|
JOHOR BAHRU: Penyerang bola sepak Kedah, Hasmawi Hassan, mengemukakan tuntutan balas terhadap bekas tunangnya, Norlida Abdul Rahman, 24, termasuk meminta diserahkan kembali semua pemberiannya sepanjang hubungan mereka sebelum ini.
Peguam Hasmawi mengemukakan surat tuntutan balas ke atas Norlida dengan menuntut ganti rugi khas, ganti rugi am dan ganti rugi teruk sebagai jawapan surat tuntutan yang dikemukakan pihak wanita Januari lalu.
Hasmawi juga memberikan alasan menghidap ‘penyakit buatan orang’ sebagai sebab memutuskan pertunangan ketika menjawab surat tuntutan terpinda proses tawaran yang menjadi sebahagian penyelesaian kes di luar mahkamah dikemukakan Norlida.
Peguam Norlida, Shahruddin Osman, berkata pihaknya menerima surat pembelaan tuntutan dan tuntutan terpinda diberikan pihak lelaki hampir tiga bulan lalu pada Isnin minggu lalu.
Beliau berkata, antara tuntutan balas diminta ke atas pihak wanita, termasuk menuntut dipulangkan semua barang yang pernah dihadiahkan kepada Norlida selain wang hantaran RM5,000 untuk majlis perkahwinan.
Antara tuntutan lain termasuk ganti rugi khas, iaitu meminta segala pemberian dipulangkan antaranya pakaian, televisyen, rantai mutiara, gelang kaki emas dan telefon bimbit.
Pihak lelaki juga menuntut ganti rugi am yang akan ditafsirkan mahkamah dan ganti rugi teruk, akibat pernyataan salah atau beranggapan dirinya difitnah.
Shahruddin berkata, selepas menerima surat pembelaan dan tuntutan balas itu, pihaknya akan memfail jawapan kepada pembelaan dan tuntutan balas pihak lelaki pada minggu ini.
“Tindakan itu akan dilakukan segera bagi mempercepatkan proses itu yang sudah lama tergantung, berikutan tindakan mereka mengambil masa hingga kira-kira tiga bulan untuk menjawab tuntutan terpinda kami.
“Berikutan itu, kami kini akan menjalani proses prabicara di hadapan hakim bagi menghalusi kes berkenaan,” katanya.
| |
Menurutnya, selain lambat menjawab tuntutan, tindakan pihak lelaki membuat tuntutan balas dan mengatakan ‘penyakit buatan orang’ sebagai alasan kurang wajar.
“Ini kerana mereka kini perlu membuktikan Hasmawi benar-benar menghidap ‘penyakit buatan orang’, selain membuktikan tuntutan balas dikemukakan mereka.
“Biasanya orang bercinta akan memberikan apa saja kepada kekasih dan apabila hubungan terputus, takkanlah mereka mahu meminta semula barang diberikan. Bukankah itu buruk siku.
“Apa yang menghairankan ialah anak guam saya tidak pernah memungkiri janji untuk mengahwininya, sebaliknya pihak lelaki menghilangkan diri dan membatalkan perkahwinan pada saat akhir.
“Selain itu, anak guam saya menyatakan Hasmawi sendiri menghadiahkan barangan itu dan tidak pernah meminta daripadanya,” katanya.
Harian Metro pada 20 Disember lalu melaporkan Hasmawi membatalkan perkahwinan mereka dengan hanya menghantar Sistem Pesanan Ringkas (SMS), 19 jam sebelum majlis pernikahan mereka, di Felda Ulu Dengar, Kahang, Kluang.
Hasmawi menghilangkan diri sebaik memutuskan pertunangan mereka.
Keadaan itu menyebabkan keluarga perempuan terpaksa meneruskan majlis persandingan dengan menjadikannya sebagai majlis ‘makan-makan’ kerana kad sudah diedarkan.
Pada 2 Februari lalu akhbar melaporkan, Norlida tetap mahu kesnya dibicarakan di hadapan hakim walaupun bekas tunangnya bersetuju untuk selesai di luar mahkamah. Berikutan itu, peguam Norlida mengemukakan tawaran penyelesaian sebahagian kes di luar mahkamah dan pihak lelaki mempunyai tujuh hari untuk menjawabnya.
Menerusi surat itu, Norlida menuntut tiga perkara iaitu membayar kerosakan khas di luar mahkamah, manakala jumlah kerosakan am, teruk dan teladan diserahkan kepada mahkamah serta permohonan maaf secara terbuka menerusi akhbar.
|