling canggih.

Bagaimanapun apabila Ayatollah mengambil alih dan dapat pula menakluk kesetiaan pihak tentera, Amerika terpaksa menjadikan Iraq sebagai perisainya di Asia Barat untuk menyekat kebangkitan pengaruh revolusi Iran. Ini sekaligus menyaksikan dua negara Teluk itu menjadi medan perang yang amat dahsyat selama lapan tahun.

Bagaimanapun serangan Iraq ke atas Kuwait - satu lagi negara sekutu Amerika yang paling rapat dan menjadi lubuk ekonomi bagi pedagang-pedagang minyak dari negara Uncle Sam itu - pada tahun 1990 telah menyebabkan Amerika tidak teragak-agak menuduh Saddam sebagai penderhaka.

Saddam, seorang pemimpin yang asalnya berfahaman sosialis, tiba-tiba menjadi begitu Islamik demi menarik sokongan negara-negara Islam menyokong perjuangannya mempertahankan kedudukan yang dilabelkan sebagai jihad dalam menentang angkatan kuffar diketuai Amerika.

Dalam episod pertama Perang Teluk yang dikepalai Presiden Amerika, Bush Sr., Saddam berjaya mempertahankan kedudukan meskipun negaranya dikenakan sekatan ekonomi dan pelbagai tekanan oleh pihak antarabangsa yang didominasi pengaruh Amerika.

    

Tersungkur

Bagaimanapun dalam Perang Teluk fasa kedua yang diambil alih terajunya oleh Bush Jr., tanggal 1 April 2003 menyaksikan Saddam tersungkur dalam keadaan paling tidak bermaya malah berubah 360 darjah daripada seorang dikatator yang telah membunuh begitu banyak nyawa hanya dengan suaranya tetapi dengan suara itu juga akhirnya dia terpaksa merayu kepada pihak Amerika sekadar untuk menyambung nyawanya sendiri dari hari ke hari !

Itulah contoh yang paling nyata dalam sejarah betapa benarnya dialog Skywalker kepada Obi-Wan Kenobi ! Tapi bukan itu sahaja...

Di Panama, Jeneral Manuel Noriega dulunya adalah agen CIA yang diangkat oleh Amerika untuk menjadi ketua negara. Bagaimanapun setelah mendapat kuasa, Noriega menjadi terlalu tamak sehingga melibatkan diri secara langsung dalam perdagangan dadah secara berleluasa.

Nyawa

Akibatnya, Bush Sr yang juga bekas Pengarah CIA telah melancarkan operasi khas untuk menjatuhkan Noriega. Yang menjadi mangsa adalah rakyat biasa Panama. Antara 2,500 hingga 4,000 nyawa melayang dalam operasi tersebut!

Bagaimanapun fakta yang paling mengejutkan mungkin membabitkan Osama Laden - musuh No.1 Amerika yang sehingga kini masih diburu. Semasa era Perang Afghan, Osama mengepalai tentera Mujahidin yang dilatih dan dibiaya oleh CIA untuk berperang menentang pencerobohan komunis Soviet ke atas negara itu. Amerika membantunya atas dasar mahu mengekang pengaruh Soviet, seterunya yang paling wahid semasa era Perang Dingin.

Bagaimanapun sejak tercetus perang yang menyaksikan kejatuhan rejim Taliban, Osama kini dianggap Musuh No.1 Amerika. Demikian juga Mullah Muhammad Omar, pemimpin rejim yang sehingga kini masih lagi diburu.

Sebelum wujud Taliban, anggota-anggota kumpulan itu yang terdiri daripada pelajar-pelajar sekolah agama di khemah pelarian di Peshawar, Pakistan semasa perang, juga adalah bekas Mujahidin yang pernah berperang menentang Soviet. Sebagai anggota Mujahidin, sebahagian daripada mereka pernah mendapat latihan dan pembiayaan secara langsung daripada Amerika.

Ini termasuklah kumpulan Ittihad Islami pimpinan bekas Perdana Menteri, Gulbuddin Hekmatyar yang pernah mendapat sokongan terbuka Amerika semasa perang saudara pasca Soviet menentang kumpulan Presiden Burhanuddin Rabbani.

      

Bagaimanapun Hekmatyar yang kini berpangkalan di Teheran, turut dianggap berbahaya oleh Amerika !

Di Afrika, diktator Mobutu Sese Seko yang digulingkan oleh Laurent Kabila beberapa tahun lalu, juga adalah pemimpin yang dinaikkan oleh Amerika untuk memerintah Congo. Musuh Seko ketika itu adalah Patrice Lumumba, juga musuh Amerika yang kemudiannya dibunuh dipercayai oleh pihak CIA. Bagaimanapun ketika tiba gilirannya dijatuhkan, Seko hampir tidak mendapat apa-apa pembelaan 'godfather'nya itu.

Senasib dengan Seko, ialah bekas diktator Chile, Augusto Pinochet yang di'program' oleh Amerika untuk menjatuhkan Presiden Salvador Allende pada awal 1970-an.

Setelah mendapat kuasa pada tahun 1973, Pinochet ternyata adalah seorang yang terlalu rakus dan haloba.

Akibat kebangkitan dan kemarahan rakyat, Pinochet akhirnya dihumban dari takhta. Boleh diumpamakan seperti habis manis, sepah dibuang, dia kini bersendirian menghadapi proses keadilan rakyat Chile dan langsung tidak dipandang Amerika, sekalipun hanya dengan sebelah mata !

Sebenarnya, terlalu banyak contoh untuk membuktikan bahawa Amerika begitu mendominasi politik dunia dengan taktiknya yang sedemikian rupa - menaikkan sesiapa sahaja yang dikehendaki dan apabila pemimpin itu berpaling tadah atau dianggap tidak lagi berguna - dia terpaksa bersendirian menanggung padah !

Dalam menatang kuasa, kita biasanya memang tidak diberi pilihan. Sama ada demi menjaga kepentingan peribadi atau rakyat yang terdiri daripada berjuta-juta nyawa, seseorang pemimpin itu terpaksa berhadapan dengan situasi sama ada 'membunuh ataupun dibunuh !'

Anakin yang bermusuh dengan Obi-Wan sehingga akhir hayat, akhirnya dibunuh oleh anaknya sendiri, Luke Skywalker. Itu dalam Star Wars ! Bagaimana pula dengan realiti Amerika ? Apakah Uncle Sam juga suatu hari nanti akan dibunuh. oleh 'anaknya' sendiri ?

Sedang semua konspirasi termasuk yang meragut berjuta nyawa di seluruh dunia yang dilakukan Amerika sejak dulu hingga kini tidak lain tidak bukan adalah dilihat bertujuan untuk menatang 'anaknya' itu. Katakanlah Luke Skywalker itu adalah rejim Zionis Israel !

Senarai Percaturan Amerika sejak 1950-an
1953: CIA mengatur usaha mengangkat Reza Pahlavi sebagai pemerintah Iran.
1954: CIA mengatur usaha menumbangkan kerajaan demokratik di Guatemala - diikuti 30 tahun kerajaan diktator tentera, penindasan dan perang saudara.
1954: Amerika Syarikat campur tangan menghalang pilihanraya di Vietnam yang mungkin menyatukan negara itu.
1958: Tentera dihantar ke Panama. Pertempuran berterusan sehingga tahun 1964.
1960: Amerika menghantar tentera ke Vietnam. Perang berterusan sehingga 1975.
1961: Amerika Syarikat berusaha menumbangkan kerajaan Cuba melalui serangan Bay of Pigs.
1965: 22 ribu tentera dihantar ke Republik Dominica untuk menyerang kumpulan perlembagaan yang cuba mengambil kembali kekuasaan.
1965: Rampasan kuasa yang disokong oleh Amerika Syarikat di Indonesia. 500 ribu nyawa terkorban.
1967: CIA mengatur rampasan kuasa secara ketenteraan di Greece.
1969: Pengeboman secara sulit terhadap Kemboja bermula. Rampasan kuasa dan perang saudara yang akhirnya mengakibatkan kematian 2 juta orang.
1971: Pengeboman secara berleluasa di Laos.
1973: CIA menolong menumbangkan kerajaan demokratik Allenda di Chile dan menabalkan rejim Pinochet.
1976: Bantuan CIA kepada pemberontak Angola yang disokong oleh Afrika Selatan - berterusn sehingga 1992.
1979: Rampasan kuasa di El Salvador. Amerika Syarikat memberi persenjataan dan 'penasihat' kepada rejim tentera dalam perang saudara yang membunuh 75 ribu nyawa.
1981: Amerika melancarkan Perang Contra di Nicaragua - 30 ribu nyawa terkorban.
1982: Campur tangan Amerika Syarikat untuk menghalau PLO dan menyokong Phalangis sayap kanan di Lubnan.
1986: Serangan terhadap Libya untuk menumbangkan Gaddafi.
1987: Amerika Syarikat menyatakan sokongan terhadap Iraq dalam perang menentang Iran. Kapal USS Vincennes menembak dan meletupkan pesawat Iran, membunuh 200 orang.
1990: Perang Teluk. Serangan berterusan terhadap Iraq, diikuti sekatan ekonomi yang membunuh jutaan orang.
2004: Pilihanraya Presiden Afghanistan - selepas hampir 3 tahun Amerika menduduki negara itu - menyaksikan Hamid Karzai, bekas panglima perang yang direstui Amerika dipilih sebagai presiden pertama.
2005: Kerajaan demokratik terbentuk di Iraq selepas perang. Jalal Talabani, pemimpin puak Kurdis diangkat sebagai presiden dan Ibrahim Jafari, tokoh Syiah sebagai perdana menteri.




Copyright © 2005 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved