|
KUALA LUMPUR 10 Dis (Hrkh) - Persatuan-persatuan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) seluruh negara yang bernaung di bawah Solidariti Mahasiswa Malaysia, mengiystiharkan 2004 sebagai ‘Tahun Gelap bagi Hak Asasi Mahasiswa di Malayisa'.
Kumpulan mahasiswa itu berkata pencabulan terhadap hak asasi mahasiswa khususnya yang menyentuh hak berkumpul, hak menyatakan pendirian dan pandangan, hak menyertai sebarang program dan hak berpolitik telah berlaku dengan serius sepanjang tahun ini.
Pengisytiharan itu dinyatakan dalam satu memorandum kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) yang diserahkan oleh lebih 50 pelajar berpakaian hitam dari pelbagai IPT kepada badan itu hari ini.
| |
Menurut jurucakap Solidariti Mahasiswa Malaysia, Ahmad Khairul Anwar Mohd Zuki, pengisytiharan itu dibuat kerana sepanjang tahun ini 50 mahasiswa telah dihadapkan ke jawatankuasa tatatertib universiti kerana disabitkan dengan kesalahan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).
Sedangkan katanya, mahasiswa tersebut hanya menterjemahkan hak mereka sebagaimana yang diperakui oleh Perlembagaan Persekutuan dan Deklarasi Sejagat Hak Asasi Manusia 1951.
|