|
Isu perbicaraan kes Soh Sook Hwa yang didakwa telah melanggar Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dengan menyertai kempen Naib Presiden Keadilan semasa pilihanraya umum yang lepas telah menarik perhatian pelbagai pihak terutamanya parti-parti politik pembangkang. Perkara ini jelas membuktikan bahawa pergerakan mahasiswa pro-pembangkang di universiti mempunyai pertalian sangat rapat dengan parti-parti politik luar kampus.
DAP bersama-sama dengan sekumpulan aktivis kampus seperti PBTUSM, PMIUSM, DEMA, SSM dan lain-lain lagi telah melancarkan demontrasi di depan pintu masuk USM Sg. Dua dengan membentangkan kain rentang dengan mesej memansuhkan AUKU dan mengembalikan hak mahasiswa. Di samping itu juga, beribu-ribu risalah ditabur dan dilayangkan di sekitar USM dengan tujuan menghasut semua mahasiswa turut serta dalam menyertai demonstrasi dan menentang pihak Dato’ TNC HEPP yang berani mengenengahkan kes salah laku tersebut sekaligus mendesak pihak Universiti untuk menggugurkan dakwaan.
Pembabitan warga kerja Berita Kampus USM, yang cenderung menyokong pihak pro-pembangkang dan dikuasai oleh aktivis mahasiswa pro-pembangkang di kampus, dengan beraninya mengkritik segala dasar dan aktiviti yang telah ditetapkan oleh pihak HEPP USM dan kegiatan-kegiatan mahasiswa pro-aspirasi termasuklah Forum Islam Hadhari. Malah turut disiarkan artikel berkenaan pergerakan mahasiswa terdahulu yang cenderung dengan konsep demonstrasi agar kaedah ini diguna pakai kembali oleh mahasiswa era ini sebagai wadah dalam menyatakan rasa tidak puas hati terhadap pentadbiran universiti dan kepimpinan negara.
Apakah tindakan yang telah dibuat oleh pihak pentadbiran tertinggi universiti? Mereka seperti merestuinya. Membiarkan Berita Kampus USM terus-terusan digunakan sebagai wadah utama sebaran maklumat pro-pembangkang, membenarkan kemasukan bekas aktivis pro-pembangkang terdahulu bekerja di USM dan sebagainya.
Adakah benar NC USM menternak mahasiswa pro-pembangkang? Isu ini kian panas kerana ia telah berjaya dikupas oleh sebahagian aktivis mahasiswa yang pro-aspirasi dan menyokong kepimpinan kerajaan memerintah. Isu ini walaupun sensitif untuk ditatap oleh pembaca umum, namun keseriusan aktivis mahasiswa dalam membendung sikap pihak pentadbiran universiti yang semakin ambil mudah terhadap tanggungjawab membanteras kegiatan pelajar yang berideologi politik pembangkang dan hanya meletakkan tugas membanteras kebebasan ini di atas bahu TNC HEPP semata-mata meresahkan perjuangan mahasiswa pro-aspirasi dan kerajaan.
Sikap tidak bertanggungjawab dan ambil peduli NC USM terhadap titik peluh perjuangan mahasiswa pro-aspirasi bersama-sama pihak Dato’ TNC HEPP dalam membendung kemasukan mahasiswa pro-pembangkang selepas UM dan UKM amat menyedihkan. Penulis berani mengatakan bahawa sekiranya NC USM ditanya berkenaan perihal yang berkisarkan kepada pro-aspirasi, beliau tidak mampu menjawabnya secara terperinci. Malahan sudah pasti beliau sendiri tidak mengenali siapakah pejuang-pejuang atau kumpulan pemikir kepada perjuangan pro-aspirasi tersebut yang rela bersengkang mata hari demi hari tanpa menuntut sebarang balasan atau penghargaan dalam merealisasikan hasrat kerajaan membendung ideologi pembangkang menular masuk ke universiti.
| |
Tindakan NC USM membawa masuk semula bekas aktivis mahasiswa pro-pembangkang kembali ke USM seperti Kamarulzaman Abdullah yang bekas ahli PMIUSM dan Presiden GAMIS (Gabungan Mahasiswa Islam Semenanjung yang merupakan satu pertubuhan haram) dan Izwandy Idris yang juga bekas ahli PMIUSM dan Presiden MPPUSM 2001/2002 sebagai pegawai Sistem Maklumat USM amat mengelirukan. Kelantangan kedua-dua bekas mahasiswa ini semasa bergelar pemimpin mahasiswa PMI dan pro-pembangkang di USM telah diberikan tempat di USM berbanding bekas-bekas mahasiswa pro-aspirasi yang bermati-matian tetapi tidak diberikan peluang dan kemudahan khususnya di USM sendiri?
Ali Bukhari Amir, bekas pelajar jurusan Housing, Building and Planning (HBP) yang gagal dan dibuang universiti namun rayuannya menyambung kembali pengajian di jurusan Komunikasi telah diterima. Seorang yang lantang dalam mengkritik kerajaan melalui artikel-artikelnya dalam laman web pembangkang dan mempunyai hubungan yang baik dengan NC USM. Bekas Ketua Pengarang Berita Kampus yang aktif mengutuk segala bentuk kegiatan yang dilakukan oleh TNC HEP serta dasar-dasar universiti tetapi menyokong kuat kepada segala agenda yang disampaikan oleh NC USM terutama dalam pembentukan Parlimen Mahasiswa. Kejayaannya dalam merayu semula untuk masuk ke USM tidak perlu dipertikaikan kerana peluang perlu diberikan kepada mereka yang benar-benar sedar kelalaian mereka untuk menuntut ilmu di universiti, apa yang menghairankan, mengapa dia ini dibiarkan bebas menyebarkan elemen-elemen dan pemikiran pro-pembangkang di USM?
Malahan apakah jawapan yang akan diberikan oleh NC USM sekiranya ditanya mengapa Ali Bukhari Amir ini diberikan peranan sebagai Ketua Pengarang BK dan berterusan dibenarkan berada dalam warga kerja BK? Adakah NC USM menyokong segala bentuk penulisan yang berbaur pro-pembangkang? Atau lebih senang tersenyum membaca BK yang bertubi-tubi menyerang TNC HEP dengan harapan agar masyarakat kampus melihat kepincangan TNC HEP agar dihentikan kontrak perkhidmatannya? Apakah ada tindakan yang dibuat oleh NC USM untuk membendung pengaruh pro-pembangkang di USM? Jika ada apa buktinya? Adakah melalui konsep-konsep baru yang hanya berbentuk pemikiran idealis setiap kali perutusan NC dilakukan bagi menyelesaikan masalah ini? Satu persatu konsep yang diperkenalkannya menjadi bahan arkib di perpustakaan tanpa ada implementasi yang berkesan.
Biarlah pihak Kementerian Pengajian Tinggi yang menilai sejauhmanakah keseriusan perkara ini untuk dibentangkan kepada Perdana Menteri kerana kuasa kedudukan NC atau Rektor adalah di bawah bidang kuasa Perdana Menteri. Andai ia diteliti dengan sedalam-dalamnya, itulah hakikatnya mengapa kampus USM sesudah 2 tahun berturut-turut dalam mengikis pergerakan pro-pembangkang hanya menang tipis sahaja sedangkan UM, UKM, UTM dan UUM pupus pergerakan mahasiswa pro-pembangkang di kampus tersebut. Senario yang sama turut berlaku di UIAM dan UPSI. Kerja keras mahasiswa pro-aspirasi semata-mata tidak mampu merealisasikan perjuangan ini tanpa sokongan, dorongan dan bantuan dari pelbagai pihak termasuk pihak tertinggi pentadbiran universiti sendiri yang diketuai oleh NC atau Rektor.
|