Idealis Mahasiswa
 
 

Penjenayah minat konsert Inul


Hit = [ ]

Oleh Nazarali Saeril (nazarali@hmetro.com.my)
sumber: Harian Metro Edisi KL Online 7/5/2005

PETALING JAYA: Seorang penjenayah warga Indonesia yang ditahan selepas memecah masuk dan merompak sebuah rumah dihuni seorang profesor di Kampung Melayu Subang Tambahan, di sini, 4 Mei lalu, mendakwa dia memasuki negara sejak 7 April lalu semata-mata mahu menonton konsert dangdut Inul Daratista.

Penjenayah berusia lingkungan 30-an itu memberitahu dia masuk ke negara ini mahu menonton konsert penyanyi berkenaan di Stadium Merdeka, pada 1 Mei lalu dan tidak mengaku menganggotai geng pecah rumah antarabangsa yang berulang alik ke Indonesia semata-mata meraih hasil haram.

Dipercayai, lelaki terbabit serta tiga lagi anggota kumpulannya menggunakan kaedah ‘masuk ke negara ini dan rompak’ sebelum pulang semula ke Indonesia dengan membawa pulang hasil lumayan dan kembali apabila sudah ‘kekeringan’.

Pemeriksaan mendapati penjenayah terbabit masuk ke negara ini menggunakan jalan sah berdasarkan dokumen pengenalan dirinya yang ditemui.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan Abdul Rahman Ibrahim, berkata lelaki terbabit ditahan sekumpulan penduduk selepas gagal melarikan diri sejurus keluar dari rumah dihuni profesor berkenaan yang baru dirompaknya.

“Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi itu, lelaki terbabit bersama tiga rakan jenayahnya memotong mangga sebelum membuka pagar belakang rumah profesor berkenaan.

“Geng terbabit menceroboh ke sebuah bilik yang dihuni dua anak profesor sebuah universiti di Selangor itu dan mengejut mereka daripada tidur,” katanya ketika ditemui di pejabatnya, di sini, petang semalam.

      

Menurut beliau, seorang daripada penjenayah bersenjatakan parang mengacukan senjata ke arah mangsa dan mengarahkan mereka tidak membuat bising.

“Kedua-dua anak profesor, seorang wanita berusia 20 tahun dan seorang lelaki 13 tahun, dibawa ke ruang tamu dan diikat tangan menggunakan wayar elektrik.

“Profesor berumur 54 tahun sedang tidur di bilik lain, terjaga dan cuba memeriksa bunyi bising tetapi terus ditawan penjenayah. Isterinya yang berusia lingkungan 40-an juga ditahan dan mereka berdua diikat dengan wayar sama,” katanya.

Selepas kira-kira dua jam menggeledah, penjenayah menemui pelbagai barangan kemas serta wang tunai berjumlah kira-kira RM38,000 dan terus melarikan diri.

“Bagaimanapun, penjenayah tidak sedar dua lagi anak lelaki profesor, masing-masing berumur 17 tahun dan 18 tahun, berada di bilik lain. Kedua-dua mereka terjaga selepas mendengar bising.

“Sejurus keempat-empat anggota geng terbabit cuba lari, kedua-dua anak profesor itu menyerbu dan bergelut dengan penjenayah,” katanya.

Tiga penjenayah dapat meloloskan diri daripada serangan kedua-dua anak profesor berkenaan tetapi salah seorang daripada mereka gagal.

“Penjenayah dan kedua-dua remaja itu bergelut dan melibas parangnya untuk melarikan diri,” katanya.

“Bagaimanapun, jiran yang terdengar jeritan itu membantu dan menahan penjenayah kira-kira jam 4.45 pagi,” katanya.





Copyright © 2005 Idealis Mahasiswa, All Rights Reserved