Idealis Mahasiswa
 
 

Tsunami: Jangan Fitnah Tuhan


Hit = [ ]

Oleh ASTORA JABAT

PEMIKIRAN agama ramai di kalangan kita tidak mendorong ke arah mencari kebenaran berhubung bermacam-macam malapetaka yang menimpa bumi ini. Sebaliknya kita akan terus menyerah kepada ghaib secara tidak betul dan sekali gus menafikan tanggungjawab kita, sama ada sebagai punca malapetaka mahupun sebagai pencari penyelesaian dan pelaksanaannya bagi mengelak atau menjauhkan diri daripada malapetaka berkenaan.

Padahal bermacam-macam malapetaka yang menimpa bumi ini mungkin berpunca daripada perbuatan tangan kita dan mungkin juga berpunca daripada peraturan alam yang ditetap oleh sunatullah.

Kita tidak boleh menuduh Tuhan menjadi penyebab musibah dalam kedua-dua malapetaka itu, apatah lagi dianggap musibah itu sebagai balasan dan hukuman-Nya kerana balasan dan hukuman tertimpa ke atas kita sebenarnya disebabkan perbuatan kita atau disebabkan kita mencabuli peraturan alam yang ditetap oleh sunatullah.

Malapetaka buatan manusia:

Mengenai malapetaka pertama, iaitu malapetaka yang kita sendiri menjadi penyebab berlakunya disebabkan kita bertindak sebagai perosak alam. Allah menjelaskan tentang perkara ini dalam firman-Nya: Telah timbul pelbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian daripada balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali. (ar-Rum: 41)

Dalam ayat lain pula Allah memberitahu bahawa ramai tidak menyedari diri bahawa mereka menjadi penyebab malapetaka. Allah berfirman: Ketahuilah! Bahawa sesungguhnya mereka itulah orang-orang yang sebenar-benarnya membuat bencana dan kerosakan, tetapi mereka tidak menyedarinya. (al-Baqarah: 12)

Bagaimanapun, kerana ada penyerahan kepada ghaib secara tidak betul menyebabkan ramai di kalangan kita mendakwa malapetaka yang menimpa bumi kerana perbuatan kita sebagai balasan daripada Allah. Dengan dakwaan begitu bererti kita bukan saja memfitnah orang-orang yang menjadi mangsa malapetaka, tetapi kita juga memfitnah Allah.

Paling dahsyat lagi bila ada orang mempolitikkan malapetaka yang amat jelas ia berpunca daripada perbuatan tangan kita sendiri seperti kejadian berjerebu yang sering berlaku di Malaysia dan negara-negara berhampiran.

Mereka mendakwa jerebu itu merupakan bala yang datang daripada Allah sebagai balasan terhadap maksiat yang kita lakukan.

Begitulah dakwaan beberapa pemimpin Pas seperti Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Ketua Penerangannya dan Datuk Haron Din. Mereka menjaja dakwaan mereka ke seluruh Malaysia ketika negara dilanda krisis politik pada tahun 1998-1999 dulu yang kebetulan berlaku kejadian langit berjerebu beberapa kali. Padahal kita semua mengetahui fenomena itu berlaku kerana ada manusia tidak bertanggungjawab membakar hutan.

Banjir yang menimpa negara baru-baru ini didakwa juga sebagai bala daripada Allah. Kebetulan pula banjir menimpa Kelantan dianggap paling besar sejak 20 tahun. Punca Tuhan turun banjir besar ke Kelantan kali ini menurut dakwaan Pas adalah kerana UMNO menolak hudud. Dengan itu parti itu menuntut UMNO tarik balik saman hudud bagi mengelak bala lebih besar menimpa Kelantan. Padahal yang logiknya mungkin antara yang menjadi punca Kelantan dilanda banjir besar kerana ada Yakjuj dan Makjuj cap bulan membaham hutan di hulu negeri Cik Siti Wan Kembang itu.

Menurut pembacaan penulis dari sudut agama mengenai banyak malapetaka yang menimpa bumi dapat disimpulkan bahawa kemungkinan besar malapetaka seperti ombak tsunami dan lain-lain malapetaka besar berpunca daripada perbuatan tangan kita sendiri atau sekurang-kurangnya kita mempunyai saham menyebabkan ia berlaku.

Jika meneliti kajian-kajian ilmiah yang dibuat oleh para saintis zaman ini, kita akan dapati bahawa dalam penyelidikan mereka itu terkandung banyak fakta saintifik membuktikan bahawa amat ketara sekali penyalahgunaan kita terhadap sains dan teknologi. Begitu juga sikap penggunaan kita terhadap sumber-sumber alam yang tidak mesra alam telah, sedang dan akan menyebabkan berlaku banyak malapetaka besar seperti yang dijelaskan dalam ayat al-Quran di atas.

Ambil contoh ujian nuklear oleh beberapa negara besar dan kecil, sama ada yang dilakukan di bawah tanah mahupun yang dilakukan di dasar laut boleh dianggap menjadi punca berlaku kepada kemusnahan jangka pendek dan jangka panjang kepada bumi.

Kemusnahan jangka pendek ialah kemusnahan alam sekitar yang teruk di kawasan ujian. Kemusnahan jangka panjang pula ialah kerana ujian nuklear yang biasanya meletuskan gegaran 5 skala Richter itu boleh memberi kesan kepada kerak bumi dan seterusnya boleh menggerak dan memacu ke arah berlaku gempa bumi semula jadi.

Begitu juga penggunaan kita yang bersifat memusnahkan alam semula jadi turut menjadi punca berlaku banyak malapetaka seperti penggunaan kita terhadap minyak dan gas. Kita mengambil minyak dan gas dari perut bumi, sama ada di darat mahupun di laut. Penggunaan kita terhadap cecair yang digelar sebagai emas hitam itu berlaku sejak beribu-ribu tahun dulu lagi. Ini kerana dalam catatan bangsa Mesir kuno, bangsa Firaun pun dikatakan sudah pandai menggunakan minyak dalam bentuk semula jadi dan belum diproses. Begitu juga ada bangsa-bangsa kuno lain yang pandai menggunakan minyak dalam bentuk semula jadi. Bagaimanapun, penggunaan bangsa-bangsa kuno itu terhadap minyak masih tidak bersifat memusnahkan alam kerana hanya mengambil yang terkeluar daripada bumi dan tidak menggalinya terutama dalam bentuk memusnahkan alam seperti yang berlaku beberapa dekad lalu.

      

Begitu juga tindakan menyedut air dari perut bumi dengan jumlah yang besar seperti dilakukan oleh banyak negara hari ini termasuk Libya yang membina sungai buatan manusia di tengah padang pasir dianggap menjadi punca malapetaka buatan tangan kita sendiri berjangka panjang.

Tindakan kita mengeluarkan minyak, gas dan air dari perut bumi dengan jumlah yang sangat besar itu menyebabkan terbentuk kawasan lompong dan kosong yang luas di bawah tanah. Suatu hari nanti kawasan lompong dan kosong akibat pengeluaran minyak, gas dan air dari perut bumi itu akan diisi ruangnya dan ini akan menyebabkan berlaku tanah mendap dan tanah runtuh yang meletuskan gegaran dan gempa bumi. Jika perkara itu berlaku dalam laut mesti menyebabkan berlaku ombak tsunami.

Malaysia sendiri mengeluarkan minyak sebanyak 451,000 tong sehari. Ini bererti setiap hari berlaku kelompongan dan kekosongan seluas 451,000 tong di dalam perut bumi dan dalam setahun ruang itu meningkat menjadi 160,556,000 tong. Ini tidak termasuk ruang lompong dan kosong yang berlalu akibat pengeluaran gas, yang sudah tentu lebih besar lagi.

Peraturan alam

Pokoknya jika menghalusi angka pengeluaran minyak dan gas di Malaysia dengan menghitung jumlah tahun pengeluaran terdahulu dan akan datang sudah tentu amat mengerikan. Ini kerana kemungkinan gempa bumi yang berpunca daripada perbuatan tangan kita seperti yang berlaku di Asia Barat akan berlaku di Malaysia tanpa dapat dielak lagi.

Bagaimanapun, kemungkinan berlaku bahaya itu lebih ketara lagi di negara-negara pengeluar minyak utama dunia.

Malapetaka alam:

Malapetaka buatan tangan kita sudah tentu tidak dapat didakwa sebagai balasan dan hukuman daripada Tuhan. Ini kerana yang merosakkan alam adalah kita, maka kita dibalas dan dihukum oleh alam dan bukan dibalas dan dihukum oleh Tuhan.

Bagaimanapun, jika kita ditimpa malapetaka alam yang berpunca daripada peraturan alam tidak boleh juga dianggap balasan dan hukum daripada Tuhan.

Kenapa? Kerana malapetaka yang merupakan peraturan alam perlu dipatuhi dan jangan dicabuli. Peraturan atau sistem itu tidak akan berubah sampai bila-bila masa. Mengenai perkara ini Allah menjelaskan: Yang demikian adalah menurut ``sunatullah'' yang berlaku kepada orang-orang yang telah lalu dan engkau tidak sekali-kali akan mendapati sebarang perubahan bagi ``sunatullah'' itu. (al-Ahzab: 62)

Peraturan alam ini dipanggil al-bala' atau al-ibtila' dalam al-Quran yang bermaksud ujian. Ujian seperti terdapat dalam semua perkara di bumi ini. Sebagai contoh kita makan benda hidup atau mempunyai nyawa seperti sayur dan binatang.

Sayur dan binatang secara sunatullah dan semula jadi menerima ujian kerana dimakan oleh kita. Mungkin jarang ada di kalangan kita yang berfikir dan bertanya, apakah sayur dan binatang itu sakit kerana dimakan oleh kita? Tetapi jika kita berfikir di luar hukum kebiasaan, tidak dapat tidak kita akan sedar sayur dan binatang mesti berasa sakit kerana dimakan oleh kita.

Bagaimanapun, ujian terhadap kita yang makan sayur dan binatang pun ada juga. Ini kerana jika kita hanya makan sayur sahaja sepanjang hidup, mungkin memberi kesan berbeza dari orang makan daging kerana boleh jadi kita menjadi kurang agresif dan tidak aktif. Sebaliknya orang yang makan binatang (baca gading) terutama sekali jika keterlaluan ada kesan-kesan yang lain termasuk kemungkinan menjadi orang perangai bengkeng, cepat marah dan sebagainya.

Dari sudut lain kesinambungan hidup kita di dunia ini juga bergantung kepada sunatullah ini. Selain diuji dari segi makanan, kita juga diuji dari segi seks. Ini kerana disebabkan pengujian antara suami dan isteri menyebabkan ada zuriat.

Pengujian itu ada dalam karan elektrik yang berlaku hasil pertemuan antara positif dan negatif, angin dan ribut yang berlaku hasil pertemuan antara sejuk dan panas dan lain-lain.

Pokoknya semua di dunia ini mesti tertakluk di bawah payung ujian sunatullah ini termasuk semua malapetaka dan bencana alam yang bukan berpunca daripada perbuatan kita.

Cara menghadapi ujian sunatullah:

Ujian sunatullah sebenarnya ada yang tidak dapat dielak dan ada yang dapat dielak. Yang tidak dapat dielak ialah ujian sunatullah yang menjadi survival kita di dunia ini seperti makan sayur dan binatang, berkahwin dan lain-lain. Tetapi ini bukan mutlak kerana apabila keterlaluan, kita perlu lari atau mengelakkannya.

Sedangkan yang dapat dielak atau sekurang-kurangnya boleh berusaha lari daripadanya ialah ujian sunatullah yang berupa malapetaka semula jadi yang melanda alam. Sebagai contoh jika sudah diketahui bahawa sungai selalu didatangi banjir besar, maka janganlah membina rumah di tepi sungai berkenaan. Begitu juga jika pantai sentiasa berombak besar, tanjung selalu ditimpa ribut, gunung berapi yang aktif dan sebagainya perlu dielak menghuni kawasan itu. Jika tidak, kita boleh menjadi mangsa dan janganlah pula memfitnah Tuhan jika kita menjadi mangsa.

Bagaimanapun, ini juga tidak mutlak. Dengan itu penulis sebut di atas sebagai yang dapat dielak atau sekurang-kurang boleh berusaha lari daripadanya.


Note: Sila baca rencana ini bersama rencana bahagain pertama minggu lepas. Terdapat bahagian ketiga akan disiarkan minggu depan dan ia bertajuk: 'TSUNAMI DARI SEGI AKIDAH'.





Copyright © 2005 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved