|
PETALING JAYA: Suasana perkarangan Mahkamah Majistret, di sini, semalam kecoh apabila beberapa individu dipercayai ahli keluarga Shereen cuba menghalang wartawan dan jurugambar mendekati penyanyi dan pelakon popular era 90-an itu.
Ibu dan adik-beradiknya menyatakan sesuatu kepada media supaya jangan merakam gambar Shereen.
"Sudah!...sudahlah! Dia adik aku. Tak habis-habis kamu semua ni. Jangan ambil gambar adik aku," jerit seorang lelaki sebaik saja jurugambar menyerbu ke arah van polis yang membawanya dan tiga tertuduh lain kira-kira jam 2 petang.
Selain menghalang jurugambar merakamkan gambar Shereen, ahli keluarga artis itu mengeluarkan kata-kata kesat terhadap media.
| |
Beberapa jurugambar akhbar bahasa Cina pula ditumbuk orang tertentu ketika sibuk merakamkan gambar manakala seorang wartawan penyiaran dan jurugambar rancangan 999 terbitan TV3 dimarahi.
Seorang wanita pula yang tidak menghiraukan suasana sesak turut berasak untuk cuba melindungi Shereen yang bergari tangan dan dikawal ketat anggota polis.
Keadaan mulai reda apabila keempat-empat tertuduh dibawa masuk ke mahkamah untuk didakwa.
Bagi mententeramkan keadaan, polis memasang tali rentang bagi menghalang jurugambar dan keluarga semua tertuduh melepasi kawasan berhampiran lokap.
Selepas prosiding, tiada sesiapa menghalang jurugambar merakamkan gambar Shereen yang sempat melemparkan senyuman.
|