|
Ramai menyarankan supaya satu proses peremajaan semula Pas harus berlaku jika ia mahu terus relevan. Maka apabila keputusan pemilihan parti tersebut diumumkan, kebanyakan media massa menganggap keputusan muktamar Pas kali ini akan memberi senario baru kepada parti tersebut.
Seiring dengan itu juga, ramai pemerhati politik yang pro Pas seperti Mohd Sayuti Omar menganggap keputusan muktamar kali ini sebagai satu peralihan baru.
Namun hakikatnya mungkin tidak seindah yang diduga. Selain tumbangnya Hassan Shukri yang dianggap ulama lama dan menangnya Husam Musa yang dianggap bakal pengganti Nik Aziz sebagai Menteri Besar Kelantan, kemenangan calon lain sungguhpun mengejutkan tetapi jelas kelihatan Pas sudah kehilangan idealisme perjuangan.
Kemenangan Nasharudin Mat Isa sebagai Timbalan Presiden Pas bukanlah sesuatu yang mengejutkan memandangkan usaha menjatuhkan Hassan Shukri sudah bermula sejak tamat pemilihan Pas dua tahun lalu.
Di dalam Pas Hassan Shukri bukanlah yang disukai dan menjadi anak emas kepimpinan Pas. Ini berikutan tindakan Hassan Shukri bertanding jawatan Timbalan Presiden parti tersebut dua tahun lalu. Tindakan beliau menyebabkan Dato’ Harun Din - calon pilihan Nik Aziz dan Hadi Awang – menarik diri.
Permusuhan dua Hassan yang menjadi bahan momokan ahli politik di Selangor menceritakan lagi betapa Hassan Shukri diasak dari pelbagai pihak dalam Pas.
Pertembungan Hassan Shukri dan Hasan Ali mengakibatkan kem Hassan Shukri makin mengecil. Presiden Pas dan juga pakar strategi Pas, Mustafa Ali, “dilihat” berusaha keras mengenepikan Hassan Shukri dalam pelbagai keputusan parti, walaupun beliau merupakan Timbalan Presiden.
Sebaliknya Hassan Ali lebih mendapat kepercayaan Hadi Awang. Menjelang Muktamar kali ini juga memperlihat Nik Aziz mengambil pendirian yang berpihak kepada penentang Hassan Shukri. Nik Aziz menyatakan sokongan terbuka kepada Datuk Harun Din.
Justeru ketika kekalahan Hassan Shukri sudah boleh diduga, kemenangan Nasharudin Mat Isa menimbulkan satu polemik baru. Apakah kekuasaan dan kepimpinan Hadi Awang akan mendapat bantuan memperkasakan parti tersebut atau sekadar sokong membawa rebah?
Hal ini wajar ditanya kerana Nasharudin Mat Isa selaku bekas Setiausaha Agung parti tersebut sebelum ini tidak memberi impak yang berkesan.
Malahan Nasharudin dikatakan salah satu faktor punca kekalahan teruk Pas dalam pilihan raya lalu. Beliau dianggap “Mr. Yes Boss!” kepada Hadi Awang sehingga menjadikan parti tersebut lemah dari segi perjalanan organisasi.
Bagaimanakah seorang yang gagal sebagai Setiausaha Agung diharapkan untuk memberi nafas baru kepada kepimpinan Pas?
Perubahan yang turut menarik minat para penganalisis politik adalah untuk jawatan Naib Presiden. Kemenangan Husam Musa, Mohd Sabu dan Hasan Ali memberi satu kejutan besar kepada parti tersebut.
| |
Mungkin inilah kali pertama dalam sejarah parti tersebut, tidak ada seorang pun Naib Presidennya datang dari latar belakang pendidikan agama peringkat tinggi.
Kemenangan Husam memberi isyarat jelas bahawa parti tersebut akan terus menjadikan Kelantan sebagai pentas utama mereka.
Husam sungguhpun dianggap oleh sebahagian penyokong Pas sebagai wajah kepimpinan masa depan, namun kekuatan dan kredebiliti beliau dalam merencana idealisme perjuangan Pas belum benar-benar teruji. Husam lebih dilihat sebagai pemimpin peringkat negeri berbanding peringkat nasional.
Ketika kemenangan Husam Musa dilihat sebagai satu nafas baru, dua lagi tokoh yang menduduki kerusi tersebut jelas akan merencatkan Pas.
Ini kerana skandal-skandal yang pernah melingkungi Mohd Sabu dan Hasan Ali dilihat tidak akan memberi satu imej yang baik kepada sebuah parti yang mendakwa membawa panji-panji Islam.
Namun sesuatu yang agak menarik ialah kemenangan Mohd Sabu datang selepas timbulnya isu dan kritikan perwakilan mengenai sikap kepimpinan parti tersebut yang dilihat terlalu bergantung kepada Anwar Ibrahim.
Umum mengetahui bahawa Mohd Sabu merupakan orang yang terawal membangkitkan isu moral Anwar dan memberi gelaran yang kurang enak kepada bekas Timbalan Perdana Menteri itu.
Mohd Sabu juga dilaporkan pernah berkata kepada media Pakistan bahawa jika Anwar menjadi Perdana Menteri maka ia akan menjadi lebih teruk daripada Dr. Mahathir.
Justeru kemenangan Mohd Sabu memperlihatkan pengaruh kumpulan anti Anwar di dalam Pas. Malahan, kedudukan undi Mohd Sabu lebih tinggi dari Hasan Ali – yang dianggap naungan Anwar – memberi isyarat jelas bahawa perwakilan Pas bersedia untuk menguburkan terus Anwar jika perlu.
Apa pun keputusan pemilihan Pas kali ini tidak memberikan banyak signifikan kepada perkembangan parti tersebut memandangkan kepimpinan Pas masih dikuasai oleh Hadi Awang dan Nik Aziz.
Malahan perubahan yang tidak bertunggakkan idealisme perjuangan parti itu bagi jawatan Timbalan dan Naib Presiden mungkin akan melonggarkan lagi sokongan akar umbi parti tersebut.
Idealisme kepimpinan ulama yang menjadi kekuatan parti Pas sudah kian terhakis. Kemunculan golongan bukan ulama mendominasi kepimpinan tinggi dalam parti tersebut mungkin merupakan petanda bahawa Pas sudah ketandusan tokoh agama yang wibawa untuk dilantik menjadi pemimpin.
Mungkin sudah tiba masanya untuk Pas merubah ideologi dan dasar perjuangan mereka supaya lebih relevan dengan dunia kotemporari dan juga seiring dengan keputusan perwakilan yang mahukan kepimpinan corak baru.
Tidak lama lagi Pas mungkin mengucapkan selamat tinggal kepada slogan kepimpinan ulama mereka.
|