|
Koperasi Al-Hilal (Kohilal) yang dianggota oleh majoriti ahli PAS mungkin menghadapi kerugian RM1.14 juta berikutan penghakiman mahkamah yang diperolehi oleh dua bekas pelaburnya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mac lalu.
Dokumen yang diperolehi malaysiakini menunjukkan bahawa pihak mahkamah telah mengeluarkan penghakiman itu pada 3 Mac kepada Azman Mohamad Isa dan Norzan Suhaili selepas Kohilal dan defenden kedua, Perdana Technology Ventures Sdn Bhd (PTV), gagal menjawab saman sivil dalam tempoh yang ditetapkan.
(Mengikut undang-undang, pihak yang disaman mempunyai tempoh lapan hari dari tarikh ianya diserahkan, untuk hadir di mahkamah dan seterusnya menfailkan pembelaan).
Penghakiman itu mengarahkan Kohilal dan PTV membayar sejumlah RM1.14 juta kepada plantif (Azman dan Norzan) bersama dengan faedah 8% setahun berkuatkuasa pada 31 Oktober 2002.
Pengarah Eksekutif Kohilal, Md Shukor Aziz mengesahkan bahawa koperasi tersebut telahpun dimaklumkan mengenai penghakiman sebelah pihak itu, tetapi berkata ia bercadang memohon untuk membatalkan arahan tersebut dan telahpun melantik peguam bagi mengambil tindakan sewajarnya.
Beliau mengakui, ini adalah penghakiman sebelah pihak yang kedua, yang berjaya diperolehi oleh bekas ahli (koperasi itu), tetapi menegaskan bahawa saman sebelum ini (oleh Abdul Aziz Awang Kechil yang menuntut dipulangkan pelaburannya sebanyak RM38,000) telahpun diselesaikan.
“Yang ini selesai. Ini yang lain pula yang kami akan lawan (di mahkamah),” katanya ketika dihubungi.
Fail permohonan
Peguam Kohilal, Zulkifli Nordin berkata, beliau telahpun menfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi pada 28 April untuk membatalkan penghakiman tersebut.
“Permohonan kami akan di dengar dalam kamar Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi pada 25 Mei. Kami juga memohon mahkamah supaya menangguhkan penghakiman tersebut sehingga permohonan kami selesai didengar,” katanya.
Malaysiakini berusaha untuk menghubungi pegawai atau peguam yang mewakili PTV tetapi tidak berhasil.
Perkembangan terbaru ini dijangka menambahkan lagi ‘pening kepala’ PAS yang telahpun menubuhkan jawatankuasa khas untuk menangani masalah itu berikutan kegagalan beberapa pelaburan Kohilal yang ketika itu diketuai Senator Hassan Shukri yang kini menjadi Timbalan Presiden PAS.
Ahli-ahli PAS yang menjadi majoriti ahli Kohilal, telah membangkitkan perkara tersebut untuk perhatian pucuk pimpinan parti, tetapi sehingga ini dikatakan tidak berbuat apa-apa mengenainya.
| |
Butir-butir perjanjian
Dalam kenyataan tuntutan yang difailkan oleh Azman dan Norzam bertarikah 7 Januari, Azman telah menandatangani perjanjian dengan Kohilal di bawah Prinsip Al- Bai Bithaman Ajil (skim pelaburan mengikut Syariah) bagi membeli 69,845 unit saham Eletel Corporation Inc - sebuah syarikat berpejabat di San Francisco, California di Amerika Syarikat – pada nilai AS$1.50 sesaham.
Perjanjian tersebut – bertarikah 7 Disember 1998 - menyebut bahawa Kohilal akan membeli balik saham-saham tersebut daripadanya pada harga AS$1.80 per unit.
Pada hari yang sama, Norzam juga menandatangani perjanjian yang sama dengan Kohilal, membabitkan pembelian 103,021 unit saham Eletel Corp pada harga yang sama dan akan dijual semula kepada Kohilal dengan kadar keuntungan yang serupa.
Kedua-duanya mendakwa mereka telah membayar sejumlah RM990,000 kepada Kohilal bagi pembelian saham-saham tersebut.
Apabila Kohilal gagal memenuhi syarat-syarat perjanjian tersebut, mereka telah menandatangani satu perjanjian tambahan dengan Kohilal dan PTV pada 9 Disember 2001.
Perjanjian tambahan itu menyebut, antara lain, bahawa sejumlah 1.5 juta saham Eletel shares akan dipindahkan atas nama kedua-dua plantif sebagai penerima faedahnya manakala Kohilal dan PTV akan membeli saham tersebut pada harga RM0.76 seunit sebelum 31 Oktober 2002 – berjumlah RM1.14 juta.
Azman dan Norzam juga mendakwa bahawa kedua-dua defenden tidak mengendahkan tuntutan mereka bagi mendapat RM1.14 juta yang terhutang kepada mereka.
Menurut dokumen itu, Kohilal memohon untuk membatalkan penghakiman tersebut, dengan menyatakan ia tidak boleh berbuat apa-apa berhubung saman itu kerana pertikaian membabitkan koperasi itu sedang didengar oleh Tribunal Koperasi di mana jawatan pengerusi dan setiausahanya belum lagi diputuskan.
Kohilal juga menyebut bahawa pembelaannya (jika permohonan itu berjaya) mempunyai merit kerana Kohilal hanya menjadi ejen kepada PTV yang mendapatkan bantuan kewangan dari plantif melalui pembelian saham Eletel dan pihak plantif bersetuju untuk membiayai pembelian saham itu melalui skim pelabuaran jangka pendek.
Ia jua mendakwa bahawa plantif memang menyedari sepenuhnya yang PTV bertanggungjawab secara langsung dalam menguruskan pelaburan yang diperolehi oleh pihak defenden pertama dari plantif dan kesemua wang yang mereka serahkan kepada Kohilal, telahpun diberi kepada PTV.
Kohilal juga menyebut bahawa pihaknya akan mengambil tindakan pihak ketiga terhadap PTV.
|