Idealis Mahasiswa
 
 

Ustaz Halim Wajar Bertanding Timbalan Presiden ?


Hit = [ ]

oleh Tun Paduka Tuan
sumber - Marhaen

Puak yang menaja dan cuba menaikkan semula bekas Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Abdul Halim Ab. Rahman seharusnya memikirkan semula keputusan mereka sebelum ini yang bercadang untuk meletakkan Halim bertanding kerusi Naib Presiden Pas.

Walaupun usaha itu bertujuan hendak memulihkan kedudukan Halim yang semakin terpinggir dalam konteks politik arus perdana dalam Pas, namun usaha itu juga secara tidak langsung boleh memberikan imej kepada Pas Kelantan di peringkat nasional.

Halim yang lebih mesra dengan panggilan Ustaz Halim, merupakan seorang tokoh lama Pas bukan sahaja sepatutnya sudah lama mencuba ke jawatan itu (Naib Presiden) namun jawatan lebih tinggi dari itu. Jika diukur kepada senioriti di dalam Pas hari ini, Ustaz Halim wajar bertanding merebut jawatan Timbalan Presiden.

Sedar atau tidak sedar Ustaz Halim adalah orang lama di dalam Pas. Beliau adalah pejuang Pas di zaman Tan Sri Mohd Asri Muda lagi yang komited dengan Pas. Berbanding dengan penjawat jawatan Timbalan Presiden hari ini Ustaz Halim jauh lebih berwawasan dan mempunyai pemikiran liberal dalam politik pasca merdeka ini.

Malahan jika dibanding dengan Presiden pun (Abdul Hadi Awang), Halim lebih matang dan lama berjuang di dalam Pas. Dari segi politik Halim ternyata lebih ‘modern’ berbanding Hadi.

Walaupun Ustaz Halim juga berpendidikan Timur Tengah namun anutan dan pandangannya agak terbuka dan tidak begitu terbatas kepada dogma agama seperti mana menjadi pegangan sesetengah pemimpin berlabel agama lain di dalam Pas.

Ustaz Halim yang dilihat ada mewarisi perwatakan tokoh lagenda Pas Asri Muda di mana suka kepada perdamaian, politik sederhana dan tidak suka kepada kontroversi. Dengan sikap ini sekiranya beliau pandai membawa diri Halim mampu menjadi ‘orang tua’ di dalam politik Pas di Kelantan maupun di Malaysia.

Begitu juga pengalamannya sangat luas di dalam Pas. Selain dari Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, Ustaz Halimlah satu-satunya orang lama yang pernah menghadapi dan merasai suka duka di dalam Pas – merasai kekalahan dan kemenangan di Kelantan.

Di masa Pas Kelantan menghadapi musim gerhana penuh (1978 – 1990) beliau di antara tokoh utama yang berjuang menghidupkan Pas dan tidak pernah merasai putus asa. Dalam hal ini Ustaz Halim bolehlah disifatkan sebagai pelopor kepada kebangkitan kedua Pas di Kelantan!

Cuma masalah beliau ialah tidak menonjolkan diri dan lebih suka bersikap law profil dan sering bertindak play save di dalam setiap isu yang timbul. Perbezaan pandangan politik beliau dengan Nik Aziz dalam beberapa isu telah memberikan kesan (impak) buruk kepada wajah politiknya.

      

Sikap dan suasana ini menjadikan beliau seperti tenggelam dan tidak dilihat sebagai pelaku politik yang aktif dan juga berada di jalan berlainan dengan Nik Aziz. Kehebatan pengaruh peribadi Nik Aziz berbanding dengannya menyebabkan Ustaz Halim berada dalam tindakan yang sentiasa salah.

Justeru jika di ambil kira kepada perjuangan dan pengalaman beliau, dari konteks Kelantan Ustaz Halim wajar ditonjolkan sebagai tokoh dari Kelantan untuk menduduki salah satu tempat tertinggi di dalam hierarki Pas.

Kebetulan nasib Pas Kelantan juga seperti Umno di mana mereka gagal untuk meletakkan tokoh dari Kelantan menguasai pucuk pimpinan parti di peringkat pusat. Selepas ketiadaan Asri tahun 1982, tidak ada tokoh dari Kelantan yang menduduki jawatan eksekutif tertinggi dalam Pas. Maka kekosongan ini seharusnya direbut oleh Pas dengan menjadikan Ustaz Halim sebagai orang harapan Pas Kelantan.

Untuk beberapa dekad pucuk pimpinan Pas Pusat seperti dimonopoli oleh tokoh-tokoh dari Terengganu. Senario ini juga kurang sihat kepada Pas Kelantan dan juga Pas Malaysia seluruhnya.

Apa lagi kejatuhan kerajaan Terengganu di dalam pilihan raya lalu menjelaskan kewibawaan dan kehebatan pemimpin Pas dari Terengganu boleh dipertikaikan.

Berdasarkan kepada realiti itu dalam situasi hari ini sangat sesuai kalau Ustaz Halim ditonjolkan untuk merebut jawatan Timbalan Presiden dan bukan Naib Presiden. Sejarah ‘tiga abdul’ yang memberi kesan psikologi yang hebat ke atas politik Kelantan harus dilupakan buat seketika dan elok kalau tumpuan untuk memartabatkan Pas Kelantan menjelang Muktamar akan datang.

Jawatan Timbalan Presiden itu lebih sesuai dan padan dengan ketokohannya berbanding dengan Naib Presiden seperti mana yang diura-urakan. Sekiranya Halim diletakkan untuk merebut jawatan naib, ia menjadikan Halim akan berhadapan dengan tokoh muda yang sedang mencari tempat, dan keadaan ini menyulitkan beliau untuk lolos.

Sekiranya Halim dicalonkan untuk merebut Naib Presiden sudah tentu beliau akan bertembung dengan rakannya sendiri dari Kelantan, Husam Musa yang sudah pasti akan mendapat pencalonan ‘mewah’ untuk jawatan itu. Khabarnya setakat ini Husam sudah memperolehi satu pencalonan daripada Kawasan Kapar.

Kita percaya kalau Ustaz Halim bertanding jawatan itu beliau akan mendapat pencalonan padu dari Kelantan, Terengganu dan juga beberapa buah negeri lain. Sebaliknya sekiranya beliau diletakkan bertanding di kerusi Naib Presiden ia seperti mahu memalukannya dan ia juga satu pertandingan yang tidak seimbang kerana rata-rata calon Naib Presiden kali ini terdiri daripada tokoh muda yang berusia 50 ke bawah. – Reformasi.


Tun Paduka Tuan - 09.03.2005 (suntingan M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com / reformasi@gmail.com)





Copyright © 2005 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved