Idealis Mahasiswa
 
 

Al-Qaradawi dedah Sayed Qutb kafirkan Muslim


Hit = [ ]

oleh ASTORA JABAT
sumber - Utusan Malaysia

MINGGU ini penulis masih membincangkan tentang isu pengkafiran dan topik perbincangan yang dipilih ialah Dr. al-Qaradawi Dedah Sayed Qutb Kafirkan Orang Muslim Hari Ini.

Bagaimanapun, sebelum membincangkan topik yang sangat sensasi ini, penulis ingin jelaskan sedikit tentang kedudukan orang Muslim yang mengkafirkan orang Muslim dianggap menjadi kafir menurut beberapa hadis Rasulullah s.a.w.

Apakah orang yang mengkafirkan orang Muslim termasuk ramai ulama masa lalu seperti Imam al-Ghazali dan Ibn Taimiah dianggap terkeluar dari Islam ?

Bagaimana pula beberapa ulama Pas yang terlibat dalam mengkafirkan UMNO dan kerajaan termasuk Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang ? Apakah mereka terkeluar dari Islam ?

Beberapa orang pembaca menghubungi penulis beberapa hari lalu memberitahu bahawa mereka terkejut membaca rencana penulis dalam ruangan ini minggu lepas mengenai ulama mengkafirkan ulama. Mereka pada mulanya menyangka penulis memfitnah ulama, tetapi setelah merujuk kepada kitab-kitab yang penulis sebut sambungan Internetnya dalam rencana berkenaan, mereka dapati bahawa apa yang didedahkan penulis itu adalah benar.

Semua pembaca yang kurang pengetahuan agama perlu mengambil inisiatif seperti yang dilakukan oleh beberapa pembaca yang menghubungi penulis itu setiap kali mereka bermasalah apabila membaca rencana penulis, iaitu dengan merujuk kepada sumber-sumber rujukan Internet yang disebut penulis. Sumber rujukan Internet itu pula seperti yang penulis lakukan minggu lepas disertakan rujukan dalam bahasa Arab dan bahasa Inggeris sekali gus. Jika tiada rujukan bahasa Inggeris penulis akan menyebut rujukan dalam bahasa Arab.

Pada masa akan datang penulis akan berusaha membawa lebih banyak sumber rujukan kitab muktabar yang boleh diakses dari Internet. Bagaimanapun, ini dikecualikan daripada kitab-kitab yang belum ada pihak yang memindah naik ke Internet. Dalam kes tidak ada rujukan dalam Internet, penulis akan menyebut nama rujukan yang ada dalam simpanan peribadi dan mana-mana pembaca yang ingin mendapatkan rujukan-rujukan itu boleh membeli sendiri atau membacanya di perpustakaan.

Minggu lepas penulis berhujah dengan dua hadis Rasulullah yang menjelaskan bahawa seseorang Muslim yang menghukum saudaranya sebagai kafir secara tidak tepat boleh menjadi kafir kerana hukum berkenaan akan terkena ke atas diri sendiri.

Walaupun kedua-dua hadis itu amat jelas, tetapi hukum yang kembali ke diri penghukum itu hanya dari segi dosa. Sedangkan dia masih tetap sebagai Muslim dan tidak menjadi kafir atau terkeluar dari agama Islam di atas perbuatannya menghukum saudaranya sebagai kafir itu. Begitu berpendapat sesetengah ulama yang mentakwil hadis Rasulullah tersebut.

Ini bermaksud semua orang Muslim yang mengkafirkan saudaranya termasuk Imam al-Ghazali, Ibn Taimiah dan ulama-ulama Pas seperti Abdul Hadi Awang bukan menjadi kafir yang tidak sah berimam dengan mereka, haram makan daging sembelihan mereka dan sebagainya, tetapi mereka hanya mendapat dosa besar atas perbuatan mereka mengkafirkan saudaranya itu.

Kerana terdapat pandangan atau fatwa ulama seperti itu menyebabkan para ulama yang terlibat dalam mengkafirkan orang Muslim rasa lega kerana mereka tidak dianggap menjadi kafir seperti orang tidak ada agama atau tidak percaya kepada Allah, tetapi hanya menerima ganjaran dosa besar sahaja. Bagaimanapun, perlulah diingat bahawa pandangan dan fatwa ulama itu bukan muktamad kerana ia hanya merupakan ijtihad mereka. Sedangkan hukum yang disebut oleh Rasulullah dalam hadis-hadis mengenai orang Muslim yang mengkafirkan orang Muslim adalah jelas.

Hukum

Selain itu jika setakat hukum berdosa besar sebenarnya amat berat kerana hukum mengkafirkan orang Muslim dianggap tergolong daripada dosa berperingkat tinggi yang mungkin sama kedudukan dengan syirik kepada Allah.

Maklumlah jika mengambil kira hukum kafir seperti yang dibuat oleh Abdul Hadi bererti berjuta-juta orang UMNO menjadi kafir. Sedangkan jika mengambil kira hukum kafir yang dilabel oleh tokoh al-Ikhwan al-Muslimun (al-Ikhwan) paling pelampau dan ekstrem, Sayed Qutb terhadap umat Islam seluruh dunia, maka sudah tiada seorang pun orang Muslim di dunia ini.

Berpindah kepada isu Sayed Qutb mengkafirkan umat Muslim menurut penjelasan ulama al-Ikhwan terkenal, Dr. Yusuf al-Qaradawi.

Beliau berkata: "Saya tidak berhasrat untuk terlibat dalam pertelingkahan yang saya menghadapi sekarang secara terpaksa dan tiada terdapat apa pun antara saya dan Sayed Qutb kecuali kemesraan, kasih sayang dan penghormatan antara satu sama lain.

"Malah saya menganggapnya sama seperti semua imam dakwah macam Hassan al-Banna, al-Maududi, as-Siba'i, al-Ghazali dan lain-lain. Saya bukan sebaya dengan Sayed Qutb sehingga menyebabkan sesetengah orang menggambarkan ada perbezaan (perselisihan antara dengan Sayed Qutb) seperti yang sering berlaku antara kawan-kawan sebaya.

      

"Sedangkan saya walaupun berada di atas pentas dakwah yang sama, tetapi setiap kami mempunyai lapangan dan gelanggang tersendiri untuk melaksanakan tugas..."

Menurut Dr. al-Qaradawi, beliau terkejut kerana pihak yang tidak bersetuju dengan beliau bila beliau menulis dalam memoirnya menganggap Sayed Qutb dalam peringkat akhir hidupnya mempunyai kecenderungan untuk mengkafirkan umat Muslim hari ini. Dr. al-Qaradawi berkata, beliau telah menggunakan bahasa yang sudah dianggap lunak untuk menceritakan perjalanan pemikiran Sayed Qutb itu. Bagaimanapun, ramai pembaca yang membaca memoirnya itu menuntut beliau membawakan bukti-bukti yang menunjukkan Sayed Qutb mengkafirkan umat Muslim hari ini.

"Tiada cara lain bagi saya kecuali terpaksa menukilkan nas-nas yang jelas daripada tiga buah buku Sayed Qutb yang menunjukkan secara jelas bahawa dia mengkafirkan orang Muslim pada hari ini," katanya.

Kerana terdesak disebabkan ramai pembaca mempertikaikan apa yang disentuh oleh Dr. al-Qaradawi dalam memoirnya mengenai Sayed Qutb menyebabkan beliau terpaksa mendedahkan penyelewengan tokoh al-Ikhwan itu sepenuhnya.

Berdasarkan penelitian penulis, Dr. al-Qaradawi pada masa lalu tidak berani bercakap benar tentang pemikiran Sayed Qutb termasuk berhubung isu pengkafiran orang Muslim hari ini. Tetapi kini beliau terpaksa mendedahkan segala-galanya tentang Sayed Qutb selepas melihat puak-puak pelampau agama yang terpengaruh dengan pemikiran pengkafiran yang dibawa oleh Sayed Qutb melakukan bermacam-macam keganasan di merata negara Arab dan Islam.

Pemikiran pengkafiran Sayed Qutb

Dr. al-Qaradawi berkata, sebenarnya pemikiran pengkafiran Sayed Qutb bukan setakat teori abstrak yang tergantung di udara, tetapi ia pemikiran yang ada kaitan dengan pelaksanaan di alam nyata.

Dr. al-Qaradawi turut menjelaskan tentang seorang penterjemah buku Fi Zilal al-Quran (az-Zilal) yang menterjemah buku berkenaan secara tidak tepat.

Beliau berkata: "Saya masih ingat penterjemah buku az-Zilal ke dalam bahasa Inggeris, Saudara Adel al-Salahi yang pernah berjumpa dengan saya di London.

"Dia memberitahu saya bahawa dia terkejut membaca tulisan saya tentang Sayed Qutb. Dia memberitahu bahawa dia pernah berjumpa dengan Sayed Qutb sebelum mati syahid dan dia diberitahu oleh Sayed Qutb bahawa Sayed Qutb lebih memberi perhatian kepada pendidikan."

Maksudnya Sayed Qutb tidak mengkafirkan orang Muslim kerana dia dalam buku-bukunya termasuk az-Zilal hanya memberi perhatian untuk mendidik mereka.

Dr. al-Qaradawi yang tidak bersetuju dengan kata-kata Adel al-Salahi itu menyoal bagaimana dia boleh menterjemahkan ekspresi-ekspresi Sayed Qutb yang jelas mengkafirkan orang Muslim hari ini.

Adel al-Salahi menjawab, dia tidak menterjemah secara harfiah, tetapi dia hanya menyebut maknanya umum yang mempunyai erti yang hampir dekat dengan makna asal tetapi tidak menepatinya.

Ini bermaksud terjemahan buku az-Zilal dalam bahasa Inggeris yang dilaksanakan oleh Adel as-Salahi adalah tidak tepat kerana dianggap tidak beramanah pula. Di Malaysia buku az-Zilal diterjemah ke dalam bahasa Melayu oleh Allahyarham Datuk Yusuf Zaki Yaakob, tetapi penulis tidak dapat memberi ulasan kerana belum melihat buku berkenaan kecuali kulitnya sahaja.

Dr. al-Qaradawi seterusya menyoal Adel al-Salahi apakah dia fikir perbuatannya menterjemahkan buku az-Zilal itu sebegitu rupa dianggap beramanah ? Apakah akan dilakukan olehnya jika orang mengkritiknya dengan mendakwa dia telah melakukan penyelewengan dalam terjemahan buku az-Zilal itu ?

Dr. al-Qaradawi berkata Adel al-Salahi senyap seketika dan kemudian dia bertanya macam mana penyelesaiannya ?

"Saya tidak ada penyelesaian kecuali bercakap benar dan berhadapan dengan kenyataan secara terbuka. Semua orang boleh diambil dan ditolak percakapannya kecuali Rasulullah yang maksum," jelas Dr. al-Qaradawi.

Ingin mengetahui secara lebih terperinci pandangan Dr. al-Qaradawi tentang Sayed Qutb boleh melayari sambungan ini.

http://www.islamonline.net/Arabic/contemporary/2004/09/article04.shtml

Manakala mana-mana pembaca ingin membaca sepenuhnya buku az-Zilal dalam bahasa Arab boleh melayari sambungan ini.

http://www.khayma.com/islamissolution/iis/zelal/fhrszelal.htm

Sayed Qutb dianggap menjadi imam dan tuk guru kepada puak-puak pelampau agama di negara-negara Arab dan Islam. Dia turut dianggap kafir oleh puak al-Ahbasy, sebuah kumpulan tarikat sufi melampau yang mula bertapak di Malaysia beberapa tahun lalu. Beberapa ulama Wahhabi juga turut mengkafirkan Sayed Qutb.





Copyright © 2005 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved