Idealis Mahasiswa
 
 

Masa depan pemimpin PAS bergantung pada isu Kohilal


Hit = [ ]

oleh Arfa’eza A Aziz
sumber - Malaysiakini.com Mar 18, 05 6:43pm

Perdebatan yang berterusan di kalangan ahli PAS berhubung isu kegagalan pelaburan Koperasi Al-Hilal atau Kohilal, menyebabkan sesetengah pihak kini berada dalam keadaan ‘amat tidak selesa’ menjelang pemilihan pucuk pimpinan parti itu Jun ini.

Walaupun isu tersebut dianggap sudah lama, tetapi sebelum ini ia tidak pernah dibincangkan secara terbuka oleh ahli-ahli parti itu, menyebabkan setengah pemimpin PAS bimbang kemungkinan mereka akan kehilangan jawatan yang dipegang sekarang.

“Sebelum ini, isu ini dapat diketepikan dengan mudah sewaktu pemilihan parti itu. Tetapi sekarang, pemilihan hanya tiga bulan sahaja lagi dan topik tersebut masih panas diperkatakan di kalangan ahli. Tidak mustahil, isu ini boleh menjejaskan kedudukan barisan kepimpinan parti sekarang,” kata satu sumber yang rapat dengan pucuk pimpinan PAS.

“Kebetulan isu ini timbul ketika pemilihan parti semakin hampir. Sesetengah pemimpin mendakwa wujud konspirasi untuk merosakkan reputasi pemimpin-pemimpin tertentu. Saya tidak tahu sama ada ahli akan mempercayainya, kerana saya sendiripun tidak percaya dengan dakwaan itu,” tambahnya.

Isu kerugian Kohilal dianggap amat sensitif sehingga jawatankuasa yang ditubuhkan oleh parti untuk menyiasat rasa tidak puashati ahli-ahli terhadap koperasi tersebut, enggan membuat sebarang kenyataan mengenai hasil siasatannya itu.

Naib Presiden PAS, Azizan Abdul Razak, yang mempengerusikan jawatankuasa tersebut, juga nampaknya ‘tidak selesa’ apabila ditanya mengenai laporan hasil siasatan yang dikemukakannya kepada jawatankuasa pusat parti itu Ahad lalu.

Sambil bertanya mengapa isu itu tidak habis-habis dilaporkan, beliau berkata: “Awak telah merosakkan reputasi orang. Saya tidak mempunyai jawapan untuk soalan awak. Awak tidak mempunyai lesen untuk membuat orang menjawab (soalan) awak.”

Terpulang pada Abdul Hadi Awang

Sementara itu, seorang pemimpin parti itu, berkata jawatankuasa tersebut telah membuat keputusan tidak akan membincangkan perkara itu secara terbuka dan menyerahkannya kepada Presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk membuat pengumuman seperlunya.

“Pihak jawatankuasa hanya mahu menyiasat. Apa juga kenyataan umum mengenai Kohilal akan dibuat oleh presiden parti. Sehingga ini, mereka hanya mengemukakan laporan yang diberikan oleh Kohilal kepada mereka,” kata seorang pemimpin dari Kelantan.

Manakala ahli Jawatankuasa Pusat PAS, Dr Rosli Yaakob yang juga Pesuruhjaya PAS Negri Sembilan, yakin mereka yang membuat aduan mengenai Kohilal hanya mahu membersihkan sebarang perbuatan salahlaku dalam parti tersebut.

“Ahli-ahli tidak berminat dengan wang Kohilal. Saya tidak fikir kerugian wang ringgit telah mengugat sokongan mereka dalam PAS. Tetapi mereka mengambil berat soal salahlaku itu – sama ada terdapat unsur-unsur penipuan yang mengakibatkan kerugian tersebut.

“Jika terdapat salahlaku, kita mesti mengendalikannya dengan berhati-hati... lagi pula PAS adalah sebuah parti politik yang berasaskan kepada prinsip-prinsip Islam,” katanya.

Dr Rosli juga berkata, ahli dan penyokong parti itu amat mengambil berat sekiranya imej parti itu akan terjejas jika perkara tersebut tidak dikendalikan dengan berhati-hati.

      

“Kita tidak mahu memberi peluang kepada lawan kita. Mereka akan cepat mengambil kesempatan ini untuk mengeksploitasi kelemahan-kelemahan kita,” katanya.

Isu salah pengurusan Kohilal sering dibangkitkan dalam mesyuarat-mesyuarat parti dan ianya dijangka dibangkitkan lagi dalam muktamar PAS pada 1-5 Jun depan.

Ahli lembaga pengarah Kohilal – yan ketika itu dipengerusikan oleh Senator Hassan Shukri, yang kini menjadi Timbalan Presiden PAS – meletakkan jawatan beramai-ramai pada bulan Jun 2002 apabila ahli-ahli tidak puashati berikutan kerugian dalam pelaburan berjumlah RM45 juta.

Kumpulan ulama terjejas

Sementara itu, ada pihak dalam parti itu yang mendakwa, golongan ulama keberatan untuk membincangkan isu tersebut.

“Lagi pula, nama yang sering dibabitkan dengan kontroversi tersebut ialah Hassan, yang juga seorang ulama. Dan kumpulan pro-ulama marah kerana ahli-ahli telah mempersoalkan secara terbuka kredibiliti seorang ulama,” kata seorang ahli politik PAS di Kuala Lumpur.

Beliau juga mendakwa, isu Kohilal turut menjadi penghalang kepada rancangan kumpulan ulama untuk menguatkan kedudukan mereka dalam jawatankuasa pusat parti. Dalam pemilihan parti yang lalu, lebih ramai pemimpin profesional terpilih menganggotainya.

Manakala seorang ahli politik dari Petaling Jaya pula berkata, perbahasan berterusan mengenai dakwaan salah pengurusan dalam Kohilal, telah menimbulkan keraguan terhadap kemampuan pemimpin-pemimpin tertentu, termasuk Hassan.

“Ada mereka yang percaya bahawa Hassan tidak sepatutnya dipersalahkan kerana keputusan tersebut dibuat oleh pegawai bawahannya di Kohilal, yang mengakibatkan kerugiaan berjuta-juta ringgit. Tetapi pihak lain mengatakan Hassan tidak cekap dan kerana itu, tidak layak menjadi pemimpin No 2 parti itu,” katanya.

Bagaimanapun, seorang pekerja parti itu di Kuala Lumpur percaya Hassan tidak mungkin ‘ditewaskan’ oleh usaha-usaha yang mencemarkan nama baiknya.

“Beliau tidak melakukan sebarang kesalahan. Sehingga ini, reputasinya sebagai seorang ulama tidak pernah terjejas. Dan beliau tahu beliau boleh bergantung kepada ahli-ahli ‘yang taat setia’ kepada ulama. Lihatlah nanti, beliau akan melepasi pemilihan parti tanpa sebarang masalah,” katanya.

Dalam perkembangan berasingan, Pengarah Eksekutif Kohilal, Md Shulor Aziz berkata Jabatan Pembangunan Koperasi (JPK) dan Suruhanjaya Sekuriti telah mengesahkan bahawa siasatan masing-masing berhubung kerugian pelaburan tersebut, sudah siap.

“Kini kami menunggu untuk mengetahui hasil siasatan tersebut,” kata Md Shukor ketika dihubungi.

Yang pastinya, bukan sahaja ahli-ahli Kohilal yang berdebar-debar menunggu hasil siasatan tersebut, kerana ianya juga akan menentukan masa depan pemimpin-pemimpin dalam parti tersebut.





Copyright © 2005 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved