Idealis Mahasiswa
 
 

Jakim ada fatwa kes 'Amanat Hadi'


Hit = [ ]

sumber - Cybertrooper UMNO

KUALA LUMPUR 3 Ogos - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hari ini menyangkal keras kenyataan Timbalan Presiden Pas, Abdul Hadi Awang bahawa 'Amanat Haji Hadi' tidak bercanggah dengan Islam.

Ketua Pengarah Jakim, Datuk Abdul Hamid Zainal Abidin berkata, pada pertengahan tahun 80-an Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan pernah membincangkan perkara yang berkaitan dengan isu kafir mengkafir termasuk 'Amanat Haji Hadi' dan telah memutuskan tuduhan mengkafir adalah bercanggah dengan Islam.

Beliau berkata, perbincangan itu dibuat ketika budaya kafir mengkafir sedang hangat berlaku iaitu sebelum berlakunya peristiwa Memali tahun 1985.

Bagaimanapun, beliau mengakui, amanat itu tidak dibincangkan secara khusus tetapi diperbincangkan bersama-sama dengan perkara-perkara yang berkaitan di dalam isu kafir mengkafir.

"Ketika itu saya belum menjadi Ketua Pengarah tetapi telah dilantik menjadi ahli Majlis Fatwa Kebangsaan. Di dalam muzakarah itu semua ahli majlis bersepakat mengatakan 'sesiapa yang menuduh seseorang itu kafir sedangkan orang tersebut Islam maka tuduhan itu akan balik semula kepada mereka yang melemparkan tuduhan'," katanya ketika dihubungi Utusan di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Hadi yang juga Menteri Besar Terengganu bahawa 'Amanat Haji Hadi' tidak bercanggah dengan Islam. Hadi memberi alasan bahawa Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam semasa Tan Sri Musa Hitam menjadi Timbalan Perdana Menteri turut tidak mempertikaikan mengenai amanatnya itu.

Sehubungan itu, Hadi meminta pihak-pihak yang meragui kenyataannya itu supaya merujuk fail-fail lama di Jabatan Perdana Menteri.

      

Mengulas lanjut, Abdul Hamid berkata, kenyataan Hadi itu tidak betul kerana isi kandung amanat itu jelas menuduh UMNO serta Barisan Nasional (BN) kafir dan amanat itu benar-benar mengelirukan masyarakat dan penyumbang kepada perpecahan ummah. "Walaupun tuduhan di dalam amanat itu tidak dilemparkan kepada individu tetapi secara pemahamannya jelas mengkafirkan UMNO dan (BN). Jadi, saya menyeru kepada beliau supaya menarik balik amanatnya ini."

Katanya, beliau hairan Menteri Besar Terengganu itu sanggup mengeluarkan amanat sedemikian iaitu mengkafirkan orang Islam sedangkan menuduh 'orang kafir itu kafir' turut tidak dibenarkan di dalam Islam.

Sementara itu, Imam Besar Masjid Putrajaya, Tan Sri Abdul Kader Talip menyifatkan keengganan Hadi bertaubat menunjukkan dia tidak mahu mengakui kesalahan yang pernah dilakukan sebelum ini.

"Hadi perlu sedar bahawa dosa paling besar adalah meruntuhkan perpaduan umat Islam," katanya.

Abdul Kader juga tidak percaya dengan dakwaan Menteri Besar itu bahawa Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam semasa Musa Hitam menjadi Timbalan Perdana Menteri, pernah memutuskan amanatnya itu tidak bercanggah dengan Islam.

"Tidak mungkin Majlis Fatwa Kebangsaan akan merestui perkara sebegini kerana ia telah memberikan kesan yang buruk kepada perpaduan umat Islam tambahan pula ia melibatkan isu kafir mengkafir.

"Rasulullah pernah bersabda maksudnya, sekiranya seseorang itu menuduh seseorang lain dengan tuduhan kafir sedangkan hakikatnya dia seorang Islam tuduhan itu akan kembali kepada penuduh," tambahnya.

Oleh: SAIFULIZAM MOHAMAD





Copyright © 2005 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved