Idealis Mahasiswa
 
 

TV3 Memuja Hantu


Hit = [ ]

oleh: Umar Zain (umarzain@yahoo.com)
sumber - Akhbar Mahasiswa

SEPANJANG sejarahnya, manusia bertempur dengan dua perkara: metafizik dan dunia. Dunia pastinya lebih difahami manusia kerana boleh ditangkap, disentuh, dikaji dan dirasa. Sebaliknya metafizik menjadi satu alam misteri, lawan kepada alam materi.

Alam metafizik pun dikatakan berpunca daripada alam dunia (materi). Ia bermula apabila manusia cuba mencari jawapan kepada ketidaktahuannya mengenai alam sekelilingnya. Alam yang luas, terkandung di dalamnya fenomena siang dan malam, adanya matahari, bulan dan planet-planet memberikan sejuta keraguan kepada manusia.

Manusia prasejarah bukan sahaja tidak faham mengenai alam jauh seperti galaksi, tetapi mereka juga tidak faham dengan sekeliling mereka. Mereka tidak faham kejadian api, kejadian tanah, bagaimana salji terjadi dan macam-macam perkara lain.

Mereka telah cuba menafsirkan alam dunia dengan semua cara yang diketahui mereka. Sisa-sisa manusia prasejarah boleh dilihat melalui perlakuan dan kepercayaan suku kaum tertentu.

Misalnya, suku kaum Yali di Papua New Guinea dan di Timur Leste membina rumah di atas menara (daripada sebatang pokok besar) supaya mereka tidak diganggu haiwan dan hantu-hantu. Suku kaum Mahmeri di Pulau Carey menghasilkan lukisan-lukisan tertentu berupa hantu-hantu dalam tafsiran mereka.

Contoh-contoh itu menunjukkan manusia cuba memberikan jawapan atas ketidaktahuan mereka, maka lahirlah kepercayaan animisme, kepercayaan kepada hantu, semangat pokok dan sebagainya.

Kepercayaan ini terbentuk mengikut kawasan tertentu. Sekiranya mereka berada di kawasan gurun, maka objek-objek gurun yang tidak dapat ditakluk dan difahami akan disembah. Kalau di kawasan tropika, maka pokok-pokok besar akan disembah.

Kepada orang di tepi laut, pokok besar tidak akan membawa sebarang erti atau ketakutan kepada mereka. Sebaliknya, mereka sangat takut kepada semangat laut yang dipercayai boleh menentukan rezeki.

Maka, untuk menghilangkan gangguan semangat ini, perlu diadakan upacara-upacara tertentu yang akan diketuai seorang pawang. Dari sinilah terbentuknya peranan pawang.

Apabila datangnya agama, yang dibawa oleh nabi-nabi tertentu maka kepercayaan animisme ini semakin menghilang. Agama telah menggantikan tempat semangat atau dewa-dewi, dalam erti kata agama telah memberikan jawapan kepada ketidakpuasan dan ketidaktahuan manusia mengenai alam fizik.

Dalam zaman moden, manusia telah meneroka pelbagai aspek kehidupan dan telah menemui jawapan-jawapan saintifik terhadap ketidaktahuan manusia, yang menjadi punca tumbuhnya kepercayaan asli. Mereka telah faham bagaimana ombak besar terbentuk, atau bagaimana gunung berapi meletup, apakah penyebab kepada kejadian siang dan malam. Mereka boleh menghurai punca sesuatu penyakit dan mencipta ubat-ubatan. Tindakan ubat itu diketahui dan boleh dianalisis, bukan lagi mengaitkan penyakit dengan iblis atau polong.

Namun begitu, kepercayaan yang terbit daripada kepercayaan purba itu tetap kekal dalam fikiran. Dalam perkembangan sejarah kepercayaan orang Melayu, sekalipun agama Islam telah datang kepada mereka, kepercayaan animisme ini tetap wujud secara utuh. Kepercayaan ini begitu kuat sehingga para saintis, yang sepatutnya meletakkan kepercayaan mereka sangat kuat kepada sains masih lagi percaya kepada kuasa seorang bomoh.

Dari perspektif yang lain, kepercayaan animisme – atau dipanggil tahyul dan khurafat oleh kalangan yang tidak mempercayainya dikatakan berasal daripada ciptaan orang-orang cerdik pandai dalam zaman kepercayaan itu tercipta.

Kepercayaan kepada semangat pokok dikatakan dicipta oleh cerdik pandai ini bertujuan untuk melestarikan hutan. Mereka berpandangan kepercayaan seumpama itu akan menghalang penebangan dan pemusnahan hutan secara tidak terkawal. Bagi suku kaum yang bergantung hidup kepada hutan, memusnahkan hutan bermakna membunuh diri dan anak cucu. Dengan terciptanya hal sedemikian, survival suku kaum mereka akan berterusan.

Namun demikian, lama kelamaan kepercayaan yang asalnya dicipta dengan tujuan murni itu telah bertukar kepada kepercayaan yang mempunyai kaitan dengan alam spiritual. Pengikut kepercayaan itu telah melupakan aspek rasional ajaran asal, sebaliknya mementingkan ajaran ritualnya.

Sebagai contoh mudah, seorang kanak-kanak dihalang daripada duduk di atas bantal dengan menanam kepercayaan akan tumbuh bisul di punggungnya. Sedangkan tujuannya yang sebenar supaya bantal tidak pecah akibat berat beban ke atas bantal. Bantal juga tempat meletakkan kepala, tidak manis sekiranya dijadikan tempat duduk.

Dengan itu, jangan duduk di atas bantal telah menjadi kepercayaan kepada kanak-kanak sebagai ‘akan menyebabkan tumbuhnya bisul’. Bisul sesuatu yang menyakitkan lalu kanak-kanak akan mematuhi larangan tersebut.

      

Dalam kes ‘bantal dan bisul’, kepercayaan ini akan hilang sebaik sahaja kanak-kanak itu membesar dan mula merasionalkan kepercayaan mereka. Namun begitu, terdapat begitu banyak perkara yang tidak hilang, misalnya kepercayaan kepada hantu, pontianak, langsuir dan sebagainya.

Sekalipun terdapat hujah-hujah antropologi yang kukuh, misalnya hantu dibentuk oleh fikiran manusia berdasarkan faktor-faktor kemanusiaan dan geografi setempat, namun hal ini tidak menghalang manusia daripada terus mempercayainya.

Persoalan seperti mengapa hantu Cina bermata sepet, mengapa hantu Melayu berhidung kembang tidak pernah diberikan jawapan bernas. Malah persoalan seperti mengapakah jumlah hantu semakin bertambah mengikut masa tidak pernah mendapat jawapan memuaskan daripada kalangan yang mempercayainya. Hantu Jepun tidak wujud sebelum zaman Jepun menjajah Tanah Melayu. Mengapa?

Bukankah ini semua menunjukkan manusia yang mencipta hantu, dan bukan sebaliknya? Takkanlah tentera Jepun yang datang menakluk membawa Tanah Melayu bersama hantu-hantu Jepun. Tidak mungkin.

Dengan datangnya Islam pada zaman Melaka, maka diharapkan bahawa agama Islam yang suci murni, mengajar rasional dan lain-lain ajaran positif dapat menghapuskan kepercayaan tahyul (dari kaca mata orang yang tidak percayakan tahyul) ini. Dengan datangnya ajaran Islam yang didakwa meletakkan ilmu pengetahuan dan saintifik di tingkat teratas, maka secara automatik akan menghancurkan saki baki tahyul kepada masyarakat Melayu.

Malangnya, perkara tersebut tidak berlaku. Malangnya yang berlaku adalah dengan hadirnya Islam, Islam bukan menghapuskan tahyul, tetapi Islam menambahkan jumlah tahyul sedia ada.

Orang Melayu tetap kuat berpegang kepada tahyul dan khurafat. Dalam masa sama, mereka juga kuat berpegang kepada agama Islam. Mereka sembahyang dan mereka percaya hantu dan semangat jahat. Atau sekurang-kurangnya, mereka akan berkata ‘saya percaya wujud hantu walaupun tidak pernah melihatnya’. Kepada mereka, kini hantu adalah jelmaan jin dan syaitan.

Kita jarang berjumpa orang Melayu yang berani berkata dengan tegas – Hantu tidak ada. Bagaimana kepercayaan bercampuraduk ini boleh berlaku?

Ada pendapat yang mengatakan ajaran Islam itu sendiri mengemukakan satu ajaran yang menggalakkan tahyul. Kepercayaan dalam agama Islam, sepertimana mana-mana kepercayaan lain bersalut dengan anasir-anasir tahyul yang kuat. Aspek-aspek seperti Tuhan, malaikat, syaitan, jin, iblis dan roh sangat dekat dengan kepercayaan asal orang Melayu.

Iblis dan syaitan adalah sebutan Arab bagi hantu pelesit. Melayu menyebut bunian yang kerjanya membantu kebaikan, seperti malaikat dalam sebutan Arab. Jadi, apa bezanya. Di manakah kekuatan hujah yang meletakkan “Islam menghapuskan khurafat” apabila Islam menjadi hanya pengganti sahaja kepada khurafat yang asal.

Dengan datangnya Islam, tok alim dan tok lebai mengambil alih tempat pawang. Kalau dulu pawang menyediakan air sirih dan air tawar, kini tok lebai menjampi air surah Yasin untuk diberi kepada pesakit.

Sebuah stesen televisyen menyambut kepercayaan karut marut Melayu ini dengan menghidangkan rancangan “Misteri Nusantara”. Rancangan yang mempunyai rating tinggi, yang ditonton lebih sejuta penonton ini setiap minggu meraikan kepercayaan karut di seluruh Nusantara.

(Agak pelik apabila pengacaranya yang terkenal dengan rancangan meningkatkan syiar Islam, Jejak Rasul tiba-tiba menjadi pengacara rancangan menyemarakkan syirik kepada masyarakat Islam).

Dengan adanya rancangan ini, maka secara tidak langsung ia telah menambahkan rezeki kepada pawang dan bomoh-bomoh. Mereka kini berurusan dengan para pesakit di hotel-hotel, bukan lagi berurusan di pondok-pondok buruk. Menangkap hantu telah menjadi satu industri baru yang memberikan pendapatan terjamin. Ribuan bomoh mendapat manfaat daripada industri yang sedang pesat berkembang ini.

Apakah hasilnya kepada masyarakat dan kepada proses pembinaan bangsa. Apa akan jadi kepada Wawasan 2020, yang meletakkan agenda menghasilkan rakyat berfikiran saintifik, yang berasaskan fakta dalam membuat sesuatu keputusan.

Dilihat dari perspektif pembinaan bangsa, tindakan stesen TV3 itu dilihat membelakangkan Wawasan 2020. Malah, stesen TV itu boleh dikatakan menghina dan merendah-rendahkan agenda membina bangsa yang sepatutnya dimulakan pada hari ini.

Dalam tulisan ini, terdapat satu ‘lompang’ yang dibina secara sengaja. Saya masih belum menghuraikan bagaimana ajaran Islam, sekalipun dikatakan mengandungi perkara-perkara yang tidak rasional tetap merupakan satu ajaran yang positif. Huraiannya pada keluaran akan datang, insya Allah.





Copyright © 2005 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved