|
Himpunan Mahasiswa Islam (HMI) Indonesia yang dianggotai 500,000 mahasiswa Islam negara itu memohon maaf kepada kerajaan dan rakyat Malaysia pada Rabu atas beberapa insiden pembakaran Jalur Gemilang yang berlaku di republik ini minggu lepas.
Ketua Biro Hubungan Antarabangsa HMI Tubagus Erif Faturahman ketika mengemukakan permohonan maaf itu kepada Duta Besar Malaysia di Jakarta Datuk Hamidon Ali berkata, kejadian itu sangat dikesali dan tidak seharusnya berlaku.
"Kami yang mewakili 152 cawangan HMI di seluruh Indonesia termasuk satu cawangan yang ada di Kuala Lumpur, sangat mengesali pembakaran bendera Malaysia itu.
"Kami sedar membakar bendera itu sangat sensitif terhadap Malaysia dan rakyatnya. Kami sesungguhnya sangat kesal dan memohon maaf," katanya semasa perjumpaan dengan Hamidon di Kedutaan Besar Malaysia di Kuningan di Jakarta.
Beliau berkata tindakan beberapa kumpulan orang termasuk mahasiswa membakar bendera Malaysia itu didorong oleh semangat nasionalisme yang meluap-luap setelah terpengaruh dengan pelbagai laporan negatif media massa di Indonesia berkaitan isu tuntutan bertindih kawasan minyak di Laut Sulawesi.
Tubagus berkata rakyat Indonesia kurang mendapat maklumat yang tepat mengenai kedudukan sebenar masalah itu kerana media massanya tertumpu melaporkan aspek-aspek yang membakar semangat dan sentimen rakyat.
Tunjuk-tunjuk perasaan anti Malaysia berlaku di banyak wilayah negara ini sejak minggu lepas, malah sehingga terdapat kumpulan yang menubuhkan pusat pendaftaran bagi mengumpulkan sukarelawan untuk 'mengganyang Malaysia' jika berlaku perang antara kedua-dua negara berikutan isu kawasan minyak itu.
Indonesia membantah langkah Malaysia memberikan hak mencari gali minyak dan gas kepada syarikat gergasi minyak, Shell, di perairan Laut Sulawesi itu, yang dikenali sebagai Blok ND6 dan ND7 di Malaysia dan Blok Ambalat di Indonesia.
| |
"Setelah merenung isu yang dibesar-besarkan itu, kami terfikir bahawa ia sebetulnya ditonjolkan oleh pihak tertentu untuk mengalih perhatian rakyat Indonesia daripada isu besar sebenar iaitu penentangan rakyat terhadap kenaikan harga bahan api oleh pemerintah sejak 1 Mac," katanya.
Menurut Tubagus, ia juga mungkin merupakan satu manipulasi keadaan untuk membolehkan Tentera Nasional Indonesia (TNI) mewajarkan permohonan bagi mendapatkan peruntukan lebih besar daripada Anggaran Pendapatan dan Belanja Negara (bajet).
Dalam perjumpaan kira-kira sejam itu, Tubagus turut disertai Presiden HMI Syahmud Basri Ngabalin, Setiausaha Agungnya Fajar R. Zulkarnaen dan Rinaldi, anggota jawatankuasa HMI dari Padang.
Syahmud pula memberitahu Bernama selepas perjumpaan itu bahawa HMI akan menyampaikan maklumat yang diperolehinya daripada Hamidon kepada semua anggota pertubuhan mahasiswa yang berpengaruh itu.
"Kami mendokong penuh hasrat pemerintah kedua-dua negara untuk mencari penyelesaian damai terhadap isu itu melalui perundingan, malah kami juga bersedia untuk ke Malaysia bagi mendapatkan penjelasan lanjut," dan menambah kata beliau percaya dengan penyaluran maklumat dan berita yang tepat, suasana tidak akan menjadi lebih tegang.
Sebelum itu, Hamidon antara lain menjelaskan bahawa isu sebenarnya ialah perbezaan tafsiran undang-undang termasuk peruntukan bagi menentukan sempadan maritim dan pelantar benua di bawah Konvensyen Undang-undang Kelautan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCLOS) 1982.
Malaysia tidak sekali-kali mempunyai niat untuk berkonfrontasi dengan Indonesia, apatah lagi untuk berperang atau pun mencaplok (mengambil) wilayah kedaulatan Indonesia, katanya.
|