|
Inilah yang menurut Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri Datuk Noh Omar membuat kerajaan kerajaan tidak akan membuka ruang kepada bekas Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng, untuk memasuki negara ini dan bermastautin di sini kerana tidak mahu dianggap terlalu berlembut terhadap kegiatan pengganas.
Katanya walaupun Chin Peng bukan lagi dianggap mendatangkan ancaman kepada negara, persoalan utama yang perlu diberi tumpuan ialah kesan tindakan Chin Peng dan bekas anggota PKM terhadap anggota keselamatan negara.
"Chin Peng adalah bekas setiausaha agung PKM. Sebagai setiausaha agung, dia adalah ketua mereka. Hanya mangsa dan keluarga anggota keselamatan yang dizalimi dan dibunuh sahaja yang mengetahui penderitaan hasil perbuatan bekas anggota PKM," kata sebagai mengulas langkah Chin Peng, 82, atau nama sebenarnya Ong Boon Hua, memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada Jumaat lepas untuk mendapatkan perintah bagi membenarkannya dan bekas anggota PKM memasuki serta bermastautin di Malaysia.
Bercakap kepada pemberita selepas menutup Karnival Motorcross Bayan Lepas 2005" di Pulau Pinang Ahad, beliau bersetuju dengan kenyataan bekas anggota keselamatan negara yang tidak mahu Chin Peng menjejakkan kaki di negara ini kerana kezalimannya terhadap anggota keselamatan semasa zaman darurat.
"Saya bersetuju dengan kenyataan bekas anggota keselamatan yang tidak mahukan Chin Peng kembali ke negara ini. Ini kerana mereka sendiri yang terlibat dan kita perlu lihat sentimen keluarga mereka yang menjadi mangsa keganasan dan pembunuhan oleh PKM," jelas beliau.
| |
Chin Peng yang dilahirkan di Sitiawan, Perak, kini dipercayai berada di satu lokasi antara Songkhla dan Bangkok, Thailand, memfailkan permohonan itu melalui peguam Darshan Singh Khaira dan menamakan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri sebagai defendan pertama, Ketua Polis Negara (defendan kedua), Panglima Angkatan Tentera (defendan ketiga) serta kerajaan Malaysia sebagai defendan keempat.
Mengenai kemungkinan Chin Peng mempunyai agenda lain untuk pulang ke negara ini selain untuk menemui sanak-saudaranya, Noh berkata: "Saya tidak mahu buat andaian apa yang dia nak, tetapi pendirian kita adalah jelas dan kalau masih tak puas hati, mereka boleh berhujah di mahkamah".
Beliau berkata, sebagai sebuah negara demokrasi, kerajaan tidak boleh menghalang hak mereka untuk membuat permohonan di mahkamah dan terpulang kepada mahkamah untuk membuat keputusan kelak.
Mengenai kira-kira 10 peratus lagi bekas anggota PKM yang juga berminat memasuki semula negara ini, katanya, kerajaan sudah mengenalpasti siapa mereka dan mereka juga tidak dibenarkan pulang.
|