|
"KALAU boleh Jes tak mahu menceritakan perkara ini kepada umum kerana ia sedang dibincangkan di peringkat Kabinet. Jes tak mahu dilabel artis gila publisiti murahan. Namun, selepas kenyataan 'off the record' dan gambar Jes disiarkan sebuah akhbar tabloid, Jes terpaksa tampil membuat kenyataan secara terbuka kerana artikel berkenaan mengandungi fakta tidak tepat.
Pada malam kejadian, Jes bersama rakan hadir ke pusat hiburan itu kerana memenuhi undangan MiTV dan MTV. Kami datang lambat, jadi function tu dah habis. Jes dah nak balik,tapi kawan-kawan minta tunggu. Kira-kira jam 1 pagi, muzik tiba-tiba berhenti dan semua lampu dihidupkan.
Selepas itu keluar seorang lelaki, mungkin penguat kuasa Jawi atau polis, minta kad pengenalan. Dia jerit, satu, dua, tiga, empat, minta IC! Jes tak tahu apa kesalahan kami dan terus beri apa yang mereka inginkan.
Kemudian mereka mengasingkan kami, lelaki satu side, perempuan satu side. Pada masa sama, remaja bukan Islam, dibebaskan. Kami yang tinggal diarahkan beratur dua-dua dan sambil tangan diletakkan di atas bahu rakan dihadapan, kami berjalan menaiki sebuah trak hitam yang Jes rasa itulah yang dinamakan Black Maria!
Dalam trak itu pula hanya ada 10 tempat duduk, nasib baik Jes sempat duduk, tapi gadis remaja lain terpaksa berdiri di tengah-tengah trak berkenaan yang tiada tempat berpegang. Pemandu trak itu pula memandu dengan laju dan kerap kali melakukan brek mengejut. Gadis yang berdiri itu menjerit dan jatuh sesama mereka.
Jes tak faham kenapa pemandu trak itu berbuat begitu. Adakah dia suka mendengar jeritan gadis berkenaan setiap kali dia membrek? Masa itu juga kami masih tak tahu ke mana kami akan dibawa, sehinggalah tiba pada destinasinya, pemandu itu sekali lagi menekan brek dengan kuat. Tapi, untuk apa?
Turun saja dari trak, baru kami tahu kami berada di ibu pejabat Jawi. Jes dan semua remaja diarahkan masuk ke dalam lokap dan lokap berkenaan terus dikunci. Kami dilayan seperti penjenayah oleh anggota Jawi. Kami juga tidak dibenarkan membuat panggilan telefon menghubungi ibu bapa untuk memaklumkan kejadian berkenaan. Tapi, masih ada yang sempat call, itupun secara sembunyi-sembunyi.
Tiba-tiba ada seorang gadis yang hendak membuang air kecil, namun permintaannya tidak diendahkan dengan alasan kunci lokap tak ada bersama mereka. Kerana tak tahan, gadis itu terkencing dalam seluar dan dia menangis kerana malu serta takut. Selepas insiden berkenaan, barulah pintu lokap dibuka. Yang hairannya ada pula kunci!
Selepas itu anggota penguat kuasa mengarahkan kami 'posing' sebab nak ambil gambar. Kami diminta senyum kerana mendakwa gambar berkenaan akan diserahkan kepada beberapa majalah hiburan! Ketika itu semua penguat kuasa lelaki, kami malu...
Apabila semua maklumat gadis remaja dicetak di atas sekeping kertas, kami diminta memegangnya di hadapan badan. Tapi, dia orang tak benarkan tutup dada. Kami diarahkan pegang kertas bawah sedikit dari bahagian dada supaya dia orang boleh tengok top yang you pakai low ke tak low!
Jes dapat rasakan, tindakan mereka itu seperti nak mengajar kami, seperti tak puas hati. Cara dia orang layan kami tak ubah seperti pelacur!
Tapi, kami masih tak tahu apa kesalahan kami yang sebenarnya, apabila tanya, dia orang kata nak tengok pakaian dan minum (ambil minuman beralkohol).
| |
Dua jam selepas itu, penguat kuasa pun datang dan tanya pasport Indonesia ini milik siapa. Salah seorang remaja pun bangun. Dia orang kata bagus dan kami tunggu lagi dua jam. Kalau dah tahu budak itu bukan warga negara Malaysia, sepatutnya dia orang kena bebaskan.
Tak lama selepas itu, sampai pula sekumpulan pekerja Melayu pusat hiburan berkenaan. Kami tunggu lagi dua jam. Masa tu dah 6 pagi. Remaja yang pakaiannya tutup, sopan, tak seksi, mereka dibebaskan. Remaja yang tinggal ketika itu termasuk Jes ada kira-kira 15 orang.
Masa tu datanglah seorang penguat kuasa dan minta kami semua berdiri. Dia kata kalau nak balik cepat berdiri! Dia minta kami berdiri jarang-jarang, jangan tindih-tindih. Selepas itu, penguat kuasa ni panggil beberapa rakannya, semua lelaki. Dia kata, ini semua 'juri' abang. Dia orang yang akan pilih, siapa yang pergi kaunseling dan siapa yang kena buat kes, maknanya kalau remaja itu berpakaian terlalu seksi, kena pergi Mahkamah Syariah.
Penguat kuasa yang berada di depan tu, tengok pakaian kami dan beri macam -macam komen. Kami malu! Jes pakai jeans panjang dan top. Tak adalah terkeluar 'apa-apa' yang tak patut. Bagi Jes, remaja yang dibebaskan sebelum itu, pakaiannya seakan-akan sama seperti kami.
Dia orang kata pada Jes, ini kena buat kes, Jes merayu, tolonglah... apa bezanya pakaian Jes dengan dia orang (remaja yang dibebaskan)? Selepas itu salah seorang dari mereka boleh cakap, tak payah balik lagilah Jes, kami semua ni peminat, duduklah, lepak, kita borak-borak.
Jes terfikir, kalau melawan, nanti kena duduk lagi lama dalam lokap tu, jadi Jes senyap aje. Sampai satu ketika dia orang cakap, mata dah naik kelabu, dah tak tahu nak pilih yang mana pergi kaunseling, mana pergi mahkamah. Sampai tiga kali dia orang suruh kami pusing-pusingkan badan. Kami malu sangat!
Sekarang ni Jes kena pergi Mahkamah Syariah atas kesalahan berpakaian terlalu seksi, di mana kertas pertuduhan menyebut kelakuan tidak sopan. Jes tanya penguatkuasa tu balik, tadi kata kesalahan Jes kerana kelakuan, ini pakaian, macammana ni? Dia orang kata sama saja!
Dah sampai 6.30 pagi, baru kami diberitahu, kami boleh diikat jamin. Kami terkejut, kenapa tak beritahu awal-awal, kami boleh diikat jamin? Akhirnya, Jes diikat jamin seorang kenalan keluarga.
Pada masa sama, ramai ibu bapa yang menunggu di luar, tak dibenarkan masuk. Apabila emak Jes sampai, dia orang kata tak boleh masuk, kena tunggu pejabat buka pukul 9 pagi!
Jes tak boleh terima cara layanan mereka (penguat kuasa Jawi). Jika kami disabit kesalahan kelakuan tidak sopan, kenapa lokap berkenaan perlu dikunci? Kami ni penjenayah ke? Akhirnya Jes hantar surat kepada Datuk Seri Shahrizat menceritakan apa yang terjadi pada malam itu.
Datuk Seri menunaikan janjinya kerana perkara berkenaan sudah dibentangkan di Kabinet. Jes nak tahu, apa yang Jawi boleh dan tak boleh buat pada kita. Sediakan satu garis panduan. Bukan Jes seorang saja tak puas hati, tapi kebanyakan ibu bapa juga tak puas hati. Jes hanya nak tahu hak kami yang sebenarnya.”
|