|
Presiden PAS Tuan Guru Abdul Hadi Awang didapati gagal menyaingi kehebatan berpolitik Almarhum Ustaz Fadzil Mohd Noor yang mampu menyatupadukan golongan profesional dan ulama serta aktivis politik dalam PAS tanpa menghadapi sebarang konflik dalaman. Beliau sebagai faktor penyatu dapat merapatkan persefahaman di kalangan tiga golongan dalam PAS dengan mengiktiraf peranan masing-masing.
Walau bagaimanapun, setelah beliau kembali ke rahmatullah, pengganti beliau gagal memainkan peranan sebagaimana yang ditonjolkan oleh beliau. Mungkin itulah sebabnya mengapa timbalan Ustaz Hadi sendiripun sanggup membelakangi banyak keputusan beliau seperti mengeluarkan sendiri watikah calon kepada calon PAS di dua DUN di Selangor pada pilihan raya umum tempoh hari sehingga mengakibatkan berlakunya pertandingan tiga penjuru dengan KeADILan.
Hingga ke detik ini, dua orang calon PAS ini tidak diambil sebarang tindakan tata tertib. Ini membawa maksud Ustaz Hadi adalah seorang pemimpin yang lemah dan tidak mempunyai ketegasan dalam membuat keputusan atas kapasitinya sebagai presiden. Ketika menjadi Menteri Besar Terengganu pun, Ustaz Hadi gagal mengawal beberapa jeneral PAS yang menjawat jawatan Exco kerajaan negeri sehingga berlaku pelbagai salah laku dalam pentadbiran negeri.
Contohnya, bagaimana Ustaz Hadi boleh membiarkan Naib Presiden Mustapha Ali mengaut banyak kawasan balak di Terengganu melalui kroni-kroninya termasuk anak saudaranya yang sampai ke hari ini tidak diambil sebarang tindakan. Begitu juga bagaimana Ustaz Hadi boleh diam membisu apabila Setiausaha Politiknya ketika beliau menjadi MB (Pengerusi Tetap Dewan Pemuda PASPusat) berjaya membolot tanah di Kuala Terengganu yang bernilai lebih dari RM 1 juta.
Ustaz Hadi juga boleh dikatakan seorang yang mahukan jawatan apabila bergaduh dengan Ketua Dewan Ulama PAS Pusat Ustaz Harun Taib yang masing-masing berebut jawatan Menteri Besar Terengganu selepas PAS menang dalam Pilihan raya Umum 1999. Mujurlah Ustaz Hassan Shukri sanggup menjadi pendamai dan akhirnya Ustaz Hadi berjaya menjadi MB. Semasa menjadi MB, beliau juga tidak mencontohi kesederhanaan seperti amalan Tuan Guru Nik Abdul Aziz apabila para pegawai Ustaz Hadi menjemput beliau dengan kereta sehingga di depan tangga kapal terbang di Lapangan Terbang Kuala Terengganu.
Sikap sebegini menjatuhkan imej seorang pemimpin di mata rakyat kerana pemimpin Barisan Nasional sendiripun tidak melakukan perkara sedemikian rupa. Ustaz Hadi juga menunjukkan imej yang tidak mesra rakyat apabila sentiasa dikepung oleh pengawal-pengawal beliau di mana-mana sahaja beliau pergi seolah-olah beliau sentiasa berada dalam keadaan yang tidak selamat.
Ustaz Hadi juga gagal mencontohi Almarhum Ustaz Fadzil apabila merobek-robekkan ikatan persahabatan sesama pembangkang dalam menghadapi musuh yang sama iaitu BN ketika pilihan raya apabila mencari musuh baru dengan memperli Lim Kit Siang dan Karpal Singh sebagai ahli politik yang sudah "expired date".
| |
Ustaz Hadi yang menyebabkan perpecahan berlaku dalam Barisan Alternatif sehingga membawa kepada DAP keluar dari pakatan tersebut. Ini adalah kerana sikap keras yang ditunjukkannya yang dalam masa yang sama gagal memberikan penjelasan yang sewajarnya tentang persoalan-persoalan yang menimbulkan kekeliruan kepada DAP.
Ustaz Hadi dengan imej radikalnya mestilah bertanggungjawab di atas kekalahan teruk PAS dalam Pilihan raya Umum 2004. Beliau sampai sekarang masih bergelumit dengan imej kafir-mengkafir kerana beliaulah yang mengeluarkan fatwa sebegitu rupa dalam tahun 80an dulu.
Seorang presiden parti sewajarnya seorang yang berimej sederhana sebagaimana Almarhum Ustaz Fadzil yang disenangi oleh kawan mahupun lawan.
Almarhum boleh diibaratkan sebagai seorang negarawan walaupun tidak berkesempatan memerintah. Dunia hari ini yang penuh dengan fitnah terhadap gerakan Islam yang membinkannya kepada radikal dan teroris memerlukan pimpinan parti yang tidak berimej ekstrim. Ustaz Hadi bangga memberitahu khalayak apabila Anwar Ibrahim membawa mesej Amerika yang takutkan PAS. Sewajarnya seorang presiden yang bijak akan mendiamkan persepsi buruk terhadap partinya ini dengan cuba sedaya-upaya merubah imej dan pendekatan parti bagi memudahkan laluannya untuk mencapai kuasa politik.
Kenapa kuasa politik penting? Sudah semestilah ianya amat penting kerana dengan kuasaitu maka parti politik ini dapat menegakkan Islam yang dicita-citakannya selama ini. Selagi Ustaz Hadi masih kekal sebagai presiden, maka apabila PAS kalah dalam pilihanraya, beliau akan mengulangi retorik yang sama dengan mengatakan walaupun kita kalah di dunia, tetapi di akhirat kita akan menang!
Ini kerana beliau adalah pemimpin yang tidak mahu mengaku kelemahan strategi dan sebagainya sebagai punca kekalahan dalam pilihan raya, justeru retorik yang disebutkan tadi akan diratip-ratip untuk menyedapkan hati pendokong parti yang ingin tertegaknya sebuah sistem pemerintahan negara mengikut lunas-lunas Islam.
Ayuh, para pendokong parti di akar umbi, segeralah lakukan perubahan besar dalam pemilihan parti yang akan datang demi melihat Islam pantas dilaksanakan melalui strategi yang mampan ke arah mencapai kekuasaan dengan kadar yang pantas. Alternatif kepada Ustaz Hadi terbentang luas di hadapan tuan-tuan dan puan-puan. Pilihlah dengan mata iman siapakah yang layak untuk menggantikannya samada Ustaz Hassan Shukri, Dr Haron Din, Dr Hassan MohdAli, Ustaz Ahmad Awang, Mohammad Sabu mahupun Husam Musa. Perubahan dalamPAS menjamin sokongan majoriti rakyat terhadap PAS!
Perwakilan ke Muktamar PAS 2005
|