Idealis Mahasiswa
 
 

'Semangat perjuangan' al-Fadhil Ustaz Hassan Shukri


Hit = [ ]

oleh Mat Zain, PAS WP
sumber - Ummah online 10:30pm 25 Feb 2005

Pada jam lapan malam 19 Februari 2005 yang lalu, kami sahabat-sahabat al Fadhil Ustaz Hassan Shukri dijemput hadir oleh beliau untuk merasai juadah masakan ala Mekah kerana ada sahabat beliau yang baru balik dari menunaikan haji membawa bahan-bahan masakan ala orang Arab untuk dinikmati oleh kami semua sebagai sahabat-sahabat lama al Fadhil Ustaz Hassan. Ramai juga yang hadir untuk menikmati juadah ala Arab ini.

Rupa-rupanya jamuan ini adalah satu kesempatan untuk al Fadhil ustaz meluahkan isi hatinya tentang pertandingan jawatan Timbalan Presiden yang akan berlaku pada bulan Jun ini di PUTIK Kelantan. Al Fadhil telah memaklumkan kepada sahabat-sahabat beliau di negeri-negeri dan kepada kami yang hadir di rumahnya pada malam itu bahawa beliau “TIDAK BERTANDING” mana-mana jawatan dalam PAS walaupun mendapat pencalonan.

Menurut al Fadhil, keputusan drastik ini yang telah beliau ambil ini adalah untuk kebaikan parti dan jemaah. Beliau memaklumkan kepada kami bahawa beliau lebih suka menjadi penasihat parti dan lebih suka melihat parti ini berkembang dengan lebih pesat lagi.

Dan jika dilihat dari segi realiti masa kini, al Fadhil mengatakan bahawa masa kini bukanlah masa untuk beliau menjadi kepimpinan tertinggi parti lagi kerana faktor usia dan masa untuknya telah dikira berlalu dan al Fadhil lebih suka kepimpinan parti terutamanya jawatan Timbalan Presiden diterajui oleh kehendak perwakilan khususnya Datuk Dr Harun Din.

      

Jadi pada malam itu kami semua seumpama telah diberi arahan untuk menghebahkan perkara “TIDAK BERTANDING” mana-mana jawatan dalam parti kerana al Fadhil berulang kali mengibaratkan bahawa sudah sampai musim untuk beliau berehat.

Pada malam itu juga kami diarahkan untuk menganggap keputusan itu adalah merupakan satu amanat beliau. Kami semua dapat melihat betapa tingginya “semangat perjuangan” yang dimiliki oleh al Fadhil Ustaz Hassan. Beliau lebih mementingkan perjuangan PAS mengatasi segala-galanya.

Di sini saya memohon maaf di atas hebahan tentang perjumpaan tersebut kerana ianya adalah satu perkara penting untuk jemaah amnya dan PAS khususnya. Walaupun kami semua amat sedih dan pilu tetapi itulah hakikatnya. Harapan al Fadhil Ustaz Hassan Shukri agar kawan-kawan di seluruh negara memahami keadaan beliau dan parti pada masa kini. Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar!





Copyright © 2005 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved