|
KUALA LUMPUR: Fazley mungkin bukan jodoh Siti Nurhaliza, kata ibu Fazley, Datin Umi Kalsom Abdul Latif.
Ada kemungkinan penyanyi kacak, terpelajar lagi kaya itu akan menamatkan status bujangnya dengan gadis yang bukan dari kalangan artis.
Ini kerana, sekembalinya dari London baru-baru ini, Fazley ada memberitahu ibunya: "Sekarang sudah masa untuk 'buka mata' (cari calon isteri)."
Kata-kata Fazley itu diceritakan oleh Umi sendiri. Katanya lagi, Fazley turut memberitahu telah bertemu dengan gadis idaman hati. "Tapi dia belum berani memberi apa-apa komitmen kerana mahu menghabiskan Ph.D-nya dahulu," kata Umi.
Cerita-cerita konon Fazley ada menjalin hubungan cinta dengan Siti Nurhaliza baginya tidak lebih hanya gosip yang sudah menjadi asam garam hidup artis.
"Setakat yang saya ingat, Fazley tak pernah pula memberitahu saya apa-apa berkaitan hubungannya dengan Siti Nurhaliza.
"Kerana itu, saya juga tak anggap mereka ada hubungan apa-apa selain kawan sekerja," ujarnya.
Ayah Fazley, Senator Datuk Yaacob Mohamad adalah Setiausaha Kerja Barisan Nasional (BN) yang berasal dari Alor Star, Kedah.
Sebagai ibu, Umi berkata, dia memang mengharapkan Fazley akan memberikannya seorang menantu yang 'sejuk mata memandang' yang bukan sahaja serasi dengan Fazley bahkan juga dapat diterima dengan sepenuh hati oleh seisi keluarga.
"Isteri Fazley adalah menantu sulung saya. Sudah pastilah saya sendiri mengimpikan seorang gadis yang baik yang boleh menjadi contoh teladan yang baik kepada adik-adik Fazley," ujarnya lagi.
Dalam pada itu, Umi tidak menafikan bahawa Siti memang mempunyai ciri-ciri seorang gadis yang baik dan menarik.
"Tapi pokok pangkalnya. Fazley yang nak berkahwin. Biarlah ciri-ciri pilihan dia dulu yang diutamakan," katanya.
| |
Umi bagaimanapun seakan meninggalkan teka teki apabila berkata: "Fazley mungkin akan bertemu jodoh dengan kenalannya di universiti... atau mungkin dengan orang lain yang kita tidak sangka-sangka."
Ditanya lagi sama ada kata-katanya itu bermaksud bahawa Fazley mungkin pernah memberitahu apa-apa mengenai 'kenalannya di universiti', Umi menjelaskan, hal yang lebih serius daripada pergaulan dengan mereka yang sama-sama belajar dengannya tidak pula pernah diceritakan oleh anak sulungnya itu.
"Setakat dia kata kawan belajar sajalah." ujarnya.
Fazley kini sedang melanjutkan pengajian peringkat Doktor Falsafah di sebuah universiti.
Ditanya lagi tentang desas desus yang semakin kencang bertiup bahawa Fazley kelihatan begitu mesra dengan Siti semasa mengendalikan persembahan artis itu di London baru-baru ini sehingga diandaikan oleh beberapa pihak bahawa mereka benar-benar ada 'hubungan yang sengaja dirahsiakan', Umi berkata:
"Dalam situasi ini, kami sebagai ibu bapa tidak sedikitpun teruja dengan hal-hal seumpama itu. Naluri saya berdetik bahawa mereka tak ada apa-apa hubungan.
"Saya percaya, kalaulah benar mereka ada hubungan, tidak ada sebab untuk Fazley merahsiakannya juga daripada saya. Dia selalunya lebih suka berterus terang," katanya.
Kenyataan Umi kemudian menjadi semakin menarik apabila Umi memberitahu: "Saya tak nafikan, selepas tersiar gosip dalam media (Fazley bercinta dengan Siti), ada juga rakan-rakan termasuk dari kalangan VIP yang bertanya saya dan suami, bila lagi nak bermenantukan Siti ?"
Fazley juga, kata Umi, sewaktu baru-baru dulu, sering juga bersungut, "bila lagi gosip dengan Siti akan berhenti ?"
"Tapi sekarang, mungkin dia sudah lali dan nampaknya sudah buat tak kisah."
|