Idealis Mahasiswa
 
 

Gelombang perubahan gerakan mahasiswa di UM [wawancara]


Hit = [ ]

sumber - Akhbar Mahasiswa

POLITIK kampus Universiti Malaya sering dikaitkan dengan anti-establisment. Bermula pada tahun 60-an, gerakan pelajar dikaitkan dengan gerakan kiri sosialis. Tahun 70-an dan 80-an dikaitkan dengan gerakan Islamisme sederhana. Tahun 90-an dikaitkan dengan gerakan reformasi dan Islamisme parti PAS. Namun begitu, pada tahun 2004, muncul gerakan baru di kampus itu yang dilabel sebagai pro-Aspirasi kerajaan, menum bangkan status anti-establisment yang diwarisi sejak zaman berzaman.

Kamal Azman, wartawan Akhbar Mahasiswa menemui Profesor Datuk Dr. Razali Agus, Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Pelajar, Universiti Malaya untuk mendengar kupasannya tentang pola perubahan gerakan pelajar kampus itu.

AM: Boleh Datuk komen tentang gerakan pelajar di Universiti Malaya.

Saya lihat Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Malaya (MPPUM) baru berjaya membuat perubahan besar bagi gerakan pelajar. Sebelum ini mahasiswa terpisah kepada dua blok iaitu mahasiswa luar kampus dan mahasiswa di kolej kediaman. Kedua-dua bergerak secara berasingan. Tetapi sekarang jurang pemisah telah berjaya dirungkai. Kedua blok(luar asrama dan Majlis Presiden Jalinan Tindakan Kolej Kediaman) dipersatukan dalam MPMUM. Bermakna suara gerakan mahasiswa di universiti lebih menyeluruh

AM: Menyeluruh ? Apa maksudnya ?

Ya. Dulu hanya mewakili sekelompok mahasiswa. Sekarang mewakili semua. Saya juga dapat merasakan MPMUM sekarang semakin aktif. Mereka juga lebih menumpukan program ke arah pengisian. Umpamanya pengantarabangsaan. Dulu tidak pernah berlaku. Kini pelajar-pelajar akan terlibat dengan pertukaran pelajar antarabangsa. Pelajar-pelajar antarabangsa pula akan datang ke sini. Kedua, mereka juga terlibat dalam program-program baru seperti Program Usahawan yang dianjurkan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi. Saya kira perubahan ini amat positif untuk pembangunan minda dan nilai tambah mahasiswa.

Program pertukaran pelajar antarabangsa akan mendedahkan mereka kepada isu-isu global. MPMUM akan menjadi tuan rumah kepada pemimpin-pemimpin pelajar Asia Pasifik. Maknanya dari segi pengantarabangsaan, pelajar UM berpandangan memimpin bukan setakat isu-isu nasional bahkan peringkat antarabangsa.

Mereka lebih banyak berkongsi maklumat dan berbincang dengan pengurusan HEP dan juga fakulti. MPMUM juga buat roadshow ke kolej-kolej kediaman untuk menerangkan kegiatan-kegiatan mereka.

AM: Benarkah dakwaan yang mengatakan gerakan mahasiswa propembangkang wujud di kampus UM ?

Benar. Memang wujud. Tetapi setakat ini mereka (propembangkang) bergerak secara underground. Kita masih belum mendapat maklumat lanjut. Tetapi kita tahu ada gerakan-gerakan secara kecil-kecilan yang cuba menarik perhatian pelajar-pelajar baru. Percubaan itu kita sedang memantau. Apa yang kita dengar itu adalah ura-ura untuk menyusup masuk ke dalam kegiatan di kolej-kolej kediaman dan persatuan. Sejauhmana kebenaran itu, kita masih belum nampak lagi.

AM: Bukankah usaha memantau gerakan mahasiswa propembangkang bercanggah dengan prinsip demokrasi dan hak asasi mahasiswa ?

Itu pendapat mereka. Itu hak mereka. Tetapi mereka jangan lupa bahawa pentadbir dan universiti juga mempunyai hak yang sama seperti mana yang termaktub dalam Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU). Setiap pertubuhan dan kegiatan pelajar mestilah mendapat kebenaran daripada pihak universiti. Kalau pertubuhan dan kegiatan yang dibuat secara underground, bermakna pertubuhan itu adalah pertubuhan haram yang salah di sisi undang-undang universiti.

Kalau tidak dibendung gerakan tidak sihat ini, ia akan terus menular dan mencemarkan imej universiti sebagai gedung intelektual. Kes seumpama ini pernah terjadi beberapa tahun lepas, apabila pihak-pihak tertentu sengaja menimbulkan kacau bilau dalam kampus dengan menyebarkan surat layang, kenyataan media haram di internet dan menganjurkan demontrasi haram.

Yang berdemonstrasi hanya segelintir daripada mahasiswa. Itupun tidak mewakili 2% daripada keseluruhan mahasiswa. Tetapi masyarakat luar melihat, seolah-olah keseluruhan mahasiswa Universiti Malaya suka memberontak dan berdemontrasi. Imej ini menjejaskan nama baik universiti dan ia perlu dibanteras.

Mahasiswa mempunyai kebebasan untuk menyalurkan pendapat kepada persatuan induk (Majlis Perwakilan Pelajar). Mereka mesti ikut saluran yang betul. Mereka kena menyediakan kertas kerja, kena mohon kelulusan. Kebebasan tetap ada tetapi kena mengikut peraturan. Kita dapati sekarang mereka tidak mengikut peraturan.

AM: Bagaimana dengan kegiatan underground di kampus UM sekarang, adakah masih wujud ?

Masih ada, tetapi sudah terkawal. Demonstrasi pun tiada. Surat layang juga tiada. Maksudnya tidak macam dulu. Mungkin mereka tiada platform. Sekarang kita sedang menyiasat kegiatan-kegiatan underground yang berselindung di sebalik persatuan tertentu misalnya PMIUM.

AM: Kenapa PMIUM perlu disiasat ? Bukankah badan itu persatuan rasmi universiti ?

Kita dapati sebahagian kegiatan yang dianjurkan mereka (PMIUM) dijalankan secara haram dan tidak mendapat kebenaran universiti.

AM: Kegiatan haram ? Maksud Datuk ?

Umpamanya website (laman web). Kita difahamkan mereka membina website, tetapi mereka tidak pernah maklumkan kepada pihak kita. Kedua, pemakaian istilah-istilah bahasa yang bertentangan dengan AUKU.

Misalnya istilah ‘lajnah’ atau ‘muktamar’. Dalam AUKU tidak terdapat perkataan-perkataan seumpama itu. Yang ada hanya ‘jawatankuasa’ atau ‘mesyuarat agung’. Kita telah menghantar surat kepada PMI untuk menberi penjelasan kenapa tindakan perlu diambil. Jadi, mereka mengatakan ada kelulusan dari pegawai (HEP).

Saya sedang menyiasat, siapa pegawai yang meluluskan ? Ini sebahagian dari siasatan kita. Kita akan panggil. Kalau penjelasan tidak memuaskan, kita akan ambil tindakan yang sesuai dengan peraturan dan undang-undang. Banyak lagi kes-kes lain yang masih dalam siasatan kita..

AM: Benarkah dakwaan pihak PMIUM memboikot pilihan raya kampus UM baru-baru ini kerana tidak bersetuju dengan ketidaktelusan di kampus ini ?

Tidak ada surat dari PMI. Saya tidak pernah menerima surat dari mereka yang mengatakan tidak bersetuju. Kalau adapun dulu, hanya surat dari bekas presiden MPMUM, bukan dari PMIUM.

AM: Benarkah tuduhan-tuduhan itu ?

Semuanya diurus secara terbuka dan telus. Digembleng oleh jawatankuasa yang dilantik oleh Naib Canselor. Jawatankuasa terdiri daripada semua pegawai. Dan ia terbuka. Masa pemilihan tiada masalah. Tiada bantahan. Pihak-pihak yang kalah pun tidak membantah. Kalau tiada bantahan, ini bermakna telus.

      

Diandaikan bahawa pelajar yang tidak sokong proaspirasi akan dibuang kolej. Itu tidak berlaku. Kononnya dikatakan pihak jawatankuasa pilihan raya memantau siapa yang mengundi siapa. Saya tidak pernah lihat kertas undi. Kertas undi disimpan oleh satu pihak yang diketuai oleh Yang Berbahagia Datuk Prof. Ramlah Adam, Pengerusi Jawatankuasa Memantau. Jadi, semua elegation mereka tidak berasas. Keresahan mereka juga tidak berasas. Selepas pilihan raya, peti undi dibawa oleh satu pihak Jawatankuasa Memantau. Hanya segelintir sahaja pelajar-pelajar yang tidak suka kepada perubahan ini. Mereka nampak perubahan yang berlaku.

AM: Maksudnya tuduhan itu sengaja dibuat semata-mata kerana tidak senang dengan perubahan yang berlaku di UM ?

Ya. Yang penting mahasiswa peringkat MPP dan kolej kediaman bersama dengan pengurusan Universiti Malaya dalam banyak hal. Tidak ada lagi yang terpisah. Kita hendakkan kalau ada persatuan pelajar yang cuba menyimpang, berunding bersama-sama MPP. Mereka dipilih oleh pelajar. Sebelum ini mereka berkonfrantasi antara MPP dengan kolej kediaman. Sekarang ini mereka lebih persefahaman.

AM: Benarkah dakwaan yang mengatakan pihak UM tidak tegas dalam menangani kegiatan underground pelajar. Bahkan dikatakan tiada sebarang tindakan tatatertib diambil setakat ini. Benarkah dakwaan ini ?

Kita telah mengambil beberapa kes yang masih dalam proses perbicaraan. Tetapi kita tidak dedahkan kepada pihak media kerana kita fikir tidak perlu. Pihak media tidak perlu campur tangan kerana itu peraturan Jawatankuasa Tindakan Tatatertib.

Pendekatan HEP sekarang ialah pendekatan untuk mendekati pelajar. Untuk memulihkan dan menyedarkan pelajar. Seterusnya, kalau mereka kena tahan, kalau boleh kita nak sedarkan mereka terlebih dahulu. Saya tidak mahu dikatakan antigonistik.

Betulkan yang tidak betul. Pisah atau sisihkan segelintir yang hardcore dari segi ideologi politik luar. Kita akan memantau dan memerhatikan mereka. Kalau dia melakukan tindakan di luar peraturan dan undang-undang, kita akan ambil perintah kerajaan. Segelintir itu sahaja yang berma salah. Sekarang segelintir itu, tidak seefisen dulu lagi.

AM: Misalnya Soladariti Pertubuhan Malaysia (SMM) sebuah pertubuhan haram, dikatakan tenaga pengeraknya dari UM ?

Saya tidak pasti pertubuhan itu. Difahamkan pertubuhan luar. Kita tidak tahu persatuan itu wujud atau tidak. Kita difahamkan ketua persatuan itu telah graduat. Bukan pelajar UM lagi. Kalau masih berstatus pelajar UM dan melakukan tindakan-tindakan yang mencemar nama baik universiti, kita akan mengambil tindakan yang sewajarnya ke atas pelajar itu. Kita sedang siasat.

AM: Semua fenomena ini secara simbolik mereka memprotes AUKU. Apa komen Datuk ?

Setiap pelajar mempunyai peraturan. Mereka perlu ikut peratuaran. Dari segi rekod kita, tiada lagi pelajar yang menulis kepada saya yang mereka tidak suka kepada AUKU.

Belum ada lagi. Saya pun belum ada lagi maklumat dari pengetua yang mengatakan pelajar tidak suka AUKU. Kalau ada di luar tu, saya tidak pastilah. Maksudnya dia perlu sampaikan kepada kita, mengapa dia tidak beritahu kita. Kalau dia berhubung di luar, tanpa melalui kita itu dikira tidak mengikut peraturan. Dia berhubung dengan orang luar tanpa kelulusan HEP, pun tidak boleh juga.

AM: Misalnya turut didakwa AUKU menyebabkan kegiatan mahasiswa lesu ?

Saya rasa mereka tidak memahami apa yang mereka cakap. Jika dilihat di UM sendiri hampir 900 kegiatan setahun. Maknanya satu hari ada 3 kegiatan. Itu tidak termasuk kegiatan formal di peringkat fakulti dan kolej kediaman. Ini semua kegiatan yang kena buat kertas kerja, kena dapatkan kelulusan, ahli jawatankuasa.

Satu jawatankuasa sekurang-kurangnya 20 orang. Jadi, 900 didarabkan dengan 20 orang, dah 18,000 orang. Jadi, jumlah pelajar UM 21,000 orang. Maknanya 18,000 terlibat. Maknanya aktiflah pelajar UM.

AM: Bagaimana pula dengan peranan SUHAKAM ? Dikatakan SUHAKAM turut menerima aduan daripada pelajar-pelajar yang mendakwa wujudnya penyelewengan dalam pilihan raya kampus.

Kita telah menyarankan kepada Sekretariat Timbalan Naib Canselor HEP agar mengadakan pertemuan dengan SUHAKAM untuk menerangkan kegiatan pelajar supaya mereka tidak salah faham. Apa yang berlaku sekarang ini, mereka (SUHAKAM) mendapat maklumat dari satu pihak sahaja iaitu pihak yang tidak suka kepada pengurusan HEP. Kita mengharap kan sekretariat ini akan medapat satu ruang untuk kita menerangkan kerana ada peraturan yang tidak difahami oleh pihak-pihak tertentu misalnya tentang pelaksanaan akta, AUKU dan peraturan universiti. Mereka tidak faham bagai mana kolej kediaman itu diurus dan ditadbir dan apakah peraturan serta perundangan yang ada di situ. Kalau mereka tahu, mungkin dapat menyelesaikan banyak masalah yang dikemukakan oleh pelajar.

AM: Adakah SUHAKAM berhak untuk campur tangan dalam sesebuah universiti ?

Sepatutnya tidak timbul isu ini kalaulah pelajar-pelajar tersebut mengikut saluran-saluran pentadbiran yang ada terutamanya jika masalah itu berlaku dengan kolej, selesaikan dengan pengetua.

Kalaulah pihak kolej tidak mengambil tindakan, mereka boleh mengadu kepada TNC HEP. Kalau tidak ada tindakan, lapor pula kepada Naib Canselor.

Kalau tidak ada tindakan lagi, kepada Menteri. Kalau menteri tidak boleh ambil tindakan, laporlah kepada SUHAKAM. Ikutlah saluran ini. Tetapi sekarang, pihak itu bebas melangkaui. Bagi saya, mereka tidak mengikut aturan-aturan yang diharapkan. Maknanya, kalau dia melapor kepada SUHAKAM, tidak kenalah pada tempatnya.

Bagi saya, SUHAKAM tidak perlu campur kerana kita ada mekanisme yang tersendiri. Contohnya UM ada Jawatankuasa Rayuan, Jawatankuasa Pemantau an yang terdiri daripada orang yang berkecualian, bertaraf profesor, matang dan banyak pengalaman.

AM: Adakah pihak universiti pernah berunding dengan SUHAKAM pernah sebelum ini ?

Pernah. Kita panggil berunding mesyuarat dalam jawatankuasa Sekretariat HEP dan Reaktor HEP di Ipoh.

AM: Apa keputusannya ?

Mereka menjelaskan aduan yang diterima. Pihak kita telah membuat penjelasan. Terdapat laporan yang tidak tepat yang turut diterima. Hanya tuduhan bersifat sentimen tanpa bukti kukuh.





Copyright © 2005 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved