|
KUALA LUMPUR: Kata orang, kalau sudah diisytihar bila-bila masa, ertinya TIDAK LAMA!
Itulah yang juga diakui Fazley kepada wartawan BACARIA. Kata Fazley: "Jodoh saya boleh datang bila-bila masa. Saya tak nafikan kalau mungkin jodoh saya dalam masa terdekat ini."
Dan lagi, kata Fazley: "Saya percaya pada cinta pandang pertama."
Satu lagi kata-kata Fazley yang mungkin mengungkit persoalan di kalangan peminat-peminatnya dan media: "Ada kawan-kawan saya yang bercinta dengan orang lain tapi kahwin dengan orang lain."
Pernahkah Fazley sendiri melalui pengalaman itu. Jika ya, dengan siapa?
"Saya tidak nafikan jika jodoh saya datang dalam tempoh terdekat ini. Saya percaya cinta pada pandang pertama. Malah, kawan-kawan saya pun ada yang bercinta dengan orang lain tapi berkahwin dengan orang lain," begitulah kata-kata penyanyi Fazley ketika ditanya mengenai cinta.
"Tapi, apa yang saya hendak tegaskan di sini, saya masih belum mempunyai teman istimewa. Saya tidak bercinta dengan sesiapa.
"Saya hanya 'bercinta' dengan keluarga saja sekarang. Apa yang saya sedang saya fikirkan adalah untuk memberi tumpuan pada kerjaya, pelajaran dan album baru saya yang bertajuk 'Lain...' yang akan dipasarkan awal bulan Mei ini," katanya lagi.
Fazley kemudian mengingatkan dia tidak mahu ditanya mengenai gossip hubungan cintanya dengan Siti Nurhaliza.
BACARIA terbitan 27 April 2005 menyiarkan kenyataan ibu Fazley, Datin Umi Kalsom Abdul Latif yang menyatakan bahawa ada kemungkinan anak sulungnya itu akan mendirikan rumah tangga dengan gadis yang bukan dari kalangan artis.
Fazley sejak beberapa bulan lalu hangat digosip ada hubungan cinta dengan Siti Nurhaliza, terutama apabila mereka bekerjasama menganjurkan konsert solo Siti di Royal Albert Hall, London baru-baru ini.
| |
Menyambung kata-katanya, Fazley berkata, siapalah dia untuk menolak ketentuan jika sudah ditakdirkan bertemu jodoh dalam waktu terdekat.
"Saya terima jika sudah ketentuan Ilahi jodoh saya sudah sampai," ujarnya.
Apabila ditanya mengenai kenalan wanita di universiti yang pernah disebut oleh ibunya mungkin menjadi jodohnya nanti, Fazley memberitahu, dia tidak pernah terfikir untuk menjalinkan hubungan yang serius dengan mana-mana kenalan wanita di universiti tempatnya belajar.
"Saya tidak pernah terdetik untuk memikirkan semua itu, kerana komitmen dengan pelajaran. Apa yang pasti saya mahu menamatkan pengajian saya," katanya.
Ditanya lagi sama ada rakan-rakan rapatnya bertanya mengenai jodohnya, Fazley mengakui pernah diajukan soalan itu selain keluarganya.
"Bila saya melawat rakan-rakan yang telah berkahwin dan mempunyai anak, 'Bila lagi...'. Saya hanya mampu jawab, Insya-Allah, sampai seru, kahwinlah nanti.
"Rakan-rakan saya, tahu sikap saya yang jenis berterus terang. Jadi jika saya cakap tak ada teman istimewa, mereka tak akan tanya lagi. Masing-masing dah tahu perangai saya," ujar Fazley.
Apabila diminta memberitahu ciri wanita idamannya. Fazley yang agak keberatan bimbang jika disalah erti oleh sesetengah pihak, akhirnya 'sporting' memberitahu Wartawan BACARlA ciri-ciri bakal isterinya.
"Pada saya, biarlah wanita itu seorang yang sederhana, punya personaliti dan yang paling penting menghormati keluarga saya. Wanita itu perlu faham bahawa saya ini, seorang 'family man' dan saya rapat dengan keluarga.
"Juga, wanita itu kena terima saya seadanya dan tidak kisah dengan cara saya yang jenis berterus terang serta cara hidup saya yang sederhana. Jangan anggap saya dikenali, saya tak makan kedai mamak dan kedai tepi jalan, saya dan keluarga jenis tak kisah makan di kedai sebegitu. Saya mahu wanita itu terima saya dan keluarga saya seadanya," jelasnya.
|