Idealis Mahasiswa
 
 

Mufti sepakat Islam Hadhari tidak bertentangan al-Quran


Hit = [ ]

sumber - Utusan Malaysia

PUTRAJAYA 6 Mei - Semua mufti hari ini sepakat memutuskan bahawa pelaksanaan konsep Islam Hadhari di negara ini sama sekali tidak bertentangan dengan ajaran Islam dan al-Quran.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Abdullah Mohd. Zin berkata, konsep Islam Hadhari menggalakkan kepada usaha pembangunan dan kemajuan umat Islam secara menyeluruh dalam aspek ekonomi, politik dan sosial.

"Para mufti berpendapat perkara ini sangat jelas, justeru Islam Hadhari tidak boleh dianggap agama baru atau pendekatan yang sama sekali bertentangan dengan ajaran Islam seperti didakwa oleh parti pembangkang.

"Dakwaan pembangkang bahawa Islam Hadhari tidak mencerminkan ajaran Islam sebenarnya tidak berasas dan para mufti hari ini menolak sama sekali pandangan seperti itu," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan di sini hari ini.

Mesyuarat itu dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Menurut Abdullah, para mufti turut memberi jaminan untuk mengukuhkan pelaksanaan konsep itu di peringkat negeri melalui program-program keagamaan dan pendekatan tertentu kepada masyarakat.

Selepas pelancarannya oleh Perdana Menteri tahun lalu, Pas telah mengkritik konsep Islam Hadhari yang kononnya bertentangan dengan ajaran Islam dan membawa umat Islam negara ini kepada kekufuran.

      

Sehubungan itu, Perdana Menteri menegaskan bahawa masyarakat Islam di negara ini perlu membebaskan diri mereka dari sikap jumud dan membuat tafsiran sempit terhadap ajaran Islam hingga menghalang kepada kemajuan.

Dalam pada itu, Abdullah berkata, dalam mesyuarat hari ini, Perdana Menteri meminta supaya semua mufti memainkan peranan yang lebih besar untuk mengekalkan perpaduan umat Islam di negara.

"Beliau (Perdana Menteri) mahu perpecahan masyarakat Islam global tidak memberi kesan kepada umat Islam di negara, sebaliknya mahu hubungan antara mereka diperkukuhkan lagi.

"Perdana Menteri juga mahu semua mufti memainkan peranan aktif mencegah kemungkaran menerusi pendekatan dan pendidikan keagamaan yang sesuai," tambah beliau.

Sementara itu, Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria berkata, tafsiran sempit terhadap konsep Islam Hadhari merupakan punca utama parti pembangkang menolak pelaksanaannya.

"Kita tengok Pas hanya mentafsir konsepnya sahaja tanpa cuba memahami isi, pelaksanaan dan sama sekali tidak cuba menghayati apa itu Islam Hadhari. Hasilnya, mereka memberi kesimpulan yang tidak benar," katanya.





Copyright © 2005 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved