|
Umpama bidalan, perahu sudah di air, pendayung sudah ditangan! Tidak ada apa-apa alasan dan halangan lagi. Semuanya terserah kepada empunya diri.
Apa yang dihajati dan dipetakan selama ini sudah pun berhasil. Impian dan harapan besar golongan muda dan pencinta perubahan di dalam Pas khasnya (dan juga di luar) tentu merasa puas dengan keputusan mutkamar Pas ke 51 yang berakhir kelmarin.
Agenda menyusun barisan kepimpinan menerusi muktamar itu disifatkan realistik dan menakjubkan. Muktamar itu bukan sahaja mengenepikan ulama dan pemain-pemain yang hidup segan mati tak mahu di dalam parti itu, namun turut sama membarisi tiga muka baru di barisan kepimpinan tertingginya di samping lima muka baru yang dikira spesis sama, mereka di barisan jawatankuasa.
Perkembangan ini menunjukkan seolah-olah agenda sedemikian sudah lama tumbuh dan cambah di dalam kepala mereka (perwakilan) hanya menanti saat terbaik sahaja untuk dilaksanakan. Dan muktamar itu adalah kesempatan yang telah digunakan sebaiknya.
Walaupun muktamar itu menyentuh segala skop perjuangan namun signifikan muktamar itu ialah merehatkan pemimpin lama dan diganti dengan pemimpin baru yang muda dan bertenaga. Kombinasinya cukup mantap sekali.
Kemenangan Nasharuddin Mat Isa, 43 sebagai Timbalan Presiden, Husam Musa 46, dan Muhammad Sabu, bagi jawatan Naib Presiden, dikira satu ‘pengimportan’ tenaga muda yang ditunggu-tunggu baik di dalam Pas maupun di luar Pas.
Apa lagi mereka diganding dengan penyandang Naib Presiden, Hassan Ali yang profesional. Hassan yang sebelum ini dilihat terkial-kial sendiri di jawatan itu tentu merasa gembira dengan kemasukan tiga ‘sahabatnya’ itu menyeronokannya.
Kendatipun bekas Naib Presiden sebelum ini, Datuk Mustapa Ali dikira bukan dari spesis ulama, namun beza usianya yang hampir sama degan presiden dan timbalan, menyebabkan rentak dan pemikiran serta naluri politiknya tidak sama dengan Hassan Ali yang dilihat berdarah muda.
Semua pihak nampaknya gembira dan mengalu-alukan barisan kepimpinan Pas kali ini. Banyak orang menyifatkan ia sesuatu yang dinamik dan kena pada tempatnya. Secara umumnya pemilihan mereka itu memberi tanda bahawa Pas benar-benar inginkan perubahan dan bukan setakat menumpahkan dendam dan mengirimkan ‘kesebulan’ kepada tokoh-tokoh tertentu.
Sekiranya kelemahan Pas sebelum ini, khasnya pada dua pilihan raya lepas (1999 dan 2004) di sebabkan halangan golongan tua, kini alasan dan hujah itu sudah tidak boleh dipakai lagi. Malah ianya sudah tidak ada lagi. Orang yang disifat dan dikatakan sebagai duri dalam daging, iaitu gologan ulama konservatif sudah pun disingkir.
Hassan Shukri, Mustapa Ali dan Azizan Razak yang dilihat mewakili oder lama (masing-masing timbalan presiden dan naib) yang berfahaman konservatif di dalam Pas sudah tidak berada di barisan hadapan lagi. Para muktamir nampaknya tidak memberi ruang terlalu lama kepada mereka. Yang jelasnya ialah Hassan Shukri hanya dapat menikmati ‘glamour’ jawatan itu sepenggal sahaja.
Dalam hal ini Mustapa Ali bijak membaca jarum waktu politiknya, siang-siang lagi beliau mengambil keputusan tidak mempertahankan jawatannya.
Sebagai orang lama Musatapa sudah dapat mencium bau peruabahan yang dikehendaki di dalam Pas. Lantaran itu beliau bertindak bijak dengan menarik diri dari bertanding bagi mengelakkan dia juga turut sama terlanda dengan arus mini tsunami yang berlaku dalam muktamar itu. Sudah pasti kalau bekas Exco Terengganu itu berkeras dia juga akan turut sama dirempuh.
Jikalah kewujudan orde lama itu menjadi penghalang kepada usaha pihak yang hendak melakukan perubahan, nah hari ini, penghalang sudah tidak ada. Bermula pada 5 Jun lepas segala strategi dan masa depan Pas kini terletak di tangan golongan muda yang begitu ‘excited’ itu.
Mereka kini akan dipertanggungjawabkan untuk membawa dan meletakkan perubahan itu. Pemerhatian kini tertumpu kepada mereka. Tiang bendera dan kain rentang Pas kini berada di tangan mereka!
Sekurang-kurang untuk tempoh dua tahun dari sekarang, mereka harus melakukan sesuatu yang boleh menyakinkan umum. Mereka kena membentangkan plan atau pun ‘blue print’ mereka untuk memajukan Pas pada masa akan datang. Mereka kena mengemukakan wawasan muda mereka bagaimana hendak mengisi ‘period’ perubahan itu.
Misalnya salah satu agenda kumpulan ini hendak ‘mengarusperdanakan’ Pas biarlah menjadikan kenyataan. Perubahan yang menyeluruh di dalam Pas khas dalam pendekatan mesti dilakukan. Jangan ianya hanya sebagai satu ungkapan dan slogan sahaja namun tindakan dan implimentasinya tidak ada.
Yang pentingnya mereka kena pastikan mereka mampu untuk membawa Pas menjadi sebuah parti yang dinamik dan relevan untuk semua bangsa dan bukan untuk satu agama sahaja. Mereka harus merangka dan membina struktur dan juga spritual Pas menjadi parti bakal mengganti Barisan Nasional (Umno).
| |
Mentaliti dan persepsi Pas sebagai pembangkang walaupun atas apa juga istilah yang positif hendaklah dikikiskan dan diganti dengan tanggapan dan slogan Pas sebagai goverment in waiting.
Usaha ini bukan mudah, tetapi tidak mustahil. Ia memerlukan kesungguhan di dalam menjayakannya. Namun kita percaya dengan gemblengan tenaga, pengalaman dan pendedahan yang cukup luas diperolehi mereka – golongan muda profesional ini, termasuk di peringkat antarabangsa, mereka mampu melakukannya.
Presiden parti Datuk Abdul Hadi Awang dilihat tidak akan dapat melakukan apa-apa selain daripada mengikut apa yang bakal dicorakkan oleh mereka atau orang di bawahnya. Beliau lebih sebagai simbolik sebagai imam kepada sebuah jemaah sahaja.
Selama lebih tiga tahun menjadi presiden Abdul Hadi tidak membentangkan apa-apa wawasan, melainkan menjadi jurucakap kepada apa yang telah digariskan oleh parti.
Abdul Hadi kelihatan begitu dhaif di dalam mengeluarkan idea bagaimana untuk menceria dan memajukan parti. Dalam tempoh dua tahun, beliau tidak mengemukakan apa-apa agenda atau strategi memperkasakan parti selain daripada bertindak menjadi jurucakap parti mengenai isu-isu Islam yang timbul, seperti isu Islam Hadhari bila mana beliau menulis buku Hadharah Islamiyah.
Menyentuh mengenai future Pas, apa yang hendak dilihat apakah sikap dan pendirian Pas terhadap perjuangan reformasi yang ditaja Anwar Ibrahim dan juga perjuangan untuk membebaskan bekas Timbalan Perdana Menteri itu ke persada politik tanahair. Sejauh manakah Pas hari ini menilai dan menerima Anwar sebagai defactor kepada politik Malaysia yang harus dimanfatkan olehnya.
Walaupun dipercayai bukan itu agenda perubahan utama yang harus berlaku, namun mereka yang sayang dan melihat Anwar sebagai aset kepada pembangkang akan memerhati keadaan ini. Mereka akan melihat apakah soal Anwar diterima Pas sebagai satu fenomena di dalam melakukan perubahan ini.
Selain itu ada beberapa agenda besar yang diharapkan. Paling menonjol ialah mengenai sikap dan pendirian Pas dengan parti alternatif khasnya Parti Keadilan Rakyat. Atau secara langsung melihat apakah sikap Pas dengan Anwar Ibrahim selepas ini.
Pada masa ini hubungan Pas dengan PKR tidak semesra dulu. Program bersama yang hebat juga tidak diadakan lagi. Hanya beberapa pemimpin tertentu sahaja masih lunak dan mengekalkan standarad dan mutu hubungan itu.
Namun atas nama parti (organisasi) ia berkurangan. Situasi ini mula dikesani apabila Keadilan mengambil keputusan untuk bergabung dengan Parti Rakyat Malaysia (PRM). Langkah ini seperti kurang disenangi oleh Pas walaupun keputusan itu adalah urusan peribadi Parti Keadilan Nasional (Anwar).
Sokongan Pas kepada Anwar yang kental sebelum ini yang dijambatani oleh golongan muda yang liberal seperti Dr. Hatta Ramli, Dr. Zulkefli Ahmad, Syed Azman Syed Ahmad Nawawi dan lain-lain. Sementara yang lain agak tergencat sedikit apabila ada signal dari ‘ulama konservatif’ yang seolah jangan terlalu ‘mempercayai’ sangat kepada Anwar Ibrahim.
Ini dapat terbukti bila mana bukan semua pemimpin utama Pas sanggup dan bersedia menghadiri program atau aktiviti yang dihadiri sama oleh Anwar atau yang dibuat atas kepentingan Anwar. Pas selalunya mengirimkan muka-muka sama sahaja ke setiap majlis berkaitan Anwar yang dilihat begitu intim dan bersimpati dengan nasib yang diterima Anwar.
Orang yang menjadi penghalang kepada usaha itu sudah tidak ada. Kini peluang terbaik untuk merangka dan menjaring kerjasama serapatnya dengan Anwar dan juga parti yang dianunginya. Alasan ada suara yang pesimis dengan kewibawaannya (Anwar) sebagai pemimpin sudah hilang.
Justeru itu barisan muda yang ada kini seperti Nasharuddin, Husam, Muhamad Sabu dan Hassan Ali mereka adalah mereka yang faham erti dan tindak-tanduk politik. Mereka meskipun kemas dan berprinsip, mereka juga adalah orang yang tahu falsafah dan teori politik Machialisme – matlamat menghalalkan cara akan bersikap lebih terbuka, serius dalam pembentukan kerjasama dengan Anwar dan juga parti lain dalam menghadapi BN dan Umno.
Seperti dikatakan tadi, kini sudah tidak ada suara sumbang yang egois dalam melihat kerjasama di antara Pas dengan Keadilan maupun DAP. Apa kepimpinan baru ini bersedia untuk merintis semula kerjasama dengan DAP, bagi membina semula Barisan Alternatif?
Cuma satu yang diharapkan, di dalam mereka ghairah membentuk wawasan baru atau membina gagasan itu, atau melakukan proses librelisma politik di negara ini, hendaknya mereka tidak akan mengkesampingkan prinsip dan dasar perjuangan parti mereka (Pas) yang telah mulai digeruni musuh kini.
|