Idealis Mahasiswa
 
 

Kes e-mel fitnah: Bantahan Sharifah Aini ditolak


Hit = [ ]

oleh: KAMARIAH AHMAD
sumber - Utusan Online 17/6/2005

PETALING JAYA 16 Jun - Mahkamah Majistret di sini hari ini menolak bantahan awal penyanyi Datuk Sharifah Aini Syed Jaafar dalam usahanya untuk dibebaskan daripada tuduhan memfitnah penyanyi popular Siti Nurhaliza Taruddin melalui e-mel.

Dengan keputusan itu bermakna Sharifah Aini akan dibicarakan. Perbicaraan akan bermula selama seminggu mulai 19 Disember ini.

Sharifah Aini, 52, yang berpakaian baju kurung warna jingga bercorak bunga-bunga ungu dan biru dilihat tenang dan bersahaja menerima keputusan tersebut.

Bagaimanapun, peguam bela utama Sharifah Aini, Datuk Muhammad Shafee Abdullah memberitahu wartawan bahawa anak guamnya akan mengemukakan rayuan atau semakan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Majistret Azroul Hisham Azulan membuat keputusan itu berdasarkan lima alasan bahawa pertuduhan terhadap Sharifah Aini tidak cacat atau mengelirukan di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan.

      

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Dalam alasannya, Azroul menegaskan bahawa pertuduhan adalah jelas, teratur dan mengikut undang-undang.

Katanya, pertuduhan yang dibuat mengikut kehendak Seksyen 499 Kanun Keseksaan iaitu didakwa melakukan fitnah dengan menyiarkan kepada seorang pensyarah kolej, Ahmad Shaharil Jamaludin suatu tuduhan membabitkan artis tersebut.

Sharifah Aini dituduh melakukan perbuatan tersebut di rumahnya di Lorong Utara, Off Jalan Utara pada pukul 4.25 petang, 24 Ogos tahun lalu.





Copyright © 2005 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved