Idealis Mahasiswa
 
 

PAS NS hanya serah aduan terhadap Kohilal selepas pemilihan parti


Hit = [ ]

sumber - Malaysiakini.com

PAS Negri Sembilan akan hanya meneruskan tindakan lanjut terhadap aduan ahli-ahli terhadap Koperasi Al-Hilal (Kohilal) selepas selesai pemilihan parti bulan depan bagi mengelak wujud keadaan tidak menyenangkan di kalangan pemimpin parti berhubung isu tersebut.

Pesuruhjayanya, Dr Rosly Yaacob berkata walaupun senarai aduan tersebut sudah siap untuk dikemukakan kepada pihak pengurusan Kohilal, tetapi beliau akan hanya berbuat demikian selepas muktmar PAS yang akan menyaksikan pemilihan pucuk pimpinan parti itu.

Katanya, ini kerana beliau tidak mahu niatnya untuk membantu mereka yang kerugian selepas kegagalan pelaburan mereka dalam Kohilal yang dianggotai oleh majoriti ahli PAS, disalahfaham sebagai cuba untuk mencemarkan nama baik pemimpin tertentu.

“Jika saya hantar sekarang... sebelum muktamar... Saya mungkin dituduh cuba mencemarkan pemimpin tertentu dalam parti.

“Ini (penangguhan itu) bagi menunjukkan bahawa tiada sebarang agenda (politik). Ia adalah soal perniagaan semata-mata. Niat saya hanya untuk menyalurkan aduan ahli-ahli secara betul supaya kita dapat mencapai penyelesaian yang positif,” katanya ketika dihubungi.

30 aduan

Katanya, beliau telah menerima kira-kira 30 aduan, kebanyakannya mengenai status pelaburan mereka.

“Sesetengah aduan dibuat oleh waris pelabur yang sudah meninggal dunia. Mereka hanya ingin tahu apa terjadi kepada pelaburan tersebut dan sama ada ia (pelaburan mereka) direkod dengan sempurna dalam buku koperasi berkenaan,” katanya.

      

Menjawab soalan, Rosly berkata setakat ini tidak ada seorang pun pemimpin parti itu yang secara terbuka mempersoalkan keputusannya untuk mengumpulkan aduan daripada ahli terhadap Kohilal.

Bagaimanapun, katanya, apabila isu itu dibincangkan, beliau dapat merasakan wujudnya perasaan tidak selesa, terutama ketika PAS kawasan sedang membuat pencalonan untuk pemilihan parti.

Oleh itu, katanya, beliau mengambil keputusan untuk menyimpan dahulu senarai tersebut dan menyerahkannya kepada pihak pengurusan Kohilal selepas selesai muktamar parti bulan depan.

PAS kawasan kini sedang sibuk bermesyuarat bagi memilih barisan kepimpinan di peringkat masing-masing dan mengemukakan senarai calon bagi jawatan tertinggi parti di peringkat pusat.

Semua jawatan penting terbuka untuk dipertandingkan tetapi sehingga ini tiada ada sebarang pencalonan untuk mencabar presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, yang dijangka mengekalkan jawatannya tanpa bertanding.

Bagaimanapun, timbalannya, Senator Hassan Shukri, yang menjadi pengerusi Kohilal ketika koperasi tersebut mengalami kerugian kerana kegagalan pelaburannya di antara tahun 1996 dan 1999, dijangka dicabar.

Beberapa nama telah dicalonkan untuk menentang beliau di mana ramai yang menjangka ia bakal menyaksikan perebutan hebat bagi jawatan tersebut.

Mendahului senarai calon jawatan timbalan presiden ialah Timbalan Mursyidul Am PAS yang juga Ketua Penerangan parti itu, Datuk Dr Haron Din yang mendapat 14 pencalonan setakat ini. Hassan pula hanya menerima tujuh pencalonan manakala Bendahari PAS, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman mendapat empat pencalonan.





Copyright © 2005 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved