|
KOTA BHARU: “Kejadian seperti ini tidak pernah berlaku dan sungguh pelik kerana bukannya air banjir hujan, tetapi air laut,” kata Wira Jumaat, 37, mengenai kejadian air pasang besar di Kampung Pulau Tok Gajah dan Kampung Dasar Sabak, Pengkalan Chepa, di sini semalam.
Menurutnya, dia terkejut melihat air melimpah jalan di Kampung Chabang Empat Tebing Tinggi itu sejak jam 5 petang.
“Ketika itu, saya baring di beranda rumah, saya nampak pelik bila air naik secara mendadak.
“Penduduk kampung turut pelik dengan kejadian itu kerana tidak pernah terjadi sebelum ini,” katanya.
Menurut Wira, angin bertiup sejak Sabtu lalu dan bertambah kencang semalam.
“Semalam air naik tetapi hanya ke kawasan sawah dan tidak pelik sangat kerana keadaan itu biasa,” katanya.
Menurutnya, ikan belanak yang tiba-tiba banyak di sawah sejak Sabtu lalu mungkin menjadi petanda kejadian pelik itu, sekali gus menyaksikan ramai kanak-kanak ke sawah menangkap ikan.
Penduduk Kampung Chabang Empat Tebing Tinggi, Yusof Abdullah, 62, pula mendakwa tidak pernah melihat air pasang seperti itu.
“Kawasan ini sudah tidak ditimpa hujan kira-kira sebulan lalu, tiba-tiba air naik secara mendadak,” katanya.
| |
Sejak kelmarin, ombak setinggi kira-kira dua meter melanda Pantai Dasar dan Pantai Sabak, menyebabkan Kampung Padang Jepun dan Kampung Pulau Gajah ditenggelami air sedalam kira-kira 0.6 meter.
Kejadian itu menyebabkan rumah 100 keluarga di kampung terbabit digenangi air masin.
Sehingga petang semalam, sekurang-kurangnya lapan rumah di tepi pantai roboh dipukul ombak menyebabkan penghuninya terpaksa berpindah ke rumah saudara- mara berdekatan.
Lima lagi keluarga lagi terpaksa mengosongkan rumah mereka kerana ombak memukul dinding kediaman masing-masing.
Keadaan itu menyebabkan laluan ke dua kampung berkenaan serta Jalan Pantai Dasar yang terletak kira-kira 15 kilometer dari bandar ini tidak dapat dilalui kenderaan ringan sejak jam 7 petang semalam.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kelantan, Ir Lim Chow Hock, berkata keadaan itu berlaku disebabkan limpahan air laut yang pasang tinggi.
Menurutnya, paras laut yang tinggi di perairan dengan angin kencang menyebabkan ombak mencapai ketinggian dua meter.
“Setakat ini, JPS memantau situasi yang dihadapi penduduk dan menasihatkan mereka yang tinggal di tepi pantai supaya berpindah sebagai langkah keselamatan,” katanya ketika dihubungi malam tadi.
|