|
Secara asasnya, ulama' merupakan golongan yang menguasai dan memahami secara terperinci ilmu-ilmu teras Islam serta memahami Islam sepertimana yang difahami oleh generasi para sahabat dan mereka juga mampu menyelesaikan masalah yang berkaitan dengan perkara agama. Definisi ini telah diberikan oleh Abdul Karim Khatib dalam kitabnya Tafsir Al qurani lil Quran.
Imam Muhammad bin Ahmad Qurtubi dalam tesisnya Jami’ Liahkam al-Quran pula menyebut golongan ulama’ merupakan manusia yang takut kepada kudrat Allah Subhanahu wataala.
Al Quran secara tegas telah menjelaskan ketinggian martabat golongan para ulama’. Antaranya perintah Allah supaya manusia memberikan ketaatan kepada mereka seperti termaktub di dalam surah an nisa’ yang bermaksud “Wahai orang yang beriman taatilah Allah, taatilah rasul dan orang-orang yang memerintahi urusan kamu (ulil amri). (surah an nisa’ ayat 59).
Ibnu Abbas dan Imam Ibnu Qayyim telah berpendapat bahawa maksud (ulil amri) pada ayat ini ialah ahli fiqah dan ahli agama (ulama’).
Di dalam al-Quran istilah ulama secara jelas disebut pada dua tempat, iaitu:
"Tidakkah mereka yang musyrik sedar akan kebenaran dan tidaklah menjadi satu keterangan kepada mereka bahawa pendita agama Bani Israel mengetahui kebenaran al-Quran." (surah Asy-Syuara’ ayat 197)
"Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut kepada Allah daripada kalangan hambaNya hanya orang yang berilmu, sesungguhnya Allah Maha Pengasih lagi Maha Pengampun." (surah Fathir ayat 28)
Walaupun surah Asy-Syuara’ berkaitan dengan Bani Israel, ia menunjukkan bahawa seseorang diiktiraf sebagai ulama apabila memiliki ilmu pengetahuan yang luas dan mendalam khususnya ilmu fatwa. Ayat kedua menjelaskan seseorang dikatakan mencapai tahap ulama apabila memiliki rasa 'khasyyah' yang bermaksud 'takut dan cinta yang tinggi kepada Allah SWT serta sentiasa memelihara hubungannya dengan Allah.
Imam Muhammad Ar Razi Fakhruddin dalam tafsirnya dalam mentafsirkan ayat 28 Surah Faathir menyebut bahawa sesungguhnya orang yang alim lebih tinggi darjatnya daripada ‘abid (ahli ibadah). Kemuliaan seseorang itu terletak kepada ketaqwaannya kepada Allah, ketaqwaan itu pula datangnya melalui ilmu yang benar. Berdasarkan Firman Allah dalam surah al-Hujurat ayat 13.
“Sesungguhnya orang yang paling mulia disisi Allah diantara kamu ialah orang yang bertaqwa.”
Ada hadis yang menjelaskan mengenai beberapa ciri-ciri ulama dan hampir keseluruhannya mengulas mengenai akhlak dan keperibadian serta sikap terhadap perkara hak dan batil dan sikap terhadap pemerintah.
Hadis Riwayat Ahmad menyatakan, "Gambaran ulama di muka bumi adalah seperti bintang di langit yang memberi petunjuk dalam kegelapan di daratan dan lautan. Apabila bintang berkenaan hilang, maka ditakuti manusia akan tersesat jalan."
Ulama’ merupakan cerminan masyarakat dan juga pemimpin ummah. Sesiapa yang sentiasa bergaul dengannya bertambah kebaikannya dan mendapat manfaat daripadanya. Seorang sahabat pernah bertanya kepada Rasulullah SAW mengenai keutamaan dan kemuliaan seseorang ulama yang mengamalkan ilmunya berbanding orang yang semata-mata digelar ulama tanpa didukung oleh keluasan ilmunya.
Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya keutamaan dan kelebihan seorang yang alim berbanding seorang ‘abid (ahli ibadah) adalah seperti kelebihanku berbanding orang yang paling rendah antara kamu. Sesungguhnya Allah, malaikat, makhluk di langit dan di bumi, malah semut di dalam lubang dan ikan di laut sentiasa memohon keampunan untuk orang lain (ulama selalu membimbing umat ke arah kebaikan). (Hadis Riwayat Imam Tarmizi)
Ketinggian dan kemuliaan kedudukan seorang ulama sebagaimana yang dijelaskan dalam hadis di atas ternyata bahawa seseorang ulama mempunyai penguasaan ilmu agama yang tinggi dan mendalam. Mereka juga menjadi cermin dan pemimpin umat dalam menegakkan agama Allah, mereka tegas menegakkan yang hak dan menyanggah perkara yang batil yakni bertentangan dengan dasar agama.
Kedudukan ahli ilmu adalah tinggi dan mulia disisi agama. Maka dengan sebab itulah ulama disebut sebagai pewaris para nabi, malah Rasulullah menyebut dalam sebuah hadis yang bermaksud: "Muliakanlah ulama kerana sesungguhnya mereka adalah pewaris Nabi. Barang siapa yang memuliakan ulama sesungguhnya mereka memuliakan Allah dan Rasul-Nya." (Hadis Riwayat Iman Khatib dari Jabir).
Berdasarkan hadis berkenaan istilah ulama tidak perlu lagi ditambah seperti ulama-cendekiawan kerana ulama memang mempunyai ciri-ciri kecendekiawanan Muslim yang memahami dengan baik al-Quran, as-Sunnah dan ilmu syariat. Ini ditambah pula dengan ketakwaan dan keperibadian yang mulia.
Ulama adalah pewaris Nabi-Nabi. Dengan makna lain, nilai dan martabat mereka di sisi Allah sangat tinggi. Kehilangan mereka adalah suatu kerugian yang amat besar kepada umat seluruhnya. Ulama adalah sumber rujukan umat dalam menetapkan sesuatu hukum. Tanpa ulama’ seluruh ummat manusia akan menghadapi kesukaran apabila berhadapan dengan persoalan yang memerlukan penyelesaian hukum mengenainya.
Selain itu, dalam aspek ini pengajaran dan ilmu yang disampaikan kepada masyarakat oleh seorang alim ulama’ mencerminkan takwanya kepada Allah. Dalam aspek ini, Said Hawwa dalam kitabnya 'al-Assasu fi-Tafsir (1985) mengupas pendapat Ibnu Mas'ud yang menyatakan bahawa ulama bukanlah semata-mata orang yang mempunyai banyak ilmu tetapi juga orang yang banyak 'khasyyah' (takut dan cinta yang tinggi) kepada Allah".
| |
Pada zaman keagungan Islam dahulu, peranan dan komitmen ulama sangat luas merangkumi berbagai aspek kehidupan. Selain mereka itu pakar dalam bidang akhlak, akidah dan syariah, mereka juga adalah cendikiawan dan ilmuan yang tiada tolok bandingnya seperti dalam bidang sains dan teknologi.
Pada zaman ini, umumnya para ulama lebih menumpukan peranan mereka secara khusus dalam bidang keagamaan, iaitu akidah, akhlak dan syariah. Ini mungkin disebabkan oleh corak kehidupan sekarang telah menerima pakai sistem kehidupan yang berpaksi kepada modenisasi, disamping adanya campur tangan dan pengaruh sekularisme yang cenderung untuk memisahkan agama dari urusan keduniaan. Keadaan ini sedikit demi sedikit telah menjadikan peranan dan komitmen para ulama itu semakin terhad dan mengkhusus. Wal hal mereka itu mempunyai potensi yang cukup besar dalam memberikan sumbangan ke arah pembangunan bangsa dan negara.
Lebih menyedihkan lagi, sejak zaman kebelakangan ini peranan dan fungsi ulama bukan sahaja makin disempitkan dalam bidang-bidang tertentu sahaja, malah setengahnya cuba memperkecilkan kewibawaan mereka. Mungkinlah ini suatu petanda kehancuran umat sebagaimana yang pernah dibayangkan oleh Nabi kita Muhammad Sallallahu `alaihi wasallam.Membelakangi ulama bererti kita secara tidak langsung telah membelakangi Islam. Membelakangi Islam sekaligus membelakangi Allah dan RasulNya.
Di akhir abad ini, dunia Islam telah kehilangan beberapa orang ulama besar yang berwibawa. Kehilangan mereka itu membawa bersama hilangnya sejumlah khazanah ilmu-ilmu Islam yang termaktub di dada mereka. Inilah suatu kerugian yang sangat besar kepada dunia Islam. Kehilangan mereka itu sukar untuk dicari ganti.
Maka dengan sebab itu, sementara ulama masih ada, perhatian yang wajar perlu diberikan kepada mereka itu, bukan sahaja dengan cara membuka minda kita untuk menerima dan mendengar nasihat dan komitmen ulama, tetapi juga merangka pelan ke arah menyebar luaskan khazanah ilmu yang pernah mereka sumbangkan dan tinggalkan untuk pembangunan umat serta mewujudkan generasi pelapis ulama bagi menghadapi kehidupan yang mendatang.
Persoalannya sekarang wujudkah apa yang disebut sebagai ulama jahat ?
Dalam hubungan ini, Rasulullah menyebut dalam beberapa hadisnya bahawa ada orang yang berilmu, mengetahui halal-haram, mengetahui hak dan batil dan memahami al-Quran serta al-Hadis sanggup mencampur-adukkan perkara yang hak dan yang batil. Inilah yang dikatakan ulama yang menyeleweng.
Rasulullah pernah ditanya oleh seorang sahabat, "apakah amal perbuatan yang paling utama?" Baginda menjawab, "Teman yang menolong kamu apabila kamu susah dan mengingatkan kamu jika kamu melakukan kesalahan." Sahabat berkenaan bertanya lagi, "manusia yang bagaimana yang paling buruk ?" baginda menjawab, "ulama yang selalu membuat kerosakan." (Hadis Riwayat Jamaah)
Dalam hadis yang lain, Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Rosaknya agama disebabkan tiga perkara, iaitu faqih (ahli agama) yang jahat, pemimpin yang zalim dan orang yang bodoh tetapi mahu berijtihad." (Hadis Riwayat Dailami dari Ibnu Abbas)
Imam al-Ghazali dalam Ihya Ulumuddin memberi peringatan mengenai wujudnya ulama yang membinasakan dirinya sendiri tetapi ingin menyelamatkan orang lain. Ini bermaksud ulama jenis ini berusaha menyeru kebaikan dan mencegah kemungkaran untuk orang lain, tetapi secara diam-diam mereka sendiri mengejar kedudukan dan harta duniawi.
Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud: "Ketika seseorang dicampakkan ke dalam neraka jahanam pada hari kiamat dan bertaburan isi perutnya, ahli neraka lain bertanya: "mengapakah anda jadi begini sedangkan anda sentiasa menyuruh kami berbuat baik dan mencegah kemungkaran ?" Dia menjawab: "Ya benar saya menyuruh kamu semua berbuat baik tetapi saya tidak melakukannya dan saya yang melarang anda tidak melakukannya tetapi saya sengaja melanggarnya." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Beberapa peringatan berkenaan menunjukkan wujudnya ulama yang tidak menepati ciri-ciri ulama. Apa yang penting ialah ilmu dan penghayatannya serta niat seseorang. Ulama yang berhati bersih, jujur, teguh pendiriannya dan mengutamakan Allah serta RasulNya tetap berpegang teguh pada prinsip dan amanah. Mereka memahami bahawa Allah melaknat mereka jika taraf ulama yang ada pada diri mereka diselewengkan.
Ini berdasarkan firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya orang yang menyembunyikan apa yang telah kami turunkan dari keterangan yang jelas dan petunjuk setelah kami nyatakan kepada manusia dalam al-Quran, mereka dilaknati Allah dan dilaknati semua makhluk yang dapat melaknati mereka." (al-Baqarah - 159)
Ulama yang menunjukkan sikap jujur, bersih dan ikhlas demi menegakkan kalimah Allah dan syiar Islam, mereka inilah yang termasuk dalam golongan yang disebut sebagai "Ulama warasatul anbiyaa".
Bagaimanapun, ulama yang mengingkari perjanjian dengan Allah serta mempunyai niat untuk kepentingan diri sehingga sanggup menggadaikan ilmunya yang tinggi perlulah kembali ke pangkal jalan. Mereka perlu menghayati sabda Nabi Muhammad yang bermaksud: "Seorang ulama yang menggunakan ilmunya untuk mencari keredhaan Allah, maka segala sesuatu akan tunduk dan kagum kepadanya. Tetapi jika dia menggunakan ilmunya hanya untuk mendapatkan harta dunia, maka hilanglah sesuatu daripadanya." (Hadis Riwayat Dailami)
Semoga ada kebaikan dan kebajikan di atas penulisan yang kerdil ini.
Syukran. Terima kasih.
Disediakan :-
Mohamad Zarifi bin Hj. Mohamad Daud
Gombak, Selangor
almashoori_82@yahoo.com
|