Idealis Mahasiswa
 
 

Persaingan rebut jawatan melanda PAS


Hit = [ ]

sumber - Utusan Malaysia

Muktamar Tahunan Pas yang akan diadakan pada 1 Jun ini di Kota Bharu, Kelantan pasti akan menjadi tumpuan.

Ini memandangkan pada tarikh berkenaan, parti itu yang menempuh kekecewaan yang agak mendalam pada pilihan raya umum lalu akan memilih barisan kepimpinannya.

Setakat ini, tidak ada ura-ura atau apa-apa gerakan di peringkat bawah untuk menggantikan bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai Presiden Pas.

Malah Utusan Malaysia difahamkan, Abdul Hadi terus mendapatkan sokongan padu di kalangan ahli-ahli Pas walaupun pada muktamar yang lalu beliau banyak dipersalahkan berikutan kekalahan teruk Pas dalam pilihan raya umum ke-11.

Tetapi seperti mana dijangkakan, ahli-ahli Pas masih belum tergerak untuk membuat perubahan di peringkat pucuk pimpinan kerana menganggap Abdul Hadi masih relevan dan merupakan satu-satunya tokoh berwibawa untuk terus menerajui parti berkenaan.

Ketika kedudukan Abdul Hadi sudah pun dianggap selesa, jawatan nombor 2 iaitu Timbalan Presiden yang kini disandang oleh Hassan Shukri mula menjadi perhatian.

Rata-rata pemimpin dan ahli Pas dikatakan mempunyai kecenderungan yang kuat untuk memastikan Hassan 'disingkirkan' dari jawatan berkenaan yang disandang berikutan keputusan Datuk Dr. Haron Din menarik diri pada saat-saat akhir dalam pemilihan yang lalu.

"Saya fikir Hassan tidak akan dapat mempertahankan jawatan berkenaan tambahan pula ada desas-desus yang menyatakan bahawa beliau pun sudah tidak berminat untuk mempertahankan jawatan itu," kata seorang pemimpin muda Pas.

Jika Hassan membuat keputusan untuk tidak bertanding atau bertanding tetapi tewas dalam pemilihan pada 1 Jun ini ia bukanlah satu kejutan.

Ia disebabkan, kemenangan beliau dalam pemilihan lalu dianggap hanya kerana simpati para perwakilan dan tidak mahu ulama profesional seperti Datuk Mustafa Ali menjawat jawatan tersebut setelah Dr.Haron menarik diri.

"Kita percaya jika Dr. Haron tidak berbuat demikian, Hassan pasti tewas," kata seorang ahli Pas yang menjadi perwakilan pada muktamar yang lalu.

Sebenarnya, jika dilihat apa yang berlaku dalam Pas sekarang Hassan hakikatnya sudah tewas sebelum berjuang kerana arus semakin kencang untuk menyingkirkan beliau sebagai orang nombor dua.

Selain dilihat tidak mempunyai karisma, Hassan juga dilihat tidak mempunyai apa-apa keistimewan bagi menjadikan Pas sebagai parti yang berpengaruh dan berwibawa.

Oleh itu, sekali lagi nama Dr. Haron disebut-sebut bakal menggantikan beliau sebagai Timbalan Presiden, ia semakin jelas apabila Pas kawasan Kapar, Klang memberi isyarat awal dengan mencalonkan beliau untuk jawatan itu.

Langkah Pas kawasan Kapar berkenaan sudah pasti akan diikuti oleh Pas di kawasan-kawasan lain yang sememangnya mahu seorang tokoh lebih berwibawa berada di kedudukan itu.

Ia disebabkan jawatan Timbalan Presiden Pas dianggap penting kerana ia menentukan siapakah pemimpin masa depan parti itu.

Dr. Haron dianggap calon popular dan kewibawaannya sukar ditandingi oleh pemimpin-pemimpin Pas lain termasuklah Mustafa yang sudah pasti tidak akan menawarkan lagi diri bertanding jawatan itu.

"Jika Hassan Shukri tidak bertanding, sudah pasti ia akan membuka laluan mudah kepada Dr. Haron kerana beliau seorang tokoh yang dhormati," kata seorang pemimpin Pas sebuah kawasan di Pulau Pinang.

      

Pelantikan Dr. Haron sebagai Timbalan Mursyidul Am Pas baru-baru ini dianggap 'isyarat' kepada pemimpin-pemimpin yang lain bahawa beliaulah bakal menerajui parti itu di masa depan.

Pemilihan Pas kali ini juga dijangka akan menyaksikan perubahan bagi jawatan naib presiden yang kini disandang oleh Datuk Dr. Hassan Ali, Azizan Abd. Razak dan Mustafa.

Dua tokoh muda dalam Pas kini disebut-sebut bakal merampas dua daripada tiga kerusi yang dipertandingkan, mereka ialah Setiausaha Agung, Nasharudin Mat Isa dan Exco Kerajaan Negeri Kelantan, Husam Musa.

Utusan Malaysia diberitahu, kedua-dua tokoh muda ini dilihat mempunyai peluang cerah untuk merebut dua daripada tiga kerusi yang dipertandingkan.

Husam yang dianggap pemimpin masa depan Pas Kelantan dikatakan mendapat sokongan padu daripada hampir keseluruhan ahli-ahli Pas.

Mereka berpendapat, Husam perlu dipilih menduduki jawatan itu bukan sahaja kerana kewibawaannya tetapi juga satu penghormatan kepada Kelantan yang menjadi satu-satunya negeri yang diperintah oleh Pas.

Pada masa ini, jawatan tertinggi yang disandang oleh pemimpin Pas Kelantan ialah Mursyidul Am yang dipegang oleh Datuk Abdul Aziz Nik Mat.

"Dalam pemilihan lalu, pemimpin Pas Kelantan ada saingan kerana Terengganu turut dipimpin oleh Pas tetapi sekarang tidak lagi.

"Oleh itu untuk jawatan Naib Presiden ahli-ahli Pas perlu memastikan salah satu slot diberikan kepada Kelantan dan orang yang paling sesuai ialah Husam," kata seorang pemimpin Pas di sebuah kawasan Kelantan.

Walapun nama seorang lagi Exco Kelantan iaitu Nik Amar Abdullah turut disebut-sebut namun beliau tidaklah sepopular Husam yang dianggap menjadi nadi pentadbiran Pas Negeri Cik Siti Wan Kembang itu.

Namun begitu Husam tidak menunjukkan keghairahan untuk merebut jawatan berkenaan kerana memahami kata-kata orang-orang kanannya bahawa 'dalam politik segalanya boleh berlaku'.

Bagaimanapun pemimpin-pemimpin Kelantan tetap menaruh harapan, sebagai 'tuan rumah' muktamar kali ini mereka berharap akan diberi hadiah bermakna oleh perwakilan dengan cara memilih salah seorang daripada mereka menjawat jawatan penting dalam parti.

Nasharudin pula walaupun dianggap tidak begitu berjaya sebagai Setiausaha Agung Pas namun beliau dilihat sebagai antara arkitek muda untuk parti itu.

Tambahan pula Pas ketika ini ketandusan pemimpin-pemimpin berwibawa, mereka tidak mampu lagi untuk bergantung kepada Mohamad Sabu atau Mahfuz Omar yang dilihat semakin menghampiri hari senja dalam Pas.

Apa pun keadaannya, perubahan pasti akan berlaku dalam barisan kepimpinan Pas kali ini dalam usaha parti itu untuk bangkit semula pada pilihan raya umum akan datang. Bagi ahli-ahli Pas terutamanya dari golongan profesional mereka berpendapat, kepimpinan Pas perlu diberi nafas baru dan tidak hanya bergantung kepada ulama semata-mata.

Apa yang berlaku dalam pilihan raya umum lalu tidak mustahil akan berulang jika Pas tidak mahu berubah, oleh itu mahu tidak mahu pemilihan kali ini harus menghasilkan satu barisan kepimpinan yang mantap dan bukan sekadar terus menyaksikan ulama menguasai segala-galanya dalam Pas.





Copyright © 2005 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved