|
SEHANGAT judulnya, klip video terbaru kumpulan KRU, Terhangat Dipasaran `panas' gara-gara kumpulan trio tersebut berlakon menjadi wanita.
Diinspirasikan daripada rancangan realiti televisyen, Malaysian Idol dan Akademi Fantasia, Terhangat Dipasaran berkisar mengenai fenomena realiti televisyen yang melanda seluruh Nusantara tidak lama dulu.
Menurut Yusry selaku pengarah klip video tersebut, dia tidak nampak mengapa lakonannya bersama Edry dan Norman yang disolek dan didandan seperti wanita dalam klip video itu boleh menimbulkan kontroversi.
"Sebenarnya kami hanya ingin menggambarkan watak masyarakat Malaysia.
"Bukanlah niat kami untuk mempersenda atau menyindir sesiapa. Tambahan pula segmen di mana kami berlakon menjadi wanita hanya sedikit sahaja," ujarnya mengenai klip video yang turut menampilkan Adam AF itu.
Klip video tersebut memaparkan gelagat lima orang jejaka iaitu KRU, Adam dan Abon yang bertanding dalam program berjudul Jantan Macho...la.
Kelima-lima jejaka ini tampil dengan gaya tersendiri untuk memikat para peminat masing-masing sekali gus merebut gelaran Jantan Macho.
Bagi menyerikan lagi klip video tersebut, Yusry turut menampilkan gelagat gadis remaja, suri rumah dan pelbagai lapisan masyarakat yang dilanda demam SMS memilih idola masing-masing.
"Dalam masa yang sama, kami turut menyelitkan elemen lucu dengan menampilkan seorang tauke syarikat telekomunikasi yang mendapat keuntungan berlipat ganda daripada program tersebut," kata Norman.
Klip video tersebut yang telah pun ditayangkan di kaca televisyen dikatakan menelan belanja RM25,000.
Konsep muzik live
Melihat kepada penampilan tiga bersaudara ini, nyata sekali album Krunisme yang telah pun berada di pasaran cuba membawa angin perubahan dalam arus muzik KRU.
Menurut Edry, jika dulu kumpulan itu lebih cenderung kepada persembahan visual dengan menggunakan penari-penari latar sebagai tarikan tetapi kali ini KRU lebih selesa muncul dengan muzik live.
"Zaman muncul dengan visual ganas sudah lama berlalu. Muzik Malaysia hari ini perlukan lebih keseronokan jadi kita kenalah ubah mengikut peredaran masa.
"Sebab itulah kami ketengahkan album ke-13 ini dengan adunan KRU lama dan instrumentasi secara live sebagai konsep terbaru kami," kata Edry.
Jelasnya lagi, penggunaan muzik live membolehkan setiap anggota KRU memainkan instrumen seperti keyboard dan gitar ketika mempersembahkan lagu-lagu daripada album Krunisme.
"Yang pasti kami ingin mengurangkan tarian dan lebih menekankan persembahan kami bertiga.
"Lagipun, peminat beli album kami kerana muzik kami," tambahnya.
Contohi Sudirman
Jelas Norman pula, untuk kekal segar sebagai sebuah kumpulan popular, KRU perlu sentiasa mengikut peredaran masa.
"Kali ini, kami tidak mahu lagi bergantung kepada gimik semata-mata.
"Selagi peminat boleh terima, kami akan terus menyanyi tetapi apa yang lebih utama ialah muzik kami perlu sentiasa berkembang," ujarnya mengenai hasrat KRU yang sudah 13 tahun menjadi artis rakaman EMI Music itu.
| |
Justeru, mereka tiga beradik bercadang untuk menghasilkan lebih karya klasik dari semasa ke semasa.
Kenapa perlu menukar imej?
Jawab Norman mereka ingin kelihatan real, lebih mudah didekati dan tidak lagi berimej sofistikated seperti dulu.
Kalau boleh katanya, biarlah penampilan baru KRU lebih santai dengan pakaian dan potongan rambut yang tampak biasa tetapi kemas.
"Seperti yang dijelaskan oleh Edry, kami ingin mengetengahkan konsep fun. Kami ingin menghiburkan seberapa ramai peminat yang boleh.
"KRU ingin menyuntik sedikit elemen fun sama seperti yang pernah dilakukan oleh Allahyarham Sudirman dulu - berwarna-warni dan seimbang," ujarnya.
Tambahan pula, pemilihan tersebut dirasakan relevan dengan cita rasa masyarakat sekarang baik yang muda mahu-pun yang tua.
Bagi merealisasikan impian mereka, KRU turut ditawarkan tajaan dari segi penjagaan imej seumur hidup oleh Izatt Artistic Team.
Buat lagu untuk Norman
Sebagai adik, tidak banyak tidak tentunya Yusry dan Edry bimbang dengan kedudukan abang mereka yang masih membujang sehingga kini.
Apatah lagi, kedua-duanya sudah pun mendirikan rumah tangga dan mempunyai keluarga sendiri.
"Saya rasa cita rasa Norman memang tinggi. Sebab itulah Edry cipta lagu Empat Syarat sebagai sindiran kepadanya. Kalau nak ikutkan, syarat menjadi isteri Norman lebih dari itu," ujar Yusry mengusik abang longnya.
Mungkin benar juga usikan Yusry itu.
Selama ini bukannya tidak ada wanita yang singgah dalam hidup jejaka popular Malaya ini.
Sepanjang membabitkan diri dalam dunia seni, Norman pernah digosipkan dengan beberapa artis dan celebrity seperti Amy Mastura, Dang Suria, Ella, Nur Fazura dan `Wanita Melayu Tercantik, Normala Samsudin tetapi semuanya tiada berkesudahan.
Dalam pada heboh sana sini orang bertanyakan bila dia bakal menamatkan zaman bujangnya, Norman tetap selamba dan meninggalkan persoalan tersebut dengan penuh tanda tanya.
Minta izin Kak Nita
Seperkara yang menarik mengenai album Krunisme ialah kemunculan lagu Seksa yang digarap daripada lagu popular nyanyian Anita Sarawak.
Menurut Norman, idea menghasilkan Seksa diperoleh ketika kumpulan itu dalam perjalanan mengadakan persembahan di utara tanah air.
"Kami pun memikirkan apakah lirik yang baik untuk membalas balik lirik lagu Seksis yang dinyanyikan oleh Kak Nita.
"Alhamdulillah, dalam masa yang singkat kami dapat menyiapkan lirik versi lelaki.
"Kak Nita sendiri tidak menghalang kami menggunakan lagu ini walaupun muziknya sama seperti Seksi. Saya beritahu dia ini adalah lagu versi lelaki, bukannya ketandusan idea seperti yang disangka oleh sesetengah pihak," katanya.
Tambah Norman, buat masa ini pihaknya lebih suka menggunakan modal yang ada untuk mengiklankan album Krunisme bagi meyakinkan penjual daripada menerbitkan muzik video yang kurang mendapat perhatian.
|