Idealis Mahasiswa
 
 

Mahkamah Bebaskan Kesemua Pelajar 'ISA 7'


Hit = [ ]

oleh Beh Lih Yi
sumber - Malaysiakini.com Apr 22, 05 4:18pm

Selepas empat tahun hidup dalam keadaan yang tidak menentu dan digantung pengajian mereka oleh pihak universiti, hari ini tujuh pelajar terbabit akhirnya dibebaskan oleh pihak mahkamah, daripada tuduhan menyertai perhimpunan haram pada tahun 2001.

Mahkamah majistret Kuala Lumpur membebaskan mereka selepas mendapati pihak pendakwa gagal membuktikan yang mereka telah menganjur dan menyertai perhimpunan haram membantah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di luar Masjid Negara di Kuala Lumpur pada 8 Jun 2001.

Pihak pendakwa juga gagal membuktikan bahawa ianya adalah satu perhimpunan haram, kata Majistret Mohd Khairi Haron dengan disambut oleh tepukan gemuruh para hadirin yang memenuhi dewan mahkamah.

Kesemua pelajar berkenaan, yang kelihatan terperanjat dengan keputusan tersebut, dikerumuni oleh anggota keluarga masing-masing, pemimpin parti pembangkang dan wakil-wakil pelajar yang hadir di mahkamah pagi ini.

Ketika ditemui, pihak pendakwa berkata mereka perlu menunggu arahan seterusnya untuk memutuskan sama ada akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan mahkamah hari ini.

Keputusan dialu-alukan

Dengan dikerumuni para penyokong mereka, pelajar-pelajar ‘ISA 7' itu kemudiannya mengadakan sidang akhbar di luar mahkamah untuk menyatakan penghargaan mereka terhadap badan-badan tempatan dan luar negeri yang terus menerus memberi sokongan kepada mereka sepanjang tempoh empat tahun yang lalu.

Mereka turut mengalu-alukan keputusan tersebut dan berharap akan dapat meneruskan pengajian mereka secepat mungkin.

Tujuh pelajar berkenaan ialah Rafzan Ramli, Helman Sanuddin, Wan Sanusi Wan Mohd Noor, Khairul Amal Mahmud, Nik Noorhafizi Nik Ibrahim, Ahmad Kamal Abdul Hamid dan Zulkefle Idris.

Nik Noorhafizi, 25, dan Ahmad Kamal, 24, adalah dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM); Rafzan Ramli, 28, dan Helman, 28, dari Universiti Teknologi Mara (UiTM); Wan Mohd Sanusi, 29, dan Khairul Amal, 20, dari Universiti Malaya (UM) dan Zulkefle, 25, dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM)

Mereka didakwa di bawah Seksyen 27 Akta Polis pada 19 Julai 2001. Mereka mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan tersebut yang membawa hukuman maksima dua tahun penjara, denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

      

Sejak didakwa, mereka tidak dibenarkan meneruskan pengajian oleh empat universiti tempat mereka belajar. Sebelum ini mereka membuat rayuan kepada Kementerian Pendidikan, tetapi Menterinya ketika itu, Tan Sri Musa Mohamed berkata, mereka boleh diterima semula jika mereka memohon maaf. Bagaimanapun, mereka enggan berbuat demikian.

Perbicaraan‘ISA 7' bermula pada bulan Julai 2003 tetapi ianya telah ditangguhkan sebanyak lapan kali.

Turut hadir di mahkamah hari ini ialah pemimpin-pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) Mohd Ezam Mohd Nor dan Tian Chua, bekas tahanan ISA Hishamuddin Rais dan Penyelaras Kumpulan Hak Asasi Manusia Suaram Chang Lih Kang.

Apa kata mereka

Sementara itu, Helman Sanuddin, salah seorang pelajar‘ISA 7' berkata mereka terperanjat dengan keputusan mahkama pada hari ini kerana tidak menyangka kesemua mereka akan dibebaskan.

Katanya, memandang mereka sudah ‘dihukum’ sebelum didapati bersalah, maka sepatutnya Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) dihapuskan, sambil menggesa Kementerian Pengajian Tinggi supaya membenarkan mereka menyambung semula pengajian tanpa sebarang syarat.

Manakala seorang lagi pelajar ‘ISA 7' – Rafzan Ramli – berterima kasih kepada semua aktivis pelajar kerana sokongan mereka selama ini telah memberi kekuatan kepadanya dan rakan-rakannya untuk menghadapi perbicaraan sejak empat tahun lalu.

Sehubungan itu, beliau berharap Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan melakukan sesuatu ke arah menghapuskan Auku yang menurutnya, melanggar hak kebebasan akademik dan hak pelajar.

Manakala seorang aktivis pelajar, Shazeera Ahmad (foto) yang juga tunang Rafzan turut gembira dengan keputusan mahkamah pada hari ini.

“Saya gembira dengan keputusan tersebut, tetapi ini tidak bermakna perjuangan supaya Auku dihapuskan sudah selesai. Keputusan mahkamah pada hari ini, membuktikan Auku adalah satu undang-undang yang kejam yang mengakibatkan ketujuh-tujuh pelajar terbabit terpaksa melalui pengalaman pahit selama empat tahun,” katanya.





Copyright © 2005 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved