|
Para pembaca tentu pernah mendengar cerita tentang budak gembala yang kebosanan, lalu menjerit meminta tolong kononnya ada serigala yang ingin membaham kambing-kambing belaannya.
Orang kampung yang bergegas untuk menghalau serigala menemui gembala yang ketawa berdekah-dekah melihat telatah mereka. Rupa-rupanya serigala itu hanya khayalan si-gembala. Akhirnya, bila sampai waktu serigala benar-benar menyeringaikan taringnya, jeritan si-gembala tidak lagi dipedulikan oleh masyarakat sekeliling.
Sedikit-sebanyak ucapan Ketua Pemuda PKR Ezam Mohamad Nor dalam kongres sulung parti tersebut baru-baru ini mirip cerita tersebut. Ezam menyeru pembanterasan rasuah, malah meniru Abdullah Badawi dengan menjadikan perang anti-rasuah sebagai paksi perjuangan Angkatan Muda PKR. Kata Ezam, perang menentang rasuah adalah perjuangan generasi muda sezaman dengannya.
Seruan Ezam itu tepat kerana serigala rasuah memang wujud dan memang bermaharajalela dalam negara kita ini. Sungguhpun begitu, mungkin Ezam bukan orang yang tepat untuk membuat seruan sedemikian.
Rasuah mencekik semua lapisan masyarakat, baik daripada pegawai kerajaan paling kerdil yang sanggup memejam mata terhadap pelbagai kesalahan di peringkat kerajaan tempatan (lihat sahaja kes MPAJ) hinggalah kepada Ketua Setiausaha Negara yang dikhabarkan menerima ratusan ribu ringgit sewaktu menjadi Setiausaha Persekutuan di Sabah hasil me”Malaysia”kan pendatang haram dari Filipina.
Namun, seruan Ezam itu bukanlah perkara baru, malah telah lama menjadi dasar perjuangan PKR. Cuma Ezam sendiri lupa, bahawa perjuangan tersebut adalah wadah yang pernah menjadi kenderaannya ke kemuncak populariti. Masyhurnya nama Ezam dahulu adalah kerana rakyat percaya beliau serius memerangi rasuah hingga sanggup dipenjara.
Ada orang sangsi bahawa Ezam masuk penjara kerana memerangi rasuah. Kata mereka, Ezam disumbat ke dalam kerana terlalu lantang menyokong Anwar Ibrahim. Apa pun sebabnya, Ezam pernah mengalami hidup sebagai banduan dan menanggung risiko perjuangannya. Itu heroisme yang tidak boleh dinafikan oleh sesiapa pun.
Tetapi kini, Ezam mungkin sudah lupa, janji beliau tentang ”enam kotak rahsia” yang kononnya mengandungi pelbagai bukti rasuah di peringkat atasan. Ezam pergi ke hulu dan ke hilir untuk mencanangkan enam kotak rahsia tersebut. Ratusan ribuan manusia percaya janji-janji Ezam dan ingin benar melihat tuduhan-tuduhan tersebut dijelmakan menjadi bukti-bukti yang jelas dan nyata.
Namun akhirnya, setelah keluar daripada penjara, Ezam langsung membisu. Ucapan-ucapan masih penuh dengan retorika, tetapi ianya hanya omong-omong kosong tanpa bukti yang jelas. Tidak keterlaluan, jika dikatakan ramai rakyat merasa dibohongi oleh Ezam. Ezam sendiri terpalit dengan tuduhan-tuduhan rasuah oleh juak-juaknya seperti Saifuddin Nasution, Zahid Mohd Arip dan Lokman Noor Adam. Gambar-gambar rumah Ezam yang tersergam indah tersebar melalui CD yang dicetak oleh bekas kawan-kawannya sendiri.
Pergelutan politik Angkatan Muda PKR hari ini adalah tidak lebih daripada politik dendam, tanpa sebarang idealisme mahupun wawasan untuk rakyat kebanyak. Sebenarnya, peluang keemasan untuk menghambat hati rakyat disia-siakan oleh perangai pimpinan Angkatan Muda sendiri yang lebih gemar bercakaran antara satu sama lain. Perseteruan Ezam dengan bekas timbalannya Saifuddin Nasution memporak-perandakan parti tersebut.
Sayap PKR itu juga hilang kredibiliti akibat janji-janji dan dakwaan mengarut para pimpinannya. Pelbagai tuduhan rasuah dilemparkan tanpa sebarang bukti, kecuali surat Abdul Gani Patail yang memperakui mungkin ada kes terhadap Rafidah Aziz. Surat itu sahajalah yang dijaja ke sana ke mari sebagai bukti rasuah berleluasa di Malaysia.
| |
Terbaru, situs ini menyiarkan dakwaan Angkatan Muda PKR kononnya beberapa orang Puteri Umno memalsukan resit pemberian bantuan mangsa Tsunami. Kalau inilah minda dan wawasan Angkatan Muda PKR pasca kongres nyatalah mereka juga sama seperti Pemuda Umno, mempolitik dan membesar-besarkan isu-isu kecil yang langsung tidak menguntungkan masyarakat umum.
Pimpinan Angkatan Muda PKR sepatutnya malu dengan kenyataan-kenyataan sedemikian yang hanya publisiti murahan. Mereka nampak kuman di seberang laut, tetapi tidak nampak gajah di depan mata.
Tentu banyak lagi bukti-bukti yang diketahui oleh Ezam, sebagai bekas Setiausaha Politik Menteri Kewangan. Malah, tentu pemimpin lain yang pernah menjawat jawatan tinggi dalam kerajaan seperti Mustafa Kamil Ayub (Setiausaha Agung PKR yang juga bekas Setiausaha Politik menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan) dan Saifuddin Nasution (bekas Setiausaha Pemuda Umno dan Setiausaha Politik Menteri Pertahanan) mempunyai banyak bukti salah guna kuasa lain.
Namun semuamya ditutup dan mereka semuanya membisu. Sebabnya, sangat mudah – mereka kesemua masih mahu menjalinkan hubungan rapat dengan Umno. Ezam pernah menuduh Abdullah Badawi dan keluarganya (terutama anak lelakinya Kamaluddin) terlibat dengan rasuah pemberian tender makanan di IPT, malah pernah membuat laporan polis mengenainya, tetapi hari ini Ezam boleh riang-ria bergelak-ketawa dengan Khairy Jamaluddin, menantu Abdullah Badawi.
Sudah menjadi satu kebanggaan bagi Exco Angkatan Muda PKR bahawa ketua mereka selalu bersantai dengan Khairy di Bangsar Shopping Centre (BSC)! Ezam sendiri sangat bangga dengan hubungan tersebut dan kerapkali mendabik dada kononnya hubungan itulah yang akhirnya meloloskan Anwar Ibrahim daripada penjara.
Dalam keadaan sebegini, apakah Ezam dan Angkatan Mudanya boleh dipercayai untuk benar-benar menentang rasuah? Atau adakah mereka hanya melepaskan batuk di tangga?
Jika PKR benar-benar serius tentang membanteras rasuah, ia patut mengambil langkah berani untuk:
Meneruskan usaha mendesak penyiasatan serta pendakwaan semua yang pernah dituduh sebagai perasuah oleh pimpinan PKR termasuk nama-nama yang pernah disebut dalam laporan-laporan polis yang dibuat oleh Anwar Ibrahim dan Ezam Mohamad Nor seperti Rafidah Aziz dan Kamaluddin Abdullah Badawi
Mendedahkan secara terperinci melalui parlimen dan laporan polis butir-butir rasuah yang berlaku sewaktu Anwar Ibrahim menjadi menteri, termasuk semua tuduhan yang diucapkan oleh beliau kepada media massa seperti MISC, Perwaja, Petronas dan lain-lain
Membuat perisytiharan harta atas nama peribadi dan keluarga terdekat semua pimpinan tertinggi PKR termasuk Penasihat hinggalah ke Exco Angkatan Muda dan Wanita dalam tempoh tiga bulan sesudah dipilih atau dilantik ke jawatan tersebut, supaya rakyat umum mengetahui mereka ahli politik yang bersih dan sebagai kayu ukuran kekayaan mereka sesudah dipilih menjawat jawatan tinggi nanti
Masa untuk bercakap tentang menentang rasuah sudah tamat, kini masanya untuk bertindak!
|