|
Pengenalan
Malaysian Islamic Study Group USA (MISG) ditubuhkan pada bulan Disember 1976 di Peoria, Illinois atas usaha segolongan pelajar Malaysia daripada beberapa buah kampus di Amerika Syarikat dan dengan dorongan dan restu dari Muslim Students' Association of USA & Canada (MSA). Sejak penubuhannya pada tahun 1976, MISG telah melalui pelbagai liku sejarah yang secara langsung mencerminkan pergolakan pergerakan Islam di Malaysia dan juga mencetuskan kelahiran pelbagai ranting organisasi Islamiah Malaysia di Amerika Syarikat seperti ABIM, PAS (MISNA), Jemaah Perlis, Arqam dan JIM. Artikel ini bertujuan untuk menyingkap semula sejarah dan objektif penubuhan MISG dan peranannya dalam konteks pelaiar Islam di Amenika Utara bagi menjelaskan kekeliruan terhadapnya.
Penubuhan Persatuan Pelajar Islam Kampus
Kerajaan Malaysia mula menghantar pelajar lepasan SPM untuk melanjutkan pelajaran ke Amerika Syarikat pada tahun 1973 melalui Majlis Amanah Rakyat (MARA). Pada tahun tersebut pelajar perintis ini dihantar ke beberapa buah negeri- Illinois, Ohio, Minnesota, Colorado dan New Jersey. Kumpulan perintis ini terdiri daripada lebih kurang 30 orang. Pada tahun berikutnya bilangan pelajar yang dihantar bertambah dengan pesat dan begitu juga bilangan pusat pengajian tinggi di mana mereka dihantar. Umpamanya di Northern Illinois University sahaja pertambahan itu meningkat sebanyak lebih 300 peratus iaitu, daripada 12 orang pelajar yang dihantar pada tahun 1973 berbanding dengan hampir 40 orang pada tahun 1974. Segolongan pelajar ini melibatkan diri mereka dalam kegiatan Islam yang sedia ada di kampus dan mengeratkan ukhuwwah dengan pelajar-pelajar negara lain yang seagama. Terdapat juga kampus yang tidak mempunyai Persatuan Pelajar Islam (PPI). Northern Illinois University tergolong dalam golongan yang kedua ini. Namun demikian pelajar ini tidak berdiam diri. Mereka yang insaf berusaha untuk menubuhkan Persatuan seperti ini untuk tujuan menegakkan fardhu ‘ain (sepenti mendirikan sembahyang Jumaat), mengadakan halaqah pengajian Islam dan mempertahankan identiti dan aqidah Islamiah. Kadangkala usaha seperti ini mendapat sambutan daripada tenaga pengajar Islam. Dengan tertubuhnya Islamic Students' Society pada kampus tempatan (seperti Islamic Society of Northern Illinois University atau ISNIU), ia kemudian mengadakan hubungan dengan Muslim Students' Association of USA & CANADA (MSA) yang berpusat di Indianapolis. Melalui ceramah daripada penceramah undangan MSA, pelajar-pelaiar Islam Malaysia di kampus dapat pendedahan kepada Islam -- sesuatu agenda yang amat mustahak demi memelihara keutuhan identiti Islam dan mengelak dari ancaman budaya Barat yang terlalu bebas. Hubungan dengan MSA-USA & Canada
Kemuncak hubungan MSA pusat dan tempatan ialah persidangan tahunan MSA yang diadakan sekali pada setiap tahun. Lazimnya persidangan atau muktamar ini diadakan di kampus yang berlainan dari tahun ke tahun. Persidangan ini menjadi tarikan kepada masyarakat Islam di Amerika Syarikat. Walaupun bernama Muslim Students, ia dianggotai oleh pelbagai lapisan masyarakat Islam negara ini daripada pelajar kepada golongan profesional yang menetap di situ seperti Allahyarham Dr. Ismail al-Faruqi. Pelajar Malaysia yang cenderung kepada Islam sering mengikuti persidangan ini dan mereka datang dari semua penjuru negara ini. Persidangan ini mempunyai pengertian yang besar pada mereka kerana ia dapat mengisi ketandusan ilmu dan kerohanian yang mereka rasakan dalam penghidupan mereka di sini. Kepentingan persidangan ini dapat kita rasakan apabila tokoh yang hadir dan berucap adalah tokoh-tokoh Islam yang hebat dan terkenal di peringkat antarabangsa. Umpamanya penulis berkesempatan untuk mendengar dan belajar bukan sahaja dari tokoh MSA-USA seperti Hisham al-Talib, Mahmoud Abu Saoud, Mahmoud Rashdan, Anis Ahmad, Monzer Kahf, Ismail al-Faruqi, Ahmad Zaki, Ilham al-Talib, dan Maysoon Kahf tetapi juga danipada Yusuf al-Qardawi, Hasan Turabi, Zainab al-Ghazali, Suad al-Fatih, Pak Imaduddin Abdul Rahim, Pak Sadeli dan Prof. Zaghloul Najar. Melalui persidangan ini jugalah pelajar Malaysia di sini didedahkan kepada perjuangan Islam di merata dunia melalui ucapan wakil-wakil daripada pejuang Moro dari Filipina dan Patani dari Siam dan berbagai-bagai negara Islam yang umatnya tertindas.
Pada persidangan seperti inilah pelajar Malaysia yang hadir mengambil kesempatan bermesra dan berkenalan antara satu sama lain dan mengeratkan jalinan ukhuwwah yang berteraskan agama. Walaupun mereka merasakan kepuasan dapat menceduk sedikit ilmu untuk dijadikan bekalan dan menimba pelajaran untuk dijadikan taulan, namun di sudut hati mereka terdapat kekosongan hasil dari cahaya yang kini mula bersemarak dalam hati mereka. Mereka merasa dahaga tentang perkembangan Islam di kampung laman dan tanah air sendiri. Tahun demi tahun tidak dapat seorang tokoh pun dibawa danipada Malaysia untuk menerangkan kegelapan maklumat yang mereka hadapi. Mereka juga merasa bilangan mereka terlalu kecil untuk mendapat perhatian dari ahli jawatankuasa MSA pusat ditambah pula mereka semuanya pelajar di peringkat undergraduate pula.
Pencetusan idea MISG-USA
Dalam kemuraman ini, memang ditakdirkan Allah SWT bahawa pada satu Persidangan, MSA menjemput Pak Imaduddin daripada Indonesia. Selepas pensidangan ini Pak Imad mengadakan circuit lecture di beberapa buah kampus di negara ini atas biayaan MSA. Di sini penulis dan beberapa orang rakan sempat berbincang dengan Pak Imad dan hasil daripada perbincangan itu tersemailah benih untuk melihat penubuhan satu badan pelajar Islam Malaysia. Walaupun pada mulanya kami rasa khuatir untuk menubuhkan satu badan yang bercorak nasional kerana tidak mahukan perpecahan umat berdasarkan negara, perbincangan dengan Pak Imaduddin itu telah memperlihatkan kepada kami aspek positif keperluan penubuhan badan seperti itu. Kami tidak mahu bersikap asabiyyah tetapi atas dasar hubbul watan. Inilah hasil daripada lawatan Pak Imaduddin ke Northern Illinois University. Idea ini diperkukuhkan lagi apabila dalam satu persidangan MSA di Indiana University, Bloomington, pelajar-pelaiar Malaysia yang hadir berkumpul dan membincangkan keperluan satu badan sebagai arena untuk membincangkan perkembangan Islam di Malaysia.
Peristiwa yang menjadikan cita-cita ini menjadi satu realiti berlaku apabila penulis telah dipilih untuk menghadiri satu seminar latihan anjuran MSA Pusat di Plainfield, Indianapolis. Seminar itu turut dihadiri oleh Saudara Abdul Rahim Sairan dari Lousiana State University, Baton Rouge. Pada seminar itu, kami telah sempat berbincang dengan pihak MSA terutamanya Dr. Hisham Altalib dan mengajukan idea penubuhan sebuah badan pelajar Islam Malaysia. Beliau nampaknya tertarik dengan idea tersebut dan bersimpati dengan kedahagaan kami tentang perjuangan Islam di Malaysia. Beliau sememangnya nampak potensi pelajar-pelajar Malaysia yang masih muda dan komit pula kepada Islam. Beliau menyatakan bahawa MSA Pusat memang mempunyai hubungan dengan ABIM, Malaysia melalui International Islamic Federation Students Organization (IIFSO).
| |
MISG-USA menjadi satu realiti
Dr. Hisham sememangnya mengambil idea kami begitu serius sehingga selepas seminar itu, penulis sering dihubungi untuk perancangan ke arah merealisasikannya. Begitulah seterusnya, kami ahli ISNIU Dekalb (terutama Saudara Muhammad Nur Anif, Saudara Wan Muhammad Nor Wan Daud, Saudara Azmi Yahya, Saudara Jamaluddin Ibrahim, Saudara Saiful Azhar Rosly) berusaha dengan Dr. Hisham dan rakan-rakan seperjuangan dari beberapa kampus (Saudara Nik Mustafa dan Ohio Universiti, Athens, dan Saudara Abdul Rahim Sairan LSU). Pada peringkat terakhir, kami bersetuju mengadakan penubuhan MISG dengan dihadiri oleh Saudara Anwar Ibrahim selaku Presiden Abim di Peoria, Illinois (tempat tinggal Dr. Hisham) di Islamic Center yang baru mereka perolehi (bekas sebuah gereja) pada bulan Disember 1976.
Alhamdulillah pertemuan pertama ini mendapat sambutan yang hangat dan pelajar Malaysia yang datang dalam kesejukan salji yang tebal dari Baton Rouge, Athens, Philadelphia, New York, Wisconsin, Minnesota dan beberapa kampus lagi. Pada pertemuan ini kami berpeluang mendengar ucapan yang penuh semangat dan perangsang daripada Saudana Anwar Ibrahim, Presiden ABIM ketika itu, Dr. Mahmoud Abu Saoud, Sr. Riffat Hassan, Dr. Saeed Mohd Sayyid dan Dr. Hisham sendiri. Pada pertemuan ini juga dibincangkan nama pertubuhan, perlembagaannya dan perlantikan Ahli Jawatankuasa. Dengan sebulat suara majlis telah melantik Sdr. Muhammad Nor Manuti sebagai presiden - berdasarkan pengalamanya dalam pergerakan pelajar seperti PKPIM dan ABIM, dan Saudara Nik Mustafa sebagai Naib Presiden. AJK yang lain terdiri antara lain daripada Saudara Muhammad Nur Arif, Saudara Abdul Rahim Sairan dan Saudara Wan Muhammad Nor Wan Daud. Penulis sendiri telah dilantik sebagai Ketua Helwa. Mandat penyediaan perlembagaanya telah diserahkan kepada presiden dan dikaji oleh AJK sebelum direstui oleh ahli MISG. Serentak dengan itu MISG-USA juga bersetuju menerbitkan Risalah untuk tujuan komunikasi antara ahli dan melaporkan berita-berita tanah air di bawah kelolaan Saudara Mohd Bukhari Lubis.
Matlamat perjuangan MISG
Kesimpulannya, MISG telah ditubuhkan atas dasar usaha untuk mendalami ilmu-ilmu Islam dan usaha untuk mempraktikkannya di sini dan juga apabila kembali ke tanah air kelak. Justeru itu keprihatinan terhadap perkembangan perjuangan Islam di tanah air amatlah diperlukan sebagai usaha penyuburan benih yang mula disemai di sini. Pertalian MISG dengan ABIM agak erat sebab dari penubuhannya ABIM telah merestuinya melalui kehadiran Saudara Anwar Ibrahim dan memang pada ketika itu ABIM merupakan badan dakwah yang diiktiraf di Malaysia dan di peringkat antarabangsa. Bahkan presiden MISG yang pertama dilantik berdasarkan pengalamannya yang luas dalam ABIM dan pergerakan pelajar Islam di Malaysia.
Namun demikian seperti yang tercatat dalam penlembagaannya, MISG tidak terikat kepada sebarang harakah Islamiah Malaysia dan keahliannya terbuka kepada semua pelajar Islam dari Malaysia. Sikap terbuka ini terbuktl daripada kemah latihan tahunan yang kedua di Athens pada tahun 1977, di mana Sdr Fadil Osman membentang kertas kerjanya berkenaan perjuangan Darul Arqam.. Ini adalah kerana objektif utamanya ialah berusaha untuk memberi kefahaman Islam yang murni kepada pelajar-pelajar Malaysia dan mendedahkan cara mereka dapat mengamalkan ilmu yang dipelajari bukan sahaja apabila pulang kelak malahan di kampus masing-masing. Dakwah juga merupakan satu aktiviti utama MISG dan sasarannya adalah pelajar Malaysia sendiri. MISG bukan mengambil kira kualiti sahaja malah ingin meningkatkan kuantiti pelajar Islam Malaysia yang “sedar.” MISG juga berfungsi sebagai arena pertukaran fikiran di kalangan para pelajar demi mengelakkan sikap taksub, fikiran sempit dan kesan-kesan lain dari ilmu yang cetek. MISG menyarankan kepada ahlinya supaya terus menjalin hubungan yang baik dengan MSA pusat dan tempatan --malah MISG sentiasa mendorong ahlinya supaya menghadiri persidangan tahunan MSA Pusat. Di sudut lain pula MISG tidak menyisihkan dirinya daripada pertubuhan Malaysia yang lain seperti PEMAU (Persatuan Pelajar Malaysia Amerika Utara) dan menggalakkan ahlinya yang berwibawa menerajui PEMAU supaya dapat merubah arus perjuangannya yang berfahaman kiri kepada sikap yang lebih sederhana.
Kesimpulan
Di saat penulis menulis makalah ini (iaitu pada tahun 1993), iklim pensatuan pelajar Islam di Amerika Utara telah banyak berubah. Kini pengerakan Islam Malaysia telah menubuhkan ranting masing-masing di benua ini dan MISG juga telah terikat kepada satu pertubuhan dan menjadi rantingnya di sini. Memang ada kebaikan dan keburukan dari perkembangan baru ini. Bagi sesiapa yang terlibat dengan penubuhan MISG dan cita-cita murninya, pergelutan yang berlaku dalam sejarah MISG amat dikesali dan ditangisi. Kini kebarangkalian teman-teman yang masih belum terikat kepada sebarang harakah menjinakkan diri kepada Islam melalui pertubuhan pelajar Islam semakin tipis kerana setiap pertubuhan yang wujud sudah berwarna dan mempunyai belangnya. Pelajar tidak lagi sebebas dahulu. Pelaiar takut dilabel dengan ABIM, MISNA, JIM dan seumpamanya. Mereka lebih sanggup membiarkan diri mereka kosong daripada dikaitkan dengan label-label itu.
Dan satu sudut lain pula, peluang pelajar mengetahui Islam dengan objektif tanpa sekatan semakin kurang kerana terdapat pertubuhan-pertubuhan yang menggunakan strategi indoktrinasi tanpa berpandukan ilmu. Horizon pelajar tidak diperluaskan sebaliknya dipersempitkan dengan satu kefahaman. Ini mengundang bahaya bukan sahaja kepada individu tersebut tetapi juga kepada perjuangan Islam dalam jangka panjang. Kita berkata begini sebab dalam bentuk organisasi sekarang pelajar-pelajar yang komit kepada satu-satu harakah itu apabila pulang ke tanah air terus disalurkan kepada organisasi - tanpa peluang untuk mengkaji kepelbagaian corak pergerakan Islam yang ada dengan objektif dan berdasankan ilmu. Ini berbeza dengan konsep yang didokong oleh pengasas MISG. Walau bagaimanapun dalam konteks yang sedia ada, penulis menyarankan semua anak organisasi memberi tumpuan utama kepada peningkatkan kefahaman Islam dan bekerjasama untuk kebaikan.
|