|
PENDEKATAN mendera masyarakat dengan pelbagai ketakutan adalah menjadi pilihan ramai orang Muslim yang menyampaikan ajaran agama di negara ini. Malah sesetengah mereka amat kreatif dalam mencipta pelbagai ketakutan. Cara mereka mencipta ketakutan-ketakutan itu pula cukup mudah, iaitu dengan mengecapkan perkara-perkara yang mahu ditakuti masyarakat dengan hukum haram atau mengatakan ia sesat dan merosakkan akidah. Pada hal perkara-perkara yang mereka hukum begitu bukan haram atau sesat dan merosakkan akidah, tetapi mereka sendiri mentafsirkan begitu kerana salah faham atau mempunyai agenda politik.
Menampilkan pendekatan mendera masyarakat dengan pelbagai ketakutan dalam menyampaikan ajaran agama itu dianggap tidak sihat dan bertentang dengan dakwah Islam terutama jika sampai ke peringkat mengeluarkan hukum terhadap seseorang atau sesebuah kumpulan sebagai sesat, rosak akidah, murtad, kafir dan sebagainya.
Jika merujuk kepada al-Quran dan hadis kita dapati terdapat banyak nas yang menyebut tentang targhib dan tarhib. Targhib bermaksud menggalak dan mendorongkan seseorang bersungguh-sungguh dalam berbuat ibadat, kebajikan, kerja, berakhlak baik, mesra, tolong-menolong dan sebagainya. Manakala tarhib pula bermaksud menakut-nakutkan orang supaya tidak cuai menunaikan ibadat, kebajikan, kerja, berakhlak baik, mesra, tolong-menolong dan sebagainya.
Pendekatan menakut-nakut atau tarhib yang disarankan dalam al-Quran dan hadis adalah bersifat umum dan tidak bersifat khusus menghukum orang atau pihak tertentu. Sebagai contoh al-Quran dan hadis menyebut bahawa orang atau pihak yang melakukan dosa itu terutama dosa besar akan dihumban ke dalam neraka jika mereka tidak bertaubat.
Al-Quran dan hadis tidak menyebut secara khusus nama orang atau puak yang melakukan dosa itu serta menghukumkan mereka kecuali dalam beberapa kes yang jelas seperti kes Abu Jahal, Abu Lahab dan seumpamanya.
Bagaimanapun, ramai Muslim di negara ini mengamal ajaran agama tidak tepat dengan peruntukan al-Quran dan hadis itu. Mereka menjadikan hukum al-Quran dan hadis yang umum sebagai hukum khusus untuk menghukum orang atau pihak tertentu.
Itu yang dilakukan oleh Pas dalam kempen terbarunya memerangi apa yang didakwa sebagai bahaya Islam liberal. Mereka melabel atau menghukum orang atau pihak tertentu sebagai Islam liberal yang didakwa berbahaya itu.
Bagaimanapun, matlamat mereka dalam kempen itu bukan terhenti setakat memerangi orang atau pihak tertentu sahaja, tetapi menganjur ke arah memerangi pendekatan Islam Hadhari Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Pas sebelum ini tidak ada 'senjata' yang dianggap mampu memerangi konsep Islam Hadhari, tetapi kini mereka telah menemuinya iaitu Islam liberal. Berikut diturunkan beberapa tindakan Pas untuk memerangi pendekatan Islam Hadhari melalui kempen Islam liberal itu.
Pada 15 April Dewan Pemuda Wilayah Persekutuan (DPPWP) telah menganjurkan demonstrasi menentang Islam liberal. Ketua Penerangan DPPWP, Herman Samsudden berkata, demonstrasi itu diadakan bagi menyatakan bantahan terhadap gerakan Islam liberal yang kini semakin berani mencabar undang-undang negara dan Islam khususnya.
Dia menyebut dengan jelas pihak yang dianggap Islam liberal itu, iaitu Sisters In Islam (SIS) dan Jawatankuasa Kaukus Parlimen yang didakwa telah mengkhianati umat Islam dan akhlak masyarakat Malaysia.
"Usaha tidak bermoral dan tidak bertamadun oleh SIS dan kumpulan lainnya yang cuba melenyapkan pengaruh Islam dalam perundangan negara akan kita tentang bagi memastikan agama Islam dapat dihormati dan tidak diperlekehkan," katanya.
Pada 20 April lalu Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang melancarkan kempen 'menentang Islam liberal' anjuran Pemuda parti itu. Pada hari yang sama Pemuda Pas mengedarkan lebih 3,000 risalah kepada warga ibu kota mengenai bahaya Islam liberal. Dalam risalah tersebut, Pemuda Pas mendedahkan siapa dan pihak mana terlibat dan memberi sokongan kepada Islam liberal. Selain itu Pas juga telah mengadakan beberapa forum yang membincang tentang bahaya Islam liberal ini termasuk yang turut disertai penulis di Pasir Gudang, Johor Bahru pada 15 Mei lalu.
Kini kempen Pas menggunakan Islam liberal untuk memerangi Islam Hadhari diteruskan dan ia menggunakan pelbagai cara termasuk ceramah. Ia dianggap kali pertama usaha Pas memerangi Islam Hadhari dilihat memberi kesan. Ini kerana tindakan parti itu menggunakan Islam liberal untuk memerangi Islam Hadhari nampaknya mendapat perhatian ramai orang awam.
Orang kerajaan yang kurang bijaksana dan kurang pintar dalam politik turut terjebak dengan permainan politik Pas. Mereka pun turut menghukum Islam liberal sebagai sesat dan rosak akidah.
Mereka sendiri secara tidak sedar diri melakukan perkara yang dianggap memerangi pendekatan Islam Hadhari.
[Dua para di atas tidak terdapat dalam rencana yang disiarkan dalam Mingguan Malaysia]
Sebenarnya Islam liberal bukan nama atau label khusus bagi sesebuah puak, tetapi ia nama atau label umum mencakupi bermacam-macam golongan dan aliran yang berfikiran bebas dan terbuka.
Jika ada orang atau puak Islam liberal dianggap sesat dan rosak akidah, tetapi ini bukan bererti boleh pukul borong menganggap semua orang dan puak Islam liberal sebagai sesat dan rosak akidah.
Islam liberal sama dengan beberapa istilah seperti Islam bebas (al-mutaharrir) dan Islam terbuka (al-Islam al-matafattih) kerana liberal bermaksud bebas dan terbuka. Jadi kebebasan dan keterbukaan bukan salah dan haram, tetapi yang salah ialah pelaksanaan kedua-dua itu secara tidak batil dan haram.
Malah jika menghalusi Islam liberal yang punca ketakutan ramai orang awam Islam di negara ini ada bermacam-macam puak dan aliran.
Penulis pernah berbincang dengan seorang penggiat Islam liberal Indonesia, Kiai Hussein Muhammad. Beliau seorang guru pondok berkelulusan Universiti Al-Azhar. Beliau memberitahu penulis bahawa tidak semua beliau bersetuju dengan isu-isu yang diperkatakan oleh golongan Islam liberal di Indonesia dan beliau tidak membantah kerana perbezaan pendapat dibenarkan dalam Islam.
Selain itu golongan Islam liberal di Indonesia termasuk ramai cerdik pandai Muslim terkenal seperti Muhammad Natsir, Nurcholis Majid dan Gus Dur. Mereka dilabel atau memanggil diri mereka begitu kerana mereka berfikiran terbuka dan menolak aliran agama tertutup dan jumud.
Ramai cerdik pandai Muslim terkenal di dunia Islam dilabel atau memanggil diri mereka sebagai Islam liberal seperti Rif'at Tahtawi, Qasim Amin, Ali Abd. al-Raziq, Hassan Hanafi, Yusuf al-Qaradawi, Mohammad al-Ghazali, Mohammad Amara, Fazlur Rahman, Rachid Ghannouchi, Muhammad Iqbal, Mohammed Abid Jabiri, Ali Syariati dan puluhan pemikiran Muslim yang lain.
Di kalangan ulama Muslim zaman silam, kita boleh dapati ramai ulama besar seperti al-Farabi, Ibn Sina, Ibn Rusyd, Ibn Khaldun, Imam asy-Syatibi dan lain-lain ulama besar yang dibenci dan diperangi ulama-ulama ortodoks adalah merupakan ulama liberal kerana mereka berfikir maju dan terbuka.
| |
Merekalah yang terlibat dalam membangunkan tamadun Islam Baghdad dan Andalusia dulu. Bagaimanapun, selepas para ulama ortodoks berjaya memerangi ulama-ulama liberal itu serta berjaya memusnahkan buku dan pemikiran mereka, dunia Islam pun dikuasai zaman kegelapan dan ia berterusan sehingga ke hari ini.
Dalam Pas sendiri terdapat pemimpin-pemimpinnya yang liberal seperti Setiausaha Agung Pas, Nasharuddin Mat Isa dan Azizan Abdul Razak. Mereka berdua merupakan pemimpin Pas berpendidikan agama yang berfikiran terbuka dan berbeza dengan Presiden parti itu Abdul Hadi dan Mursyidul amnya Datuk Nik Aziz Nik Mat. Bagaimanapun, Abdul Hadi dan Nik Aziz kini sudah dianggap liberal kerana dulu mereka menentang wanita menjadi calon pilihan raya, tetapi kini mereka membenarkan perkara itu. Malah mereka juga membenarkan wanita bertanding dalam pemilihan Naib Presiden. Lain-lain pemimpin Pas yang liberal adalah golongan profesional yang kebanyakan mereka adalah orang Jamaah Islam Malaysia (JIM).
Dalam pada itu maksud liberal itu sendiri tidak ada erti yang perlu ditakutkan. Dalam Kamus Dewan, Inggeris-Melayu liberal bermaksud toleransi, terbuka, pemurah dan longgar. Dalam kamus Inggeris, Merriam Webster, liberal bermaksud broad-minded, open-handed, dan loose. Dalam kamus Arab liberal bermaksud bebas, terbuka, murah hati dan progresif.
Sudah tentu jika melihat maksud dalam semua bahasa di atas tidak ada apa yang dianggap salah dan haram dari segi hukum agama kecuali pengamal melaksanakannya secara tidak betul. Ini bererti jika liberal diamal secara betul dan baik, maka ia dianggap betul dan baik. Sebaliknya ia diamal secara tidak betul dan tidak baik, maka ia dianggap tidak betul dan tidak baik.
Liberal sebenarnya merupakan sifat semula jadi dan fitrah yang terdapat diri semua manusia kerana tiada manusia yang tidak suka kebebasan. Sifat semula jadi inilah yang melahirkan apa yang dipanggil liberalisme, iaitu perjuangan dan falsafah liberalisme.
Dalam konteks perjuangan dan falsafah liberalisme yang muncul pada abad pertengahan dulu sebenarnya ada kaitan dengan Islam. Ini kerana perjuangan dan falsafah liberalisme tidak datang secara tidak tiba-tiba di Eropah. Ia juga tidak pula ada penciptanya seperti semua teori politik, ekonomi dan lain-lain seperti kapitalisme, sosialisme dan sebagainya kerana ia merupakan fenomena masyarakat dan perjalanan sejarah. Bagaimanapun, liberalisme merupakan permulaan bagi teori-teori politik dan ekonomi itu. Ia muncul selepas pertembungan antara orang Barat dengan orang Muslim dalam jangka masa yang sangat lama, iaitu melebihi seribu tahun. Dalam erti kata lain liberalisme yang menjadi masalah kepada orang Muslim kini sebenarnya dicedok dari tamadun Muslim.
Pertembungan antara orang Barat dengan orang Muslim berlaku di dunia bahagian. Pertama di Syam (kini Syria, Lebanon, Jordan, Palestin dan Israel) dan kedua di Andalusia (kini dalam Sepanyol) Pertembungan ini mempengaruhi orang Barat dan membawa kepada perubahan pemikiran dan sikap terdapat bangsa-bangsa Eropah yang berada dalam keadaan mundur itu. Perkembangan ini secara beransur-ansur menyebabkan sifat liberal yang menjadi fitrah manusia itu merangsang orang Eropah dan menyebabkan mereka bangkit membentuk liberalisme yang menjadi asas pembinaan tamadun Barat kini.
Pertembungan berkenaan dapat dilihat dalam beberapa aspek ini.
Sekecil-kecil bandar Islam sama dengan sepuluh kali ganda bandar besar Eropah seperti Rom. Ia menunjukkan betapa majunya pembangunan fizikal umat Islam pada zaman pertengahan yang merupakan zaman kegelapan bagi orang Barat itu.
Orang Barat pada zaman pertengahan dulu tidak membaca kecuali Injil. Mereka yang boleh membacanya pula hanya paderi kerana masyarakat buta huruf dan jika ada yang boleh membaca pun diharamkan mereka membaca kecuali Injil. Injil dijadikan satu-satunya kitab yang dibaca kerana ia dianggap kitab suci yang wajib dipelajari disebabkan di dalam ada segala-galanya kerana ia kitab syumul dan lengkap.
Sedangkan kitab-kitab atau buku-buku lain diharamkan membacanya kerana ilmu yang ada di dalamnya dianggap kafir belaka. Pada ketika itu kebanyakan bandar Islam penuh dengan perpustakaan pelbagai ilmu bermula dari ilmu agama sehingga ke ilmu sastera, falsafah, perubahan, falak, sains dan lain-lain. Ulama-ulama Islam tidak seperti ulama kita sekarang kerana mereka menjadi ilmuwan dalam bidang agama dan saintis sekali gus. Sedangkan ulama kita kini tidak berbeza dengan paderi zaman pertengahan dulu.
Ketika itu orang Barat tidak sembahyang dan bertaubat kecuali paderi, tetapi orang Muslim boleh sembahyang dan bertaubat tanpa perantaraan. Ini kerana ibadat dalam Islam boleh dilakukan oleh sesiapa saja dan boleh diadakan di mana-mana tanpa ada rumah ibadat.
Ketika itu juga gereja menyiksa dan membunuh para ilmuan dan saintis, tetapi orang Muslim menyanjung mereka kecuali pada zaman pemerintah korup dan ada ulama jahat menjadi penghasut seperti dilakukan ke atas al-Farabi, Ibnu Sina, Ibnu Rusyd dan lain-lain.
Orang Eropah menganggap pemerintah mereka dari keturunan Tuhan dan mereka tidak boleh dikritik, tetapi pemerintah Islam merupakan orang biasa dan mereka kadang-kadang orang Arab, kadang-kadang orang Turki, kadang-kadang orang Parsi dan lain-lain.
Untuk mengetahui betapa hebatnya umat Islam pada ketika itu memadai disebut di sini bahawa maharaja Eropah paling agung, Frederique II bercakap bahasa Arab seperti ramai pemimpin Muslim kini bercakap bahasa Inggeris. Malah istana baginda pun menggunakan bahasa Arab. Dengan itu bila baginda mengadakan perjanjian dengan Sultan Kamil al-Ayubi, baginda tidak perlukan jurubahasa kerana baginda menguasai bahasa Arab. Bagaimanapun, kerana sebab baginda terlalu liberal dengan Islam dan umatnya menyebabkan baginda diperangi para paderi dan mereka menghukumnya sebagai kafir.
Itulah antara faktor yang menyebabkan orang Eropah menjadi liberal dan berfahaman liberalisme.
Kerana semua faktor ini dan faktor-faktor lain yang tidak disebutkan di sini sebagai terhasil daripada pertembungan antara orang Kristian dan umat Muslim menyebabkan berlaku pemberontakan ke atas gereja dan seterusnya meletus revolusi Perancis pada tahun 1789 Masihi yang menjadi asas kepada pembinaan tamadun Barat sekarang.
Perlu dijelaskan bahawa walaupun liberalisme ada kaitan dengan Islam atau ia merupakan cedokannya, tetapi penulis tidak menafikan ada perkara yang tidak betul dalam liberalisme Barat kini. Begitu juga Islam liberal di Indonesia. Tetapi ini bukan bererti menjadi kesalahan liberalisme atau Islam liberal, tetapi ia merupakan kesalahan kita atau manusia kerana menyalahgunakannya.
Ini samalah seperti orang yang menyalahgunakan sifat liberal dalam diri tanpa memikirkan ia dibataskan oleh sifat liberal yang ada pada orang lain.
|