Idealis Mahasiswa
 
 

Gambar wanita Malaya jadi "hamba seks" tentera Jepun


Hit = [ ]

oleh James Wong Wing On
sumber - Malaysiakini.com Apr 27, 05 6:58pm

Sekeping gambar yang jarang dilihat, tetapi jelas menunjukkan sekumpulan wanita Malaya yang menjadi ‘hamba seks’ tentera Jepun sewaktu Perang Dunia 11 – telah ditemui dan disiarkan untuk pertama kalinya dalam sebuah buku yang ditulis oleh dua ahli sejarah dari Universiti Cambridge.

Gambar tersebut yang disalin semula dalam keadaan yang baik, menunjukkan sekumpulan 10 wanita Malaya itu, memakai baju tradisional Cina dan Melayu, selepas diselamatkan di Pulau Andaman pada tahun 1945. Tiga kanak-kanak juga kelihatan dalam gambar tersebut.

Pulau Andaman, yang terletak di Teluk Bengal, telah diduduki tentera Jepun sewaktu tercetusnya Perang Pasifik.

Walaupun ramai yang mengetahui terdapatnya ‘wanita hamba seks’ tentera Jepun di Malaya dan Singapura, tetapi tiada penyelidikan mendalam dibuat mengenainya.

3,500 pucuk surat

Penulis Christopher Bayly dan Tim Harper berkata, pada tahun 1995, kira-kira 3,500 pucuk surat diterima oleh ‘sebuah parti politik Malaysia’ yang mendakwa adanya ramai ‘wanita hamba seks’ Jepun tetapi “tidak satupun (daripadanya) yang disiarkan”.

      

Buku bertajuk Forgotten Armies - The Fall of British Asia, 1941-1945 (London, Penguin, 2004), turut dipasarkan di Malaysia dan Singapura.

Penulisnya telah memetik sumber-sumber Jepun sebagai berkata, wanita Cina, Melayu, India, India, Korea dan Serani disimpan sebagai “hamba seks” tentera di Jepun yang menduduki Singapura.

Buku itu turut menceritakan mengenai kejatuhan empayar British dari Burma hingga ke Semenanjung Malaya, Singapura, Sabah, Sarawak dan Hong Kong sewaktu tercetusnya Perang Pasifik.

Banyak bab dalam buku itu yang menceritakan mengenai peristiwa dan pengalaman sewaktu pendudukan tentera Jepun di Malaya.





Copyright © 2005 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved