Idealis Mahasiswa
 
 

Belasungkawa: Seniwati Saadiah dalam kenangan


Hit = [ ]

sumber: Berita Online 28/2/2005

"SELAGI hayat dikandung badan, selagi itulah saya akan terus berjuang dan berkorban demi kemajuan filem tanah air,” Itulah ucapan penuh semangat yang dilafazkan primadona filem Melayu era 50-an dan 60-an, Datin Saadiah Baharom ketika menerima Anugerah Pelakon Veteran Wanita, Festival Filem Malaysia ke- 12 (FFM12), 10 tahun lalu.

Bagaimanapun, harapan itu hanya mampu tertanam di sudut hatinya. Disebabkan masalah kesihatan – beliau menderita kencing manis dan asma – Seniwati Saadiah terpaksa berehat di rumah.

Namun ada satu kekuatan yang membawa semangatnya untuk terus memperjuangkan bidang seni, apa lagi apabila darah seni yang mengalir dalam tubuh beliau dan suami, seniman Datuk Ahmad Daud diteruskan anak mereka, Fauziah Ahmad Daud atau Ogy.

Tahun berlalu, nama besar itu tidak pernah terpinggir malah, Isnin lalu Saadiah tersenarai antara 10 pelakon veteran wanita yang menerima imbuhan Skim Projek Khas Seniwati Veteran.

Menerusi projek yang dilancarkan Menteri Penerangan, Datuk Seri Abdul Kadir Sheikh Fadzir itu, seniwati terpilih dijangka menerima RM2,000 sebulan.

Namun, hasrat murni itu hanya tinggal sebagai catatan manis dalam hidup seniwati berkenaan. Semalam, nama itu menjadi tinggalan sejarah dan industri perfileman tempatan kehilangan sebutir lagi permata seni.

Saadiah, 67, menghembuskan nafas terakhir, kira-kira jam 1.30 tengah hari semalam di kediamannya di Taman Melawati, Hulu Klang.

Sekian lama menghidap kencing manis dan asma, keadaan kesihatan Saadiah bertambah teruk sejak enam bulan lalu. Allahyarham meninggal dunia selepas mengadu sesak nafas.

Kerdipan bintang itu kini gugur namun Saadiah atau nama sebenarnya, Satya Baharom akan terus dikenang sebagai anak seni berbakat besar yang tiada gantinya.

Pelakon yang dilahirkan di Tanjong Katung, Singapura pada 10 Ogos 1937, bukan saja dibanggakan sebagai pelakon hebat, malah, mencipta sejarah sebagai pengarah wanita pertama Malaysia menerusi filem Ceritaku Ceritamu pada 1980.

Saadiah memulakan kerjayanya dalam bidang lakonan sejak berusia 11 tahun dan filem pertama lakonannya ialah Bakti.

Allahyarham Tan Sri P Ramlee, Datuk Jins Shamsuddin, Ahmad Mahmood dan Aziz Jaafar adalah antara seniman lelaki yang sering menjadi pasangannya dalam filem.

      

Saadiah bersama kakaknya Mariam, diberi peluang berlakon bersama P Ramlee menerusi filem Anjuran Nasib arahan B S Rajhans pada 1952. Pada tahun sama juga Rajhans mengambilnya untuk berlakon filem Yatim Piatu di samping Rokiah, Yusof Latiff dan Harun.

Selepas itu dia menjadi rebutan pengarah lain, antaranya P Ramlee, K R Sastry, K M Basker, Phani Majumdar, S Ramanathan, Ramon A Estella, B A Avelane, Jamil Sulong, Omar Rojik dan Dhiresh Ghosh.

Antara filem lakonannya di Singapura ialah Istana Impian (1953), Kerana Kau (1953), Iman (1954), Kecewa (1954), Insan (1955), Penarik Beca (1955) dan Hang Tuah (1956).

Filem Ribut (1956), Semerah Padi (1956), Keadilan Ilahi (1956), Kembali Seorang (1957), Sarjan Hassan (1958), Musang Berjanggut (1959), Dandan Setia (1959), Isi Neraka (1960). Filem Puteri Sangkar Maut (1960), Antara Dua Darjat (1960), Indera Bangsawan (1961), Panji Semirang (1961), Mas Merah (1961), Siti Muslihat (1962), Korban (1963), Jeritan Batin (1964), Melancong Ke Tokyo (1964), Mambang Moden (1964).

Filem Dupa Chendana (1964), Pusaka Pontianak (1965), Takdir (1965), Anak Buluh Betong (1966) dan Lampung Karam (1967). Filem lakonannya seperti Kerana Kau, Hang Tuah, Ribut dan Semerah Padi turut ditayangkan di Indonesia.

Kejayaan filem lakonannya menyebabkan Saadiah digelar Ratu Box-office, malah terpilih memegang watak gadis Bond dalam Nora Zain Ajen Wanita terbitan sebuah syarikat perfileman Hong Kong pada 1967.

Apabila Studio Shaw Brothers, Jalan Ampas ditutup, ramai pelakon filem berhijrah ke Kuala Lumpur termasuk Saadiah dan keluarga.

Ketika hayatnya, Allahyarham pernah dua kali mendirikan rumah tangga. Perkahwinan pertama Saadiah dengan Ahmad Samad, seorang kerani yang bekerja di Jabatan Pertahanan hanya bertahan selama tujuh tahun dan mempunyai tiga anak.

Kemudian Saadiah berkahwin dengan Ahmad Daud yang ketika itu digelar Frank Sinatra Malaysia dan mereka dikurniakan tiga anak, Fauziah, Fazal dan Fazlina.

Selain Fauziah, Fazlina juga mengikut jejak ibunya sebagai pelakon tetapi lebih kepada drama sementara Fazal tidak meneruskan kerjaya seni selepas penampilan pertama dalam Hati Batu.

Nama Saadiah akan terus abadi dalam khazanah seni perfileman negara. Sumbangan jasa dan bakatnya akan terus dikenang buat selama-lamanya. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya. Al-Fatihah!





Copyright © 2005 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved