Idealis Mahasiswa
 
 

Norjuma Kahwin Anak Bekas Perdana Menteri


Hit = [ ]

oleh Syazwan Zakariah
sumber - KOSMO! Ahad 20 Mac 2005

BEKAS pengacara TV3, Norjuma Habib (gambar) mengumumkan bakal menamatkan zaman bujangnya dengan seorang lelaki berpangkat Datuk. Norjuma, 24, dengan tenang menjawab desas desus berita penikahannya dengan anak bekas Perdana Menteri yang masih bujang itu.

Menurut graduan Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dalam jurusan pentadbiran perniagaan ini. perkahwinannya dijadualkan berlangsung pada 23 April ini di tempat kelahirannya, Pulau Pinang. Pada minggu berikutnya pula, majlis persandingan akan diadakan di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur.

JODOH pertemuan di tangan Tuhan. Tiada siapa yang tahu dan dapat menentukan siapa yang bakal menjadi pasangan abadi seseorang kecuali Yang Maha Esa.

Justeru, bekas pengacara TV3, Norjuma Habib punya alasan yang kukuh mengapa dia meminta supaya dirahsiakan dahulu siapa bakal suaminya, biarpun orang di luar sana sudah membuat pelbagai telahan.

"Kata orang, jika makanan sudah berada di depan mata pun, kalau bukan rezeki kita tidak akan masuk ke mulut," kiasnya membuka bicara.

"Bukanlah saya mahu meminta perkara yang buruk terjadi, malah setiap hari saya mendoakan agar segalanya berjalan lancar.

"Cuma ini permintaan bakal suami. Saya harus menghormatinya. Biarlah orang tahu siapa dia selepas majlis akad nikah berlangsung. Pada masa itu, dia sudah menjadi suami saya yang sah dan tiada apa-apa perkara yang perlu disorokkan lagi," ucapnya lembut.

"Orang harus memahami bahawa yang pernah bergelar personaliti televisyen ialah saya, bukan bakal suami," pintanya penuh hemah.

Gadis manis ini ternyata tenang menjawab desas-desus berita pernikahannya dengan anak bekas Perdana Menteri bergelar Datuk yang akan berlangsung tidak lama lagi.

Mengiakan teka-teki yang selama ini menjadi bualan hangat, sambil tersenyum Norjuma atau mesra dikenali Juma memberitahu hari bahagianya dijadualkan berlangsung pada 23 April ini di tempat kelahirannya di Pulau Pinang diikuti dengan majlis resepsi.

Pada minggu berikutnya pula, majlis persandingan akan diadakan di sebuah hotel terkemuka di ibu kota.

"Sebenarnya, saya malu kalau orang tanya lebih-lebih fasal kahwin. Saya rasa tidak manis kalau orang perempuan yang beria-ia bercerita," tambahnya lagi seakan mengelak untuk bercerita lebih lanjut.

Atas alasan itu juga, graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam jurusan pentadbiran perniagaan ini enggan berkongsi kenangan bagaimana dia mula-mula jatuh cinta dengan bakal suami dan tempoh percintaan mereka sebelum mendaki jinjang pelamin.

"Saya rasa lebih elok jika perkara ini dijawab selepas majlis perkahwinan berlangsung. Kalau diceritakan semua sekarang, esok-esok sudah habis modal pula," guraunya.

Meletakkan jawatan sebagai pengacara TV3 pada November lalu, Juma menegaskan bahawa keputusan untuk berhenti kerja dibuat atas kerelaannya sendiri.

"Terus-terang, saya tidak pernah bermimpi untuk menjadi personaliti TV selama ini. Daripada seorang gadis yang menjalani kehidupan seperti orang lain, selepas setahun tiba-tiba semua perlakuan dan gerak langkah saya diperhatikan," katanya mengimbas kembali sejarah pembabitan dalam bidang penyiaran.

Tuah Juma menyinar sebaik saja dia memenangi tempat pertama pertandingan Pengacara Jemputan Nona.

"Seronok memang seronok, tetapi saya tidak boleh menafikan kerjaya itu memerlukan komitmen yang tidak berbelah bagi. Sehingga ada masanya saya tidak dapat memberikan perhatian terhadap kehendak diri sendiri.

"Menyedari diri sedang berhadapan dengan soal hati serta perasaan dan lebih menyulitkan lagi apabila menyentuh tentang masa depan, saya nekad berhenti kerja. Dengan status kerjaya dan sedikit sebanyak tekanan seperti cakap-cakap orang yang didengar, saya gusar jika tersilap membuat penilaian.

      

"Barulah saya tahu bukan mudah sebenarnya untuk membenarkan orang baru hadir dalam hidup kita. Kita bukan saja perlu kenal siapa dirinya malah keluarganya juga. Segalanya harus dikongsi bersama. Saya harus bersiap-sedia untuk memikul tugas sebagai seorang isteri. Bukan senang untuk menyiapkan diri dari segala segi, baik mental mahupun fizika1," ujarnya serius.

Menunjukkan cincin bertatahkan berlian yang tersarung di jari, gadis berusia 24 tahun ini menyatakan bahawa mereka tidak bertunang secara rasmi.

"Cuma saya terima cincin ini sekitar Disember tahun lalu. Bak kata orang, cincin hantar tanda," jelasnya.

Orang baru dalam keluarga berpengaruh

Ditanya pernahkah dia bermimpi untuk bertemu jodoh dengan seseorang daripada keluarga yang berpengaruh, Norjuma menjawab: "Sebenarnya, sejak mula mengenali bakal suami, saya sudah tetapkan dalam fikiran bahawa biar apa pun status keluarganya, saya harus menjadi diri sendiri. Saya tidak mahu menjadi orang lain dan mahu keluarganya menerima saya seadanya.

"Saya sebenarnya tidak pernah memasang angan-angan untuk berkahwin dengan orang kaya atau pun orang berpengaruh. Malah, saya tidak pernah sekali-kali menetapkan jenis lelaki yang harus menjadi suami saya. Saya sentiasa percaya dengan ketentuan Tuhan dan segala yang terjadi itu saya terima dan belajar untuk menerimanya. Cuma satu yang saya selalu harapkan biarlah jodoh saya dengan lelaki bujang.

"Saya sedar akan tanggungjawab dan nama baik yang harus digalas selepas ini. Saya sedar jika tersilap sedikitpun pasti ada pihak yang menunggu untuk memperbesarkannya. Perkahwinan bukan soal main-main. Saya mahu apabila sudah berkahwin, bukan sekadar kita yang bahagia tetapi keluarga juga merestui," terangnya panjang lebar.

Bagaimana pula penerimaan keluarga Juma terhadap bakal suami ?

"Saya bertuah kerana keluarga, terutamanya bapa saya, dari dulu mempercayai setiap keputusan yang sava buat.

"Mereka yakin saya tahu apa yang terbaik untuk diri sendiri dan tidak menghalang asalkan apa yang saya lakukan itu tidak mencemar nama keluarga," cerita Juma lagi.

"Dia lelaki yang bijak"

Biarpun berahsia tentang latar belakang perhubungannya dengan jejaka berusia awal 40-an itu, Juma tidak keberatan berkongsi cerita mengapa dia tertarik kepada bakal suaminya.

"Dia seorang lelaki yang bijak. Maksud saya di sini ialah dia bijak mengendalikan pemikiran saya. Dia boleh menerima cara saya berfikir dan kami boleh bercakap dalam apa jua perkara. Pendek kata, kami mempunyai wavelength yang sama.

"Dia bukan sekadar seorang teman, malah dia juga seorang kawan. Saya boleh bercerita apa saja kepadanya dan dia sentiasa ada di sisi. Romantis ? Entahlah, tetapi yang pasti dia seorang yang cukup santun. Very soft-spoken and matured person," katanya jujur.

Menghitung detik hari bahagia

"Dulu, kalau teman-teman bercerita tentang debaran menunggu hari ijab kabul, saya sering bertanya: apa yang hendak ditakutkan ? Bukankah patutnya seronok ? Tetapi sekarang, barulah saya tahu betapa gemuruhnya. Saspens !" kata anak sulung daripada enam beradik ini.

Bakal bergelar Datin dalam usia yang muda, Norjuma menjelaskan bahawa persiapan yang dilakukannya sama seperti pasangan pengantin yang lain.

"Orang selalu bertanya saya tentang majlis perkahwinan impian. Orang juga membuat tanggapan tentunya majlis perkahwinan saya nanti gilang-gemilang dan besar-besaran. Ingin saya nyatakan di sini bahawa apa yang penting bagi kami ialah majlis itu berjalan dengan lancar dan dapat menggembirakan semua pihak," jawabnya.

"Kalau hendak kata tidak sabar menunggu hari, mungkin juga, sebab rasanya beban yang ditanggung akan terlepas sebaik saja akad nikah berakhir. Debaran vang dirasakan memang Tuhan saja yang tahu. Menunggu baju pengantin siap, kad jemputan yang hendak dihantar lagi...," adunva sambil ketawa.

Sebelum mengakhiri bicara, Juma sempat menitipkan undangan kepada penulis untuk menghadirkan diri ke majlis perkahwinan nanti.

Buat Norjuma dan bakal suami, KOSMO! mengucapkan selamat pengantin baru dan semoga kekal sehingga ke akhir hayat.





Copyright © 2005 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved