|
Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Dr Datuk Dr Muhamad Zohadie Bardaie masih menjalankan tugas seperti biasa hari ini walaupun terdapat desakan supaya beliau melepaskan jawatannya segera.
Berikutan itu teka-teki berhubung masa depan Dr Muhamad Zohadie selaku Naib Canselor dalam suasana kemelut sekarang sukar terjawab terutama apabila beliau masih mengambil sikap berdiam diri berhubung isu itu yang mendapat liputan meluas media sejak dua hari lalu.
Sumber dalaman UPM ketika dihubungi Bernama berkata Dr Muhamad Zohadie seperti biasa memasuki pejabatnya pagi ini bagi menjalankan tugasan harian melibatkan pengurusan UPM.
Menurutnya, suasana pengurusan UPM juga berjalan seperti biasa walaupun kakitangan UPM menyedari seluruh negara memberi tumpuan terhadap isu berkenaan.
Ketika dihubungi, Dr Muhamad Zohadie berkata pada masa ini beliau belum bersedia memberikan sebarang penjelasan berhubung isu itu.
"Tanyalah Pengerusi Lembaga Pengarah UPM (Tan Sri Dr Zainul Ariff Hussain) tentang perkara ini, saya susah nak jawab," katanya.
Ditanya tidakkah tindakan berdiam diri itu menyukarkan usahanya untuk mempertahankan diri, Dr Muhamad Zohadie berkata buat masa ini tindakannya sekarang adalah sebahagian daripada cara mempertahankan diri.
| |
Desakan letak jawatan
Beliau juga enggan memberitahu sama ada telah menerima secara rasmi arahan untuk melepaskan jawatannya daripada Lembaga Pengarah.
Isu peletakan jawatan itu bermula apabila akhbar semalam melaporkan bahawa Lembaga Pengarah UPM telah mendesak Dr Muhamad Zohadie supaya meletakkan jawatan yang dipegangnya kini.
Desakan itu dikatakan dibuat pada mesyuarat tergempar lembaga itu, Rabu lalu tanpa kehadiran Dr Muhamad Zohadie walaupun beliau selaku ahli jawatankuasa kanan lembaga berkenaan.
Menurut laporan akhbar, Dr Muhamad Zohadie tidak dijemput kerana mesyuarat berkenaan bertujuan bagi membincangkan tindakan terhadapnya yang didakwa telah mengeruhkan hubungan UPM dengan Kementerian Pengajian Tinggi.
Semalam, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Dr Shafie Salleh memberi jaminan sebarang keputusan yang dibuat berhubung kedudukan Dr Muhamad Zohadie akan mengambil kira kepentingan universiti itu dan negara.
Shafie berkata menteri mempunyai kuasa untuk memecat dan melantik Naib Canselor tetapi keputusan itu bergantung kepada nasihat Lembaga Pengarah Universiti.
Sehingga kini Shafie belum dimaklumkan keputusan LPU berhubung isu itu.
|