Idealis Mahasiswa
 
 

Surat terbuka kepada pemimpin PAS


Hit = [ ]

sumber - Malaysia-today

BILANGAN DUA 2005

Bismillahhi Rahmani Rahim,

Saudara YB Presiden Ustaz Haji Abdul Hadi Awang, Saudara Timbalan Presiden Ustaz Haji Nasharuddin Mat Isa, Saudara Naib-Naib Presiden, Ketua Dewan Ulama, Dewan Muslimat, Dewan Pemuda, Ketua Pergerakan An Nisa, seluruh AJK Pas Pusat, AJK Dewan-Dewan di semua peringkat, Editor Harakah dan Editor Harakahdaily.

Salamullah hi alaikum jamiaa.

Sungguhpun saya menyangka Presiden Pas YB Haji Abdul Hadi Awang tidak membaca apa yang ditulis ini, saya percaya ramai lagi pemimpin dan penyokong Pas samada di dalam negara atau di luar negara yang akan membacanya. Justeru itu saya menulis jua walau dalam kesibukan kerana Haji Hadi apabila menerima pencalonan untuk menjadi Presiden Pas bermakna beliau sanggup untuk menjadi wakil kepada seluruh rakyat khasnya umat Islam yang tidak bersetuju dengan tindakan kerajaan Barisan Nasional.

Saya tidak pasti apakah Haji Hadi sedar bahawa beliau adalah presiden Pas dan bukannya mufti-mufti kerajaan Barisan Nasional yang ada pada hari ini. Saya juga tidak tahu apakah beliau sedar bahawa bekas Presiden Iran Hashemi Rafsanjani kalah di tangan Mahmoud Ahmadinejad dalam pilihanraya presiden Iran pada hari jumaat 24 Jun lalu.

Hal ini timbul apabila sepatah haram tidak keluar daripada mulut Haji Hadi ulasan terhadap apa yang berlaku di Iran. Hanya bendahari Dr Ramli Hatta yang membuat kenyataan dan kemudian diikuti oleh YB Datuk Kamaruddin Jaafar yang mengalu-alukan kemenangan Ahmadinejad. Haji Hadi nampaknya memilih untuk menjadi Megawati Pas. Megawati terkenal sebagai Presiden tidak banyak mulut dan sering membisu atas apa jua isu yang timbul di Indonesia sepanjang karier beliau sebagai Presiden Indonesia.

Barangkala ada persamaannya kerana Ibu Mega popular menumpang tuah ayahandanya Sukarno manakala Haji Hadi menumpah tuah Datuk Fadzil Noor sejak tahun 1983 sehinggallah Datuk Fadzil Noor meninggal lebih 3 tahun lalu.

Beliau barangkali masih menyangka Datuk Fadzil Noor masih hidup untuk mengaktifkan Pas dan menghidupkan mood umat Islam lalu beliau terus berdiam diri atas apa jua isu yang berlaku dalam negara. Cukuplah barangkali bagi beliau mempengerusikan mesyuarat AJK Pas Pusat sebulan sekali dan sekali-sekala berceramah jika ada Pas kawasan yang menjemput beliau di samping mengajar di masjid Rusila dan masjid Batu 6 Kuala Terengganu.

Beliau seolah-olah setaraf dengan mufti kerajaan yang duduk diam-diam di pejabat tanpa mempedulikan samada di luar pejabat ada pelacur yang sedang berzina. Tidakkah pejabat mufti Wilayah Persekutuan hanya beberapa ratus meter dengan pusat pelacuran di ibu negara?. Haji Hadi memilih untuk berdiam diri walaupun masjid Bujal Kemaman dirobohkan, beliau membisu seribu bahasa apabila Perdana Menteri mengistiharkan tahap darurat kepada gejala HIV akibat perzinaan dan dadah. Beliau bagaikan tidak membaca akhbar atau melihat TV apabila diam menikus apabila Tan Sri Isa disabitkan dengan kesalahan rasuah.

Beliau bukan sahaja berdiam diri terhadap isu yang ditimbulkan oleh kerajaan Barisan Nasional tetapi tidak kelihatan atau dilaporkan menziarahi pemimpin Pas yang sakit seperti Pesuruhjaya Pas Kedah. Memang benar beliau ke Mesir dan memang itu hak beliau namun tidakkah Harakah pernah mencanangkan bahawa beliau seorang yang celik IT, kenapa tidak ada kenyataan beliau daripada negara - negara yang beliau lawati melalui e mail misalnya.

      

Kekalahan Rafsanjani di tangan Ahmadinejad sepatutnya menjadi pengajaran kepada Haji Hadi bahawa jubah ulama tidak bermakna sekiranya perut rakyat lapar dan pemimpin mengasingkan diri daripada rakyat. Justeru itu majoriti pengundi Iran memilih anak tukang besi yang ramah dengan rakyat dan berpakaian seperti seorang tukang kasut. Rakyat Iran menolak ulama berjubah dan berserban serta dikenali sebagai Saudagar kacang Pistachio. Kita tidak bermaksud menghina ulama tetapi ulama Islam adalah ulama yang akrab dengan rakyat bukannya ulama yang mahu dipuja oleh rakyat. Ulama Islam adalah ulama yang berkorban bukannya ulama yang berpura-pura tidur apabila kereta hampir sampai ke pondok tol.

Pakailah apa yang Haji Hadi mahu pakai tetapi sebagai pemimpin beliau perlu bijak, Kenapa setelah kematian Datuk Fadzil Noor Haji Hadi amat kurang sekali memakai baju melayu ke pejabatnya di Wisma Darul Iman sewaktu menjadi Menteri Besar. Hebatkah sangatkah beliau dengan jubah? Rakyat Terengganu dan rakyat Iran telah buktikan pakaian jubah dan serban tidak bermakna apa sekiranya pemimpin gagal mendekati rakyat.

Selagi Haji Hadi dan pemimpin pas gagal menjadi kawan rakyat maka selama itulah rakyat akan menjauhkan diri dari pemimpin Pas. Maka selama-lamanya Pas akan menjadi si luncai di dalam pentas demokrasi kalaupun tidak menjadi si badut dan boneka kepada sistem demokrasi.

Kita tidak mahu Haji Hadi kekal menjadi maskot Pas. Kita mahu Haji Hadi membuka mulut atas isu yang timbul, kita mahu Haji Hadi yang boleh ke tengah ke tepi dan sanggup berhujan dan berpanas dengan rakyat. Di mana Haji Hadi di saat rakyat merindui pemimpin sebaik Fadzil Noor? Kalau merasa tidak mampu lepaskan jawatan kerana rakyat dahagakan perubahan, rakyat sudah muak hidup dalam ketakutan di bawah kerajaan Barisan Nasional kerana jenayah yang tidak mengenal siang dan malam.

Perubahan hanya layak dipimpin oleh insan yang berani dan berbudi pekerti. Perubahan hanya akan berlaku apabila ummah mempunyai pemimpin yang berkarismatik dan dedikasi.

Sehingga hari ini rakyat masih menunggu siapakah mereka di kalangan pemimpin Pas kerana setelah hampir sebulan Pas bermuktamar kebanyakan pemimpin samada AJK Pas Pusat atau AJK Dewan Ulama kebanyakannya masih tidur di rumah diulik isteri masing-masing. Maka lebih mulialah TV 3 yang aktif mencari orang miskin untuk di bantu menerusi rancangan Bersamamu berbanding pemimpin Pas yang gagal berdakwah dan gagal membantu orang yang kesusahan.

Anis Idayu


Penulis boleh dihubungi melalui email: norfaalia26@yahoo.com





Copyright © 2005 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved