Idealis Mahasiswa
 
 

Haron Din tarik diri pencalonan timbalan presiden


Hit = [ ]

sumber - Berita Harian

BANGI: Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr Haron Din, sedia menarik diri daripada pencalonan bagi jawatan timbalan presiden menjelang pemilihan parti itu bulan depan, atas alasan kesihatan.

Malah, beliau yang juga Ketua Penerangan Pas turut membayangkan kemungkinan tidak menghadiri Muktamar Pas ke-51 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik), Pengkalan Chepa, pada 1 hingga 5 Jun ini.

Mengakui ia kali pertama beliau berterus-terang mengenai masalah kesihatannya, Haron berkata, kecergasannya terganggu sejak dua tiga bulan kebelakangan ini dan semakin kerap ke Institut Jantung Negara (IJN) bagi menjalani pemeriksaan.

“Minggu ini, keadaan kesihatan saya makin merosot dan tiga kali saya hampir tidak sedarkan diri dan lemah anggota badan hingga terpaksa dipapah selepas menghadiri majlis di Perlis dua (tiga) malam lalu.

“Itu semua tak pernah berlaku sebelum ini,” katanya ketika ditemui di kediamannya di sini, semalam.

Haron, 66, yang pernah menjalani tiga pembedahan pintasan jantung iaitu pada 1987, 1998 dan 2000, diberi cuti sakit tiga bulan oleh IJN sejak akhir Mac lalu dan mungkin berlepas ke California, Amerika Syarikat dalam tempoh terdekat untuk mendapatkan rawatan susulan.

Pada masa sama, Haron terus berpegang teguh kepada pendiriannya tidak akan memegang sebarang jawatan dalam parti jika terpaksa bersaing untuk mendapatkannya.

“Saya boleh ubah pendirian kerana ia bukan wahyu tetapi setakat ini saya tidak berhasrat berebut kalau ada pertandingan, terutama sekali sekarang ada yang memegang jawatan timbalan.

“Ahli Pas kenal saya, saya bukannya orang yang boleh disuruh bertanding, berlaga atau berebut jawatan.

      

“Jawatan adalah amanah yang kalau tak sanggup ditunaikan sebaik mungkin, baiklah kita tarik diri dan kesihatan saya menjadi faktor utama kerana tanggungjawab ini memerlukan kekuatan mental dan fizikal,” katanya.

Dua tahun lalu, beliau mengejutkan perwakilan apabila menarik diri daripada pencalonan jawatan timbalan presiden berikutan berlaku perebutan tiga penjuru antara beliau, Naib Presiden Pas, Datuk Mustafa Ali dan Senator Hassan Shukri yang kemudian memenangi jawatan itu.

Sehingga jam 12 tengah hari semalam, Haron sudah mendapat 13 pencalonan bagi jawatan timbalan presiden, diikuti Hassan (tujuh); Bendahari Pas, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman (empat) dan Setiausaha Agung, Nasharuddin Mat Isa (dua).

Mengulas jumlah pencalonannya setakat ini, Haron menyifatkannya sebagai proses biasa yang tidak menggambarkan sepenuhnya keputusan sebenar kerana keadaan mungkin berbeza selepas perwakilan mengundi.

Sambil mengakui terpaksa menolak banyak jemputan merasmikan mesyuarat Pas kawasan sejak sebulan lalu, beliau berkata, tindakannya itu wajar dilihat sebagai isyarat oleh peringkat akar umbi mengenai keterbatasan pergerakannya.

Mengenai keengganannya merebut jawatan mungkin menghampakan ahli, Haron berkata, masanya sudah tiba bagi beliau mengutamakan kepentingan sendiri terutama dari segi kesihatan berbanding kemahuan orang lain.

“Orang nampak saya sihat tapi mereka tidak tahu saya sering berulang alik ke IJN, malah kini sudah ada petanda saya akan pergi semula ke luar negara (bagi rawatan susulan),” katanya yang bergegas ke IJN sejurus selepas wawancara berkenaan.





Copyright © 2005 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved