|
Khabarnya Parti Keadilan Rakyat (PKR) menawarkan jawatan tinggi kepada Datuk Paduka Ibrahim Ali, ahli politik Kelantan yang kontroversi. Walaupun berita itu dinafikan oleh Timbalan Presiden PKR, Syed Husin Ali, namun tidak mustahil penawaran itu berlaku, walaupun tidak secara rasmi.
Penafian Syed Husin Ali tidak perlu diambil serius, kerana PKR bukan miliknya. PKR milik Anwar Ibrahim. Hanya Anwar Ibrahim yang layak menafikan khabar itu. Namun, iras-irasnya umpama Anwar Ibrahim benar-benar telah membuka "peluang keemasan" tersebut kepada Ibrahim Ali, walaupun secara rahsia dan bukan secara terbuka.
Apa tidaknya, Ibrahim Ali adalah bekas rakan seperjuangan dan sepemenjaraan dengan Anwar Ibrahim, sewaktu kedua-duanya di Kamunting pertengahan tahun 1970an dahulu. Kata Ibrahim, Anwar cukup tenang dalam penjara dan rajin solat serta berdoa. Menurut Anwar pula, Ibrahim kerap menangis di tengah malam meratapi nasibnya.
Pokoknya hubungan mereka intim, walaupun politik mereka kemudiannya merupakan gerabak keretapi yang berlainan. Anwar Ibrahim totok Mahathir, sedangkan Ibrahim Ali totok Tengku Razaleigh.
Tahun 1998, sewaktu banjir reformasi melanda, pantai politik kedua-dua mereka berubah sekali lagi. Anwar Ibrahim disingkir bekas "bapa angkat politik"nya, Mahathir Mohamad dan Ibrahim Ali menangguk di air keruh, menjadi sekutu Mahathir dan pencaci Anwar.
Bila Abdullah Badawi ingin "menyapu" Umno daripada anasir-anasir politik usang dan lapuk, Ibrahim Ali dipecat. Dengan nada penuh kesal, kecewa dan berdendam, Ibrahim Ali bersekongkol dengan PAS untuk menumbangkan jentera Umno Kelantan.
Malangnya, bukan sahaja dia ditolak oleh rakyat Pasir Mas, Umno yang dimusuhinya itu nyaris-nyaris menawan kerajaan negeri Kelantan. Ibrahim Ali termanggu-manggu, memangku dagu menunggu nasib seterusnya.
Tiba-tiba Anwar Ibrahim dilepaskan daripada penjara. Umpama orang mengantuk disorong bantal, Ibrahim Ali terus menempah tiket kapal terbang kelas perniagaan ke Munich, Jerman - untuk bersemuka dengan "kawan lama"nya Anwar Ibrahim. Anwar Ibrahim menyambut Ibrahim Ali dengan tangan terbuka. Mereka berpelukan. Sengketa lama dilupakan. Musuh Ibrahim adalah juga musuh Anwar. Matlamat mereka berpadu dalam fajar baru politik Malaysia.
Demikianlah, Ibrahim Ali yang pernah digelar "Katak Ong Ong" oleh para penyokong reformasi, kini menjadi aset kepada Anwar Ibrahim. Mereka yang mendokong konsep political reality, yang meraskan apa cara pun halal asalkan matlamat tercapai, tentunya merasakan Anwar Ibrahim seorang yang sangat bijak, pragmatis dan pemurah kerana sanggup memaafkan Ibrahim Ali.
Anwar Ibrahim mempelawa Ibrahim Ali menjadi hos majlis berbuka puasa bersama rakyat Kelantan. Ibrahim Ali pula berjanji dengan Anwar Ibrahim untuk memperjuangkan pengampunan diraja bagi pihaknya melalui kerjasama dua tokoh yang diketahui rapat dengan Ibrahim Ali, iaitu Al-Sultan dan Raja Perempuan Kelantan.
Ah, mulia sungguh hati Anwar Ibrahim! Namun tidak mustahil Anwar Ibrahim sebenarnya "menutup peluang" untuk PKR di Kelantan. Ibrahim Ali adalah tokoh kelakar yang sudah sampai tarikh luput usia. Dalam wayang kulit, Ibrahim Ali adalah Wak Dogol, tokoh selamba berwajah lucu yang menimbulkan gelak ketawa penonton, walaupun dirinya sendiri tidak sedar bahawa pernyataan dan perbuatannya bodoh dan bebal.
| |
Sebenarnya PKR memang tidak ada peluang di Kelantan. Tokoh-tokohnya yang berwibawa seperti Mohammad Mustafa (pimpinan tinggi ABIM dan bekas ahli parlimen PKR) sudah pun menyertai PAS. Sementara itu, PAS juga adalah "abe" yang memberi makan kepada "adek" - ramai tokoh PKR Kelantan, terutamanya Pemuda, akan kebuluran jika tidak diberikan konsesi balak, kontrak mengutip bayaran letak kereta dan jawatan pengarah dalam syarikat-syarikat milik kerajaan negeri.
Jadi, untuk apa Anwar Ibrahim melayan Ibrahim Ali? Tidak mustahil, Anwar Ibrahim hanya ingin mengacah Umno. Anwar Ibrahim boleh cuba menimbulkan sedikit "riak" dalam Umno Kelantan dengan menjemput Ibrahim Ali masuk ke dalam PKR. Ini taktik biasa politik. Semua parti melakukannya.
PKR telah pun menjemput beberapa ekor "katak lompat" yang lain untuk masuk parti, termasuk Setiausaha Agong PKR Mustafa Kamil Ayub (dari Umno), Ahli Majlis Tertinggi Gooi Hock Seng dan Goh Kheng Huat (dari DAP). Ada juga "katal" yang dipelawa tidak "makan umpan" - termasuk Datuk Fauzi Abdul Rahman, Zaiyadi Awang Noh, Datuk Zambry Kader, Datuk Affifudin Omar (dari Umno) dan Dr. Patau Rubis (dari STAR).
Taktik PKR ini mencerminkan ia tidak banyak berbeza daripada parti Umno ataupun PAS, yang turut mencuri ramai pimpinan parti kawan dan lawan. Yang peliknya, bila PKR melakukannya, ahli-ahli parti menyetujui tanpa sebarang komen. Kepatuhan mereka kepada Anwar Ibrahim dan juak-juaknya menyebabkan mereka buta terhadap politik sinis dan tidak berprinsip yang diamalkan oleh pemimpin mereka.
Sebaliknya, bila pimpinan PKR seperti Roslan Kassim masuk Umno dan Mohammad Mustafa masuk PAS, mereka melenting. Politik bermuka dua inilah yang menyebabkan kebanyakan rakyat Malaysia menolak PKR sebagai wadah perjuangan mereka - perangai sama seperti Umno, bezanya Cuma Umno banyak duit sedangkan PKR miskin!
Balik kepada Ibrahim Ali - tidak mustahil dia juga hanya ingin menggertak Umno dengan berita bahawa dia "mungkin" menyertai PKR. Belum sampai seminggu pulang dari Munich, Ibrahim Ali telah mengadap Mahathir Mohamad untuk memaklumkan hasil pertemuannya dengan Anwar Ibrahim. Pada Ibrahim Ali, Anwar Ibrahim adalah kuda tangkas yang bisa ditunggang ke sana ke mari.
Nampaknya, politik Anwar Ibrahim dan Ibrahim Ali tidak banyak berbeza. Mereka sama-sama beranggapan bahawa opportunisme politik bukanlah suatu perkara yang keji, sebaliknya amalan biasa.
Kalau benar Ibrahim Ali masuk PKR, ramai ahlinya akan mulai sedar bahawa cita-cita Anwar Ibrahim untuk menjadi perdana menteri tidak ada had dan batasannya. Tidak mustahil, satu "katak" masuk, beratus, malah beribu ahli-ahli yang jujur akan keluar, terutama di pantai timur semenanjung.
Anwar Ibrahim mungkin teringat resmi katak sewaktu bercanda dalam kolam. Katak akan meng"ong ong" dengan nyaring. Tidak lama kemudian, banyaklah katak-katak lain yang bertumpu di kolam tersebut. Mungkin Ibrahim Ali, dengan "ong ong"nya, dapat menarik "katak-katak" lain masuk ke kolam PKR.
Tetapi itu katak hidup, sedangkan Ibrahim Ali adalah "katak jeruk" yang sudah lama menjadi pekasam politik!
|