Idealis Mahasiswa
 
 

Kod pakaian Kerajaan PAS Kelantan dibantah


Hit = [ ]

sumber - Malaysia Today

Cadangan kerajaan PAS Kelantan untuk memperkenalkan kod pakaian bagi pekerja-pekerja telah mendapat bantahan keras dari banyak pihak. Kod pakaian tersebut mungkin menjadi wajib kelak.

Majlis Perbandaran Kota Bharu telah memberitahu, bahawa mereka akan berbincang cadangan tersebut dengan kerajaan negeri.

Dalam usaha “menggalakkan wanita berpakaian sopan”, kerajaan negeri akan kuatkuasakan kod pakaian tersebut dalam masa setahun.

Pengerusi perbandaran Abdul Aziz Abdul Rahman berkata, mereka akan adakan dialog bersama persatuan-persatuan perniagaan bukan Islam untuk mendapat maklum balas mereka tentang kod pakaian tersebut.

“Kami mahu dengar pandangan mereka mengenai kod pakaian ini,” kata Aziz.

Dalam perkembangan lain, Pengerusi MCA Kelantan Dr Fong Chan Onn berkata kod pakaian ke atas pekerja bukan Islam tidak perlu kerana wanita tahu bagaimana membawa diri mereka dalam situasi rasmi dan tidak rasmi.

Menurutnya, MCA akan pastikan dasar-dasar yang dikeluarkan oleh kerajaan Kelantan tidak akan menjejaskan hak-hak orang bukan Islam.

Langkah berani kerajaan Kelantan mengenakan kod pakaian ke atas pekerja-pekerja dipuji kerana mana-mana institusi memang mempunyai kod pakaiannya sendiri. Kerajaan negeri juga wajar mempunyai kod pakaiannya sendiri. Tindakan seperti ini pastinya akan hadapi tentangan dan bantahan terutamanya dari kumpulan wanita liberal.

      

Sesetengah pemakaian wanita hari ini, kian hari menjadi bertambah ’berani’ dan tiada apa lagi yang di’lindungi’ lagi dari pandangan ramai. Namun, untuk menangkap dan mendenda orang ramai yang tidak mematuhi kod pakaian agak keras memandangkan pendidikan perlu diutamakan dahulu.

Kerajaan Kelantan perlu mengkaji sama ada faktor pakaian menjadi penyumbang utama peningkatan kepada jenayah seks dan yang berkaitan. Amat tidak bijak dan naif jika mencari penyelesaian dengan cara reaksi kepada situasi sedangkan punca sebenar tidak ditangani dan diberi perhatian.

Antara punca peningkatan kepada segala bentuk permasalahan sosial berpunca dari ikatan kekeluargaan yang semakin longgar. Ikatan setiap unit keluarga yang membentuk sesebuah masyarakat sudah tidak dapat berpegang teguh kepada nilai-nilai murni yang sebelum ini dipelihara dan dijaga. Dengan itu juga, nilai-nilai yang dipegang oleh masyarakat juga berubah menjadi bertambah ’liberal’.

Kembali kepada pembinaan keluarga bahagia dan kukuhkan ikatan kasih sayang adalah langkah yang paling wajar bagi tindakan kerajaan Kelantan selepas ini.





Copyright © 2005 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved