|
Kepimpinan PAS yang menjadi tajuk perbincangan dalam tulisan ini adalah merupakan suatu peranan sosial yang vital dan menentukan masa depan PAS. Kepimpinan PAS adalah sumber pengaruh yang mencorakkan PAS dan dalam masa yang sama ianya bukan sahaja suatu responsibility dan accountability duniawi semata-mata bahkan sesuatu yang akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak di hadapan Rabbul Jalil.
Rasulullah SAW pernah menegaskan tentang kecelakaan yang akan menimpa seseorang di akhirat kelak apabila dia memikul kepimpinan yang dia tidak sanggup melaksanakannya dengan amanah dan adil di samping menjatuhkan maruah umat. Abu Zarr al Ghiffari sebagai seorang di antara sahabat ulung Rasulullah SAW pernah berkata kepada baginda SAW: “Apa tidakkah anda mahu mengangkat saya menjadi gabenor?" Maka baginda SAW pun menepuk bahu Abu Zarr dan bersabda: "Wahai Abu Zarr, anda lemah. Ini adalah amanah. Ia sumber kehinaan dan penyesalan di hari kiamat kelak, kecuali siapa yang menerima mandat kepimpinan ini dengan betul dan menunaikan segala tuntutannya.” (sila lihat Said Hawa, Fusulun fil al Imrah wa al Amir, Maktabah al Risalah al Hadithah, Amman, Jordan, 1982, hal 10.)
Baru-baru ini saya telah berkesempatan melawat Indonesia dan berpeluang mengadakan temuramah dengan pimpinan Partai Keadilan Sejahtera di kantor (pejabat) mereka. Temuramah ini mudah dilaksanakan kerana rakan saya yang merupakan salah seorang pimpinan pemuda PKS telah memaklumkan kepada beberapa pimpinan yang lain bahawa saya adalah seorang tutor di sebuah IPTA di Malaysia yang mahu membuat kajian tentang PKS.
Temuramah yang diadakan dalam suasana penuh muhibbah itu telah berlarutan sehingga hampir dua jam. Apa yang saya hendak kongsikan bersama pembaca di sini ialah rasa kagum saya dengan pimpinan PKS yang rata-ratanya adalah pimpinan di bawah umur lima puluh tahun. Mereka kelihatan segar dan penuh dengan idealisme perjuangan untuk menggerakkan PKS sebagai sebuah parti politik dominan di Indonesia.
Kepimpinan sebegini rupa adalah model PKS yang telah mendapat 47 kerusi Parlimen Indonesia dalam pilihan raya umum lalu, berbanding hanya tujuh sahaja pada tahun 1999 – satu pencapaian yang amat membanggakan.
Sempena Muktamar Tahunan PAS yang akan diadakan pada pertengahan tahun ini, saya yang difahamkan bahawa tahun ini merupakan tahun pemilihan jawatan dalam PAS berharap agar para perwakilan dapat membuat perubahan besar dengan memilih muka-muka baru sebagai pimpinan parti demi survival PAS yang sekarang saya klasifikasikan sebagai parti yang berada dalam keadaan nazak terutamanya kerana PAS masih belum menemui ubat yang mujarab untuk mengubati luka parah yang dialaminya akibat dari kalah teruk dalam Pilihan Raya Umum yang lalu.
Saya merasakan bahawa sudah sampai masanya pimpinan-pimpinan yang lama dalam PAS seperti Senator Hassan Shukri, Ustaz Azizan Abdul Razak, Datuk Mustapha Ali, Datuk Harun Taib, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman, Datuk Wan Mutalib Embong, Haji Subky Abdul Latif, Ustaz Hashim Jasin dan Tuan Syed Ibrahim Syed Abdul Rahman serta yang sewaktu dengannya mengundurkan diri bagi memberi laluan kepada pimpinan pelapis baru untuk memimpin PAS.
Tetapi janganlah disalah anggap bahawa saya mengharapkan agar mereka ini terus bersara daripada politik sebagaimana yang sering dilakukan oleh pimpinan Umno yang telah bersara. Ini kerana dalam sistem perjalanan dakwah PAS yang saya fahami, tiada istilah persaraan dalam sesuatu perjuangan yang bercorak Islam.
Pimpinan-pimpinan ini masih boleh bertindak sebagai penasihat yang bukan berjawatan eksekutif bagi meluahkan sebarang idea mereka terus kepada pimpinan yang menjadi eksekutif. Jawatan yang bercorak penasihat bolehlah diwujudkan dalam PAS sama ada di peringkat pusat, perhubungan negeri mahupun dewan-dewan atau kawasan. Mereka ini boleh diangkat sebagai penasihat di mana-mana peringkat yang bersesuaian dengan mereka kerana jasa mereka tentunya akan dicurahkan kepada PAS sehingga ke akhir hayat mereka.
Dalam membincangkan perkara ini, perlu diingat bahawa gaya kepimpinan orang secara “command and control” telah berlalu. Mark A. Abramson menegaskan:
“A key question is why the old leadership style of command and control is now under attack in both the public and private sectors. The answer stems from a complex combination of factors: changing organizations, changing works, the changing workplace, changing people, and a changing society. All the factors combine to undermine the traditional hierarchical, position-based leadership still dominant in many organizations, especially those in public sector. A new leadership is now required to more effectively respond to all of those changes”.
(sila lihat Mark A. Abramson, Leadership for the Future: New Behaviors, New Roles, and New Attitudes, Leadership Inc. Developing Leaders for the 21st Century: http://www.leadership.com/leader.htm page 1)
| |
Dalam PKS, pimpinan-pimpinan yang agak berusia akan menduduki Majlis Syuro manakala badan eksekutif pula lebih dipenuhi dengan pimpinan yang muda dan segar. Dr Hidayat Nur Wahid telah meletakkan jawatan sebagai Presiden PKS selepas dilantik sebagai Speaker Majlis Permesyuaratan Rakyat (Parlimen) bagi mengelakkan sebarang “conflict of interest”. Kebanyakan pengkaji politik di Indonesia berpandangan bahawa Dr Hidayat mempunyai masa depan yang cerah untuk menjadi Presiden Indonesia pada penggal hadapan.
Sekiranya saya diberi mandat oleh memilih pimpinan yang baru dalam PAS maka saya tentunya akan memilih Datuk Dr Haron Din sebagai Presiden PAS, manakala Datuk Nik Abdul Aziz dan Datuk Seri Abdul Hadi sebagai Mursyidul Am dan Timbalan Mursyidul Am. Manakala Timbalan Presiden pula ialah Dr Daeng Sanusi Daeng Mariok dengan dibantu oleh Haji Ahmad Awang, Haji Mohammad Sabu dan Haji Husam Musa sebagai Naib Presiden.
Di sini saya ingin menyatakan rasa tidak setuju dengan satu tulisan yang bertajuk “Husam Musa layak sebagai Presiden PAS” oleh Ingrid Erez kerana Husam perlu menjadi Naib Presiden terlebih dahulu sesuai dengan kapasitinya pada masa kini.
Sementara itu, saya merasakan Dewan Ulama PAS akan segar dengan idea yang mantap dan disegani ramai pihak apabila pimpinan seperti Datuk Dr Mahfuz Mohammad dan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menjadi Ketua dan Timbalan Ketuanya.
Dewan Pemuda PAS pula perlu terus diterajui oleh Salahuddin Ayub dengan dibantu oleh muka baru seperti Mujahid Yusuf Rawa sebagai Timbalannya dan Dewan Muslimat PAS pula dipimpin oleh Dr Lo’ Lo’ Ghazali dan Timbalannya pula bolehlah terdiri daripada pimpinan seperti Hajah Naqibah No’ma (puteri Almarhum Ustaz Abu Bakar al Baqir – pengasas Hizbul Muslimin).
Seterusnya Datuk Kamarudin Jaafar pula wajar dilantik sebagai Setiausaha Agung, Datuk Dr Hassan Mohd Ali sebagai Ketua Penerangan dan Dr Abdul Wahab Ismail sebagai Bendahari. PAS boleh mencontohi Parti Keadilan Rakyat yang mempunyai Setiausaha Pengelola ataupun bolehlah dinamakan sebagai Setiausaha Eksekutif PAS yang diisi oleh Nasharudin Mat Isa. Network yang meluas yang ada pada Nasharudin sangat berkesan untuk beliau gerakkan bagi memantapkan PAS.
Manakala pimpinan seperti Dr Hatta Ramli, Ustaz Abdul Ghani Shamsudin, Dr Siti Mariah Mahmud, Ir Amirudin Hamzah (ADUN Anak Bukit Kedah), Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Mujahid Yusuf Rawa, Dr Syed Azman, Datuk Ismail Kamus, Muna ‘Izzah Fadzil (puteri Almarhum Datuk Fadzil Noor), Ir Saari Sungip, Haji Ahmad Ali (bekas ADUN Guar Sanji Perlis yang amat mahir dalam ilmu Usul Fiqh) dan Ir Khalid Abdul Samad serta Haji Taib Azzamuddin sesuai dipilih bagi mengisi jawatan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat.
Pasukan pemikir politik dan pilihan raya PAS yang berkesan yang bijak membaca real politic dan Fiqh Aulawiyyat bolehlah dianggotai oleh pimpinan seperti Haji Mohammad Sabu, Haji Husam, Datuk Kamarudin Jaafar, Dr Hatta Ramli, Mujahid Yusuf Rawa, Dr Syed Azman dan Ir Saari Sungip serta think tank yang terdiri daripada simpatisan tenaga akademik IPTA seluruh Malaysia. Mereka inilah yang mampu ditugaskan untuk menyusun agenda yang berkesan untuk dijadikan garis panduan menggerakkan arus kebangkitan rakyat bersama-sama dengan Barisan Alternatif yang perlu dirapatkan semula.
PAS sebagai sebuah parti politik yang bercita-cita besar untuk memasarkan agenda perubahan dalam negara akan lebih terkehadapan kerana memiliki ramai pemimpin yang pandai membaca isyarat semasa seperti yang telah disenaraikan sebelum ini.
Pelan bertindak ke arah mewujudkan PAS sebagai sebuah parti politik yang berimej sederhana, bersih dan berkebajikan (kepedulian terhadap permasalahan rakyat tanpa perbezaan ras) yang boleh diteladani daripada kejayaan PKS insyaAllah akan terhasil dengan wujudnya gabungan pimpinan PAS yang mantap seperti di atas.
Kepimpinan berversi baru ini insyaAllah akan memimpin, mempengaruhi dan membimbing grassroots PAS dan membuat perubahan yang positif bagi PAS dan diri para pendokong PAS itu sendiri. Mereka tentunya akan berupaya untuk merumus konsep, visi, misi PAS, merancang, memotivasikan para pendokong PAS, memiliki kemahiran pengurusan, pentadbiran, penyelarasan dan sebagainya.
Lebih jauh ia merangkumi keupayaan memanfaatkan keupayaan dan kelebihan sumber tenaga parti yang bersepah, menyelesaikan pertikaian sesama mereka, dan memaparkan imej PAS yang dipimpin oleh mereka. Akhirnya mereka diharap mampu melakukan anjakan paradigma dalam menghadapi real politik yang sentiasa berubah.
Gelombang yang kena pada masanya untuk diletuskan bersama dengan gabungan BA yang padu dan mempunyai jentera yang kuat sehingga ke peringkat peti undi kawasan pilihan raya pasti akan merobah kepimpinan negara di masa akan datang, insyaAllah.
Wallahua’lam bis shawab.
|