|
Nampak setiap kali ada sidang akhbar selepas program Islam Hadhari, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi terus berdepan dengan soalan mengenai pihak pembangkang yang cuba mengelirukan orangamai mengenainya.
Dalam sidang akhbar selepas merasmikan pelancaran penghayatan Islam Hadhari peringkat Wilayah Persekutuan di PWTC Ahad Perdana Menteri telah menarik perhatian mengenai sesetengah negara Islam yang masih tidak maju walaupun ia ada segalanya.
Beliau bertanya, "Mengapa sesetengah negara Islam tak maju walaupun ada kerajaan, ada Perdana Menteri dan Presiden dan mereka berpegang kuat kepada rukun iman dan rukun Islam. Mesti ada sebab negara itu tidak maju."
Menurutnya kebanyakan negara Islam yang berkenaan didapati terus lemah kerana tidak mempunyai keupayaan dan ilmu yang diperlukan bagi membangunkan negara walaupun Tuhan melimpahi negara-negara berkenaan dengan pelbagai kekayaan semulajadi dan dan khazanah alam.
"Jadi kalau dalam negara ada banyak kekayaan tapi kita tak tahu guna kekayaan sebab kita tak ada ilmu, maka nikmat yang tuhan bagi itu tak akan membawa apa-apa kebaikan kepada kita," katanya.
Abdullah berkata, walaupun kehidupan di Malaysia jauh lebih baik hasil daripada kepimpinan negara sejak dahulu lagi hingga negara semakin maju tetapi beliau mahu terus mempertingkatkan lagi kemajuan itu.
Katanya parti pembangkang terutama PAS sengaja enggan menerima konsep Islam Hadhari yang diperkenalkan oleh kerajaan kerana bimbang pengaruh mereka di kalangan rakyat terus merosot.
Berikutan itu pemimpin pembangkang berterusan menolak Islam Hadhari sambil menghebahkan kononnya pendekatan itu sebagai satu mazhab dan fahaman agama baru yang cuba menyaingi agama Islam, katanya.
"Pembangkang tak pernah bersetuju dengan kita. Apa yang kita buat pasal Islam, semua dia orang nak perlekeh.
| |
"Walaupun banyak kali dijelaskan bahawa Islam Hadhari bukan ajaran baru, bukan agama baru, bukan mengetepikan Islam tetapi mereka buat pekak, tak peduli dan terus bercakap dengan orang di kampung bahawa ini adalah bertentangan dengan Islam. Sebenarnya mereka tak faham," katanya.
Menurutnya, parti pembangkang masih berusaha untuk memastikan Islam Hadhari terus diketepikan bagi menjayakan agenda sempit pembangkang walaupun jelas konsep Islam Hadhari adalah murni iaitu bagi meningkatkan keupayaan umat Islam di negara ini.
Perdana Menteri berkata, walaupun ada tentangan di kalangan pembangkang yang juga terdiri daripada umat Islam, beliau berharap umat Islam di negara ini memahami sepenuhnya matlamat Islam Hadhari yang bertujuan membina kecemerlangan umat Islam.
Menurutnya, umat Islam perlu menyokong Islam Hadhari kerana mereka yang bukan Islam di negara ini juga dapat menerima nilai-nilai yang ada dalam pendekatan itu, yang langsung tidak bertentangan dengan agama-agama lain di negara ini.
Abdullah berkata pendekatan Islam Hadhari, yang turut diasaskan daripada tuntutan al-Quran, dilaksanakan khas mengikut acuan rakyat berbilang kaum di negara ini tanpa meminggirkan kepentingan mana-mana pihak.
"Kita lakukan mengikut kedudukan geo-politik dan rakyat kita. Itu yang penting, bukan kita nak tegak sesuatu pada hari ini dan esok kita akan berkelahi dan bergaduh dengan orang lain.
"Itu bukan menunjukkan kebijaksanaan dan itu juga bukan hikmah. Kita buat sesuatu dengan cara semua orang boleh terima dan tidak ada masalah yang berkaitan dengannya," katanya.
|