Idealis Mahasiswa
 
 

Analisis Kelemahan Gerakan Islam Di Malaysia: Satu Pandangan


Hit = [ ]

sumber - Tranungkite
oleh Mohamad Ridhwan Bin Alias (tokawang_sufi@yahoo)

Kebangkitan gerakan Islam terasa teruji setelah lama menyelinap dalam masyarakat Malaysia. Kini, sedikit sebanyak kelihatan beberapa kelemahan dalam gerakan Islam sehingga menghilangkan kualiti gerakan dan memburukkan imej gerakan itu sendiri. Bukan niat penulis mengodam atau mengkritik tetapi elok rasanya jika kita mengkritik secara membina agar gerakan Islam dapat melayari bathera perjuangan di samudera perjuangan ini dengan maha perkasa.

Konsep Gerakan Islam

Menurut Dr. A Hamid Majid al Quwaisi, gerakan Islam ialah “aliran sosial yang merakyat; bertolak dari kesedaran khususnya terhadap Islam sebagai suatu wawasan dakwah yang bergerak merealisasikan ajarannya dalam bentuk negara dan sistem politik sekurang-kurangnya dalam peringkat awal melalui tatacara dan wahana yang sah dari perspektif Islam”. Abu Wahab Afandi gerakan Islam ialah “Gerakan yang bergiat dalam lapangan politik untuk menerapkan Islam dan syariatnya dalam kehidupan individu dan umum”. Solusinya, Gerakan Islam adalah satu proses membangkitkan kesedaran massa melalui pembaikkan berasaskan al Quran dan hadis dalam politik, ekonomi dan sosial dengan wujudnya suasana Islam memerintah bukannya Islam diperintah dalam Negara, masyarakat, keluarga, diri dan sekurang-kurangnya dalam hati seseorang jika tiada kemampuan menonjol diri.

Aliran pemikiran Islam di Malaysia terbahagi;

1. Aliran Islam Selapis

Mereka terdiri daripada institusi berkuasa seperti Mufti, Majlis Fatwa atau Majlis Agama Negeri. Islam selapis yang diamalkan oleh institusi kerajaan sangat ‘maksum’ tanpa dosa. Mereka boleh ‘memujuk’ orang lain, memberi fatwa dan menguasai keputusan kerajaan. Selain itu, madrasah atau sekolah pondok juga menganut aliran ini. Mereka adalah benteng Islam daripada pengaruh golongan reformis, modenis dan orientalis. Institusi pendidikan tradisional juga ‘penjaga’ utama ajaran kitab-kitab ulama sama ada kuning atau ‘hijau’.

Kenapa Islam selapis? Mereka ini memilih Islam ‘tulen’ tanpa dipengaruhi aliran pemikiran yang lain. Mereka mahu Islam yang asali tanpa perubahan unsur unsur non-Islam. Biasanya mereka sangat berkuasa dalam pentadbiran agama dan akur kepada arahan pemerintah politik. Kebanyakan masyarakat menganut aliran ini kerana bersifat arus perdana dan memperolehi kemudahan daripada pemerintah politik.

2. Aliran Islamisasi

ABIM, YADIM, IKIM, JIM, ISTAC dan PKPIM antara yang menganuti aliran Islamisasi. Islamisasi dilakukan dalam politik, sosial dan ekonomi. Kebiasaannya, aliran ini disertai oleh golongan kelas menengah dan berpendidikan Barat. Mereka mendokong pemikiran ulama, pemikir Islam dan Barat, dan falsafah. Mereka ini cuba meng‘Islam’kan perkara baru yang telah lama bertapak dalam sesebuah sistem. Contoh mengIslamkan pendidikan(lihat penulisan Wan Mohd Nor Wan Daud). Mereka juga dikenali reformis dan modernis. Lihatlah penulisan Anwar Ibrahim, Syed Naquib al Attas dan Siddiq Fadil yang cukup menarik kerana terdapat pautan pemikiran secara plural antara moden dan tradisional. Mereka mencintai tokoh yang sederhana dan bertaraf pemikir seperti Ismail al Faruqi , Jose Rizal, Yusof Qaradhawi dan Malik Bennabi. Dan jangan terkejut jika pimpinan aliran ini meminati idea Kung Fu Tze, taksub terhadap masakan Barat, bermain piano, membaca karya Shakespeare secara mingguan di rumah(ala usrah) atau mendengar alunan suara Celion Dion(penyanyi USA).

3. Aliran Tareqat

Aliran tareqat semakin kurang diberi perhatian dan semakin luntur pengaruhnya dalam masyarakat. Di Malaysia, tareqat yang berpengaruh adalah Ahmadiah yang berpusat di Linggi dan Bukit Abal. Kebiasaannya tareqat dianuti oleh kelas menengah secara tersembunyi dan tuan guru pondok. Amalan tareqat menekankan pembersihan rohani dan kurang mengambil berat perkara politik atau permasalahan masyarakat. Paling teruk, banyak aliran tareqat dikatakan sesat.

4. Elemen Islam

Elemen Islam ini terdapat dalam pertubuhan atau jemaah yang tidak bercirikan Islam seperti UMNO, SIS, GPMS, Majlis Aids Malaysia dan Forum Iqra. Mereka sayang terhadap ajaran Islam tetapi tidak mahu menerima konsep Islam sebagai satu cara hidup syumul yang diperjuangkan oleh jemaah Islam atau ‘Islam Yes, Parti Islam No’. Niat mereka baik tetapi pendekatan mereka adalah bathil. Mereka rela mengelumang dalam fahaman yang jelas bertentangan dengan Islam seperti ideologi sosialis, nasionalis dan sekular. Ada juga di kalangan mereka mahukan Islam tetapi tohor pengetahuan agama Islam mereka. Mereka menafsir ajaran Islam berdasarkan akal yang dipengaruhi unsur Yahudi-Kristian di Barat. Mereka lebih banyak terpengaruh dengan idea orientalis hasil daripada pendidikan dan pengalaman mereka.

Walaupun perjuangan elemen Islam menjauhi prinsip perjuangan Islam tetapi kehadiran mereka telah mencabar keintelektualan para ulama dan cendikiawan Islam. Para ulama dan cendikiawan Islam dicabar agar lebih berilmu untuk menghadapi elemen Islam yang terdiri daripada golongan terpelajar.

5. Aliran Tabligh

Walaupun mendakwa tiada pegangan politik, gerakan tabligh banyak disokong oleh parti UMNO. Gerakan tabligh banyak disalah anggap terutama golongan ‘syariat’ yang mengaji di institusi Islam seperti lepasan al Azhar dan Akademik Pengajian Islam Universiti Malaya. Aliran yang berpusat di masjid Sri Petaling (di Malaysia) ini diasas oleh Maulana Ilyas. Untuk memahami fahaman tabligh, kita haruslah memahami kehidupan Maulana Ilyas [baca buku Abul Hasan Ali ad Nadwi).

Kehidupan para tabligh merantau untuk membangkitkan ghairah agama dalam masyarakat. Pusat dakwah komuniti mereka adalah masjid. Mereka akan menziarah saudara semuslim untuk memperkasakan kembali iman dan amal mereka. Paling menarik gerakan tabligh disertai oleh orang yang dihormati dalam gerakan ‘Islam Politik’ dan dunia dakwah iaitu Abul Hasan Ali an Nadwi.

6. ISLAM POLITIK

‘Islam politik’ adalah golongan yang menggugat kekuasaan pemerintah politik. Penjajah Barat dan pemerintah politik selalunya mengaitkan golongan Islam politik sebagai teroris dan pemecah belah masyarakat. Asas kepada gerakan Islam politik ialah Ikhwanul Muslimin dan Jamaati Islami. Tokoh ideolog mereka ialah Hasan al Banna, Abu Ala’ Maududi, Syed Qutb dan Said Hawwa. Di Malaysia, Islam politik didokongi oleh PAS dan PMI.

Kalau kita meneliti tulisan atau ceramah golongan Islam politik seperti al shahid Hasan al Banna dan tuan guru Haji Hadi terdapat banyak persamaan iaitu bersumber al Quran dan hadis secara total tanpa banyak tafsiran. Malik Bennabi menyifatkan, mereka bukannya menafsir al Quran tetapi melontarkan kembali idea al Quran ke dalam masyarakat. Mereka lebih mendokong idea-idea ulama muktabar untuk mengembali Islam sebagai satu cara hidup.

Itulah diantara aliran terbesar dan berpengaruh di Malaysia. Kita menghormati sifat plural dalam berjemaah. Islam bukannya monopoli sesetengah pihak. Setiap aliran mempunyai kelebihan dan para pendokong mereka mempunya hujah tersendiri. Sukar untuk menidakkan kefahaman masing-masing.

KELEMAHAN GERAKAN ISLAM

Di bawah adalah beberapa kelemahan gerakan Islam yang dirasakan oleh penulis perlu dicakna oleh pendokong gerakan Islam. Kelemahan ini adalah cebisan daripada pelbagai kelemahan yang boleh dibincang tetapi penulis berkeputusan hanya menuqilkan 3 daripadanya.

1. Ketumpulan Idealis

Perjuangan gerakan Islam pada hari ini sangat menyedihkan. Mereka telah kehilangan idealis perjuangan ekoran terlalu sibuk dengan agenda politik. Proses tarbiyah ke arah penyuburan idealis semakin terbantut dari hari ke hari. Idealis sangat penting bagi mengarahkan perjuangan Islam. Rukun Baiah Ikhawanul Muslimin yang sepatutnya difahami dan menjadi amalan gerakan Islam semakin tidak dipedulikan sehingga perjuangan dalam gerakan Islam berdasarkan kepentingan yang tersendiri.

PAS sebagai contoh terlalu politikal sehingga melupakan urusan kebajikan massa, pendidikan dan dakwah. Bagi menarik sokongan massa, urusan memasyarakatkan PAS ke dalam masyarakat Malaysia perlu diperkasakan. Antaranya mengadakan amal kebajikan dalam sesebuah komuniti, dialog ilmu antara agama dan amal dakwah secara istiqamah ke dalam masyarakat terutamanya golongan belia. Isu-isu semasa seperti isu pengguna, alam sekitar dan sains perlu dicakna.

Roh tasawuf perlu digarapkan kembali dalam jiwa peserta gerakan Islam. Politik benci-membenci dan dendam perlu dihindari. Pimpinan gerakan Islam perlu berusaha mendidik pengikut secara akar umbi walaupun mereka mempunyai Dewan Ulama dan Majlis Syura yang semakin hilang peranan. Walaupun gerakan Islam berjaya mengumpul pengikutnya dalam ceramah tetapi kita harus ingat kebanyakan yang datang adalah pengikut totok gerakan Islam yang belum teruji kualitinya. Jika 20,000 ribu orang penyokong gerakan Islam datang mendengar ceramah tetapi disana ada 80,000 ribu orang tidak mengendahnya.

      

Ekoran perkara inilah para pimpinan gerakan Islam perlu turun padang dan datang kepada audien bukannya mengharapkan kedatangan pengikut gerakan Islam dalam sesuatu program atau ceramah. Alangkah indah jika pimpinan ulama turun padang berdakwah rumah ke rumah seumpama gerakan tabligh. Mengalirlah air mata rakyat jika melihat tuan guru rela datang ke rumah rakyat marhaen untuk mengingatkan rakyat tentang Islam yang murni lagi syumul. Alangkah indahnya jika pengikut yang cetek ilmu dan amal dapat beribadat dan ditarbiyah oleh tuan guru secara langsung selama 3 hari di masjid. Cukup indah dan rindu rasanya akan kelazatan bersama-sama orang yang alim lagi solihin. Ingatlah amalan ini juga diamalkan oleh Ikhwanul Muslimin. Jika dihalau, dibenci dan dihina, pasti para ulama dapat pahalanya, ingatlah manusia bernama Muhammad S.A.W pernah dihina bahkan dicedera semasa berdakwah di Taif, besar manakah ulama sekarang berbanding Muhammad S.A.W yang maksum jika tidak mahu sedikit pun rasa dihina oleh manusia yang tiada hidayah?

Selain kehilangan unsur dakwah, gerakan Islam politik juga kehilangan tautan rohani antara ahli gerakan. Jika bertemu tiada ukhwah di antara sesama ikhwan. Mereka tidak cuba mengenali antara satu sama lain. Tautan rohani ala tareqat ini amat ditekankan oleh Hasan al Banna sebagaimana yang terkandung dalam doa mathurat. Oleh sebab itulah baiah yang dilafazkan diingkari oleh ahli gerakan.

Ketumpulan idealis ini juga dialami gerakan Islam ala Islamisasi. Akibat kebergantungan melampau kepada pimpinan tertentu dan sejarah silam, idealis gerakan Islam ala Islamisasi seperti ABIM semakin luntur. Wacana ilmu, diskusi, kertas kerja yang dinamakan fiqh al hadarah telah dibekukan dan dielitkan di arkib atau rak buku. Solusi yang dirumuskan hanya tinggal slogan dan dibeku di institusi seperti varsiti dan institusi ‘think tank’ tanpa dialirkan dan dipratikkan dalam masyarakat. Lihat gerakan tabligh, mereka turun ke dalam masyarakat tanpa banyak slogan, tanpa banyak berdiskusi. Yang penting adalah gerak kerja secara massa bukannya secara selektif. Alangkah indah jika mahaguru ABIM seperti Siddiq Fadil dan Uthman Muhammadi turun ke masjid (dan ajak sekali si pemikir seperti Syed M. Naqiub al Attas) untuk berdakwah di peringkat massa. Setakat di PLA, Kajang dan Anjung Rahmat tidak cukup untuk mengerakkan minda madani rakyat marhaen.

Bagi gerakan tabligh, Maulana Ilyas telah memberi amaran gejala yang akan memusnahkan idealis tabligh. Dalam Malfuzat, beliau menyatakan kekurangan ulama dan ahli fikir akan memusnahkan niat baik gerakan tabligh. Walaupun keluar 40 hari sekalipun, kalau tidak mendapat bimbingan ulama, kita akan terjerumus ke lembah kejahilan. Selain itu, maulana juga bimbang gejala ‘makan angin’ dan santai para karkun(ahli tabligh). Keikhlasan untuk berdakwah mungkin luntur jika gejala ini berterusan. Kita bertabligh bukan untuk bersantai tetapi membawa usaha iman yang mulia. Selain itu gerakan tabligh juga gagal mengerakkan idealis yang diinginkan oleh maulana, ghast(ziarah) semakin kurang berkesan kerana ketiadaan istiqamah, tiada kesungguhan, tidak menyeluruh dan tiada pembimbing yang mursyid. Jika usaha baik ini diistiqamahkan, model Mewat akan terjelma di tempat tabligh berpusat seperti di Sri Petaling dan Kubang Bujuk, Terengganu. Tapi sayang, impian model Mewat hanya mampu gah di bibir sahaja.

2. Pengurusan Organisasi

Aktiviti gerakan Islam lebih kepada aktiviti yang melengkapkan program tahunan untuk dimasukkan sebagai lampiran semasa muktamar. Jika inilah tujuannya, gerakan Islam tidak ada bezanya dengan pertubuhan yang lain. Gerak kerja berasaskan jasad tanpa faktor kejiwaan dan kerohanian. Aktiviti gerakan Islam juga tidak menyeluruh dan yang aktif hanya di peringkat pusat. Peringkat bahagian dan negeri bagaikan penyu menangis.

Gerakan Islam jangan hanya gagah di peringkat pusat dan lebih banyak bersukaneka bersama sekolah taskinya. Bukanlah salah mereka ‘bersukaneka’ tetapi biarlah berpada. Gerakan Islam sepatutnya aktif menggerakkan aktiviti yang berpusat di masjid dan sekitar masyarakat serta kolej dimana dakwah boleh dilakukan secara terbuka. Lakukan ghast harian. Pendekatan dakwah banyak caranya tetapi yang berkesan adalah mendekati masyarakat massa (inilah cara nabi).

Gerakan Islam amat lemah di peringkat bahagian dan negeri seperti nyawa-nyawa ikan. Peserta gerakan Islam yang telah ditarbiyah di Kuala Lumpur gagal menggerakkan jemaah di peringkat negeri atau bahagian kerana tiada sinergi dari segi sokongan ikhwan yang lain [ketidaksudian untuk aktif semakin menjelma jika ikhwan telah berumahtangga], masalah kewangan, tiada kemudahan tempat dan tiada kesungguhan penggerak gerakan Islam. Bagi gerakan Islam, sewajarnya ada pusat nukleus bagi ahli berkumpul dan beraktiviti yang perlu dibuka sepenuh masa. Pusat nukleus ini akan menjadi nadi gerakan Islam dalam kawasan yang mikro. Di kawasan mikro, unsur kebersamaan sangat penting bagi mengeratkan hubungan sesama ikhwan dan mengelakkan ahli gerakan Islam hanyut dibuai badai kemaksiatan. Bagi gerakan pelajar Islam, aktiviti mereka hanya terhad kepada kelulusan universiti. Keberharapan tinggi terhadap kelulusan HEP telah menyebabkan gerakan pelajar Islam kaku dan tak bermaya dalam usaha hendak berprogram. Sewajarnya gerakan pelajar Islam menggunakan platform luar [secara terang atau rahsia] untuk mengerakkan aktiviti kemasyarakatan seperti aktifkan Sekretariat Pelajar PUM atau pertubuhan lanjutan ala alumni (contoh penjenamaan semula GAMIS sebagai Gabungan Alumni Mahasiswa Islam SeMalaysia-bercorak kemasyarakatan) sebagai wadah perjuangan, dan aktivitinya tanpa mengharapkan kelulusan dan dana HEP.

Bagi gerakan tabligh, tertib yang diusulkan oleh Maulana Ilyas semakin dilupai. Gerakan tabligh semestinya mengadakan inovasi dalam pendekatan agar diterima oleh masyarakat. Janganlah hanya taksub kepada idea gerakan tabligh yang bersifat statik dan ke’IPB’an sahaja [IPB-unsur India, Pakistan dan Bangladesh sahaja]. Unsur-unsur luaran ialah aktiviti kemasyarakatan, seminar dan politik Islam perlu dikembangkan.

Lujnah-lujnah dalam gerakan Islam seperti PMI, PKPIM dan PAS bagaikan tidak bermaya dan mandul daripada aktiviti penjanaan qalbu dan jasad. PMI sebagai contoh mempunyai ramai AJK dalam setiap lujnah tetapi gerak kerja gagal diolah dengan sempurna. Istiqamah dan semangat berpasukan semakin hilang. Akibatnya, kebanyakan gerak kerja dilakukan oleh orang yang sama.

3. Kelunturan Kualiti Insani

Seperti yang penulis selalu titik beratkan adalah amalan kerohanian yang diamalkan oleh ahli gerakan Islam. Amalan wirid seperti mathurat sepatutnya menjadi darah-daging ahli gerakan Islam. PAS dan PMI sebagai contoh, boleh mewajibkan wirid khusus bagi gerakan mereka. Pimpinan dan ahli wajib istiqamah dengan amalan tersebut. Paling baik ialah amalan mathurat. Amalan inilah yang membezakan kita dengan gerakan yang lain iaitu tautan rohani yang berasaskan pengharapan kepada Allah. Selain itu, komitmen dan istiqamah ahli gerakan Islam terhadap aktiviti pembangunan insan seperti usrah dan penzahiran rukun baiah yang 10 semakin longgar dan tidak bermaya. Usrah boleh menguatkan barisan pejuang dengan ilmu dan hubungan ukhwah sesama ahli. Manakala rukun bai’ah adalah tiang atau etika penting bagi menyatukan fikrah ahli agar tidak terlalu berbeza dalam pertelingkahan pendapat. Bagi gerakan tabligh, mereka terkenal dengan zikir dan ibadat. Cuma ibadat perlu dibimbing oleh para ulama kerana majoriti ahli tabligh bukan pakar dalam bidang agama. Beramal tanpa ilmu cukup merbahaya.

Peranan masjid wajar digunakan sebaik mungkin. Lakukan aktiviti kebersamaan di masjid. Contoh, setiap 2 minggu sekali diadakan solat subuh atau isyak berjemaah bersama pimpinan. Selain memakmurkan masjid, fikrah gerakan dapat disatukan dengan bimbingan pimpinan utama disamping merapat hubungan dengan masyarakat setempat. Rasanya saranan perlu dicernakan oleh gerakan Islam terutamanya PMI. Mendidik biarlah dari rebung.

RUMUSAN DAN CADANGAN

  1. kembalikan gerakan Islam ke dalam masyarakat massa tanpa sifat elit dan selektif. Setiap program perlu bersifat menyeluruh dan istiqamah.

  2. amalan ahli jemaah perlu dipertingkatkan. Amalan wirid adalah pendinding dan pautan rohani dalam menghadapi tekanan kejiwaan daripada musuh.

  3. Idealis gerakan perlu ditakhtakan kembali. Garapan idea dan impian pendokong asali perlu dikaji dan dilaksanakan. Kumpulan pemikir wajar ditubuhkan bagi menghalatujukan arah perjuangan. Kumpulan ini terbahagi dua iaitu umumi dan khusus. Bagi fasa umumi, satu perbincangan tajuk atau usul dilakukan secara terbuka, solusi daripada fasa umumi dibawa kepada kumpulan pemikir yang khusus untuk diperincikan. Setelah diperincikan dibawa pula kepada Syura atau MT untuk diluluskan dan terus dipratikkan oleh lujnah.

Penulisan diatas adalah pandangan penulis bagi melihat satu tranformasi dilakukan dalam gerakan Islam. Jangan melihat kelemahan sebagai sesuatu yang negatif tetapi anggaplah kelemahan itu pemberi semangat bagi usaha yang lebih baik. Diharapkan kebestarian para pendokong gerakan Islam melahirkan keutuhan gerakan.





Copyright © 2005 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved