|
KUALA LUMPUR, 8 Mei (Hrkh) - Muktamar Tahunan PAS yang akan berlangsung di Pusat Tarbiyah Islam Kelantan (Putik) kali ini bakal menyaksikan kemungkinan satu perubahan yang akan berlaku dalam saf kepimpinan PAS.
"Gaya pencalonan rata-rata apa yang dilapor media termasuk Harakahdaily, semacam ada satu keinginan ahli-ahli mahukan satu perubahan dari segi kepimpinan.
"Tetapi adakah akan berlaku keadaan itu ianya bergantung kepada pemilihan nanti," tegas Setiausaha Agung PAS, Ustaz Nasharuddin Mat Isa ketika mengadakan sidang media selepas Mesyuarat Ahli Jawatankuasa PAS Pusat di Markas PAS Pusat, Taman Melewar sebentar tadi.
Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai senario keinginan ahli terhadap pemilihan saf kepimpinan PAS menjelang Muktamar Tahunan PAS di Putik pada 1 hingga 5 Jun ini nanti.
Ustaz Naharuddin mempengerusikan sidang media hari ini berikutan ketiadaan Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awanbg yang terpaksa pulang awal bagi menziarahi kematian di Terengganu.
Ustaz Nasharuddin berkata, jika dilihat kepada laporan media gaya pemilihan pada kali ini sememangnya ada menampakkan kehendak kepada golongan muda di ketengahkan sebagai saf pimpinan.
Bagi PAS Sendiri, senario pencalonan orang muda katanya tidak melanggar apa-apa perkara berhubung perlembagaan parti.
Malah katanya, PAS menerima apa sahaja pencalonan kerana mengikut Perkara 14 1 (A) Perlembagaan PAS, setiap ahli PAS berhak memilih dan dipilih.
"Itu hak yang kita jamin dalam PAS," kata beliau.
| |
Bagaimanapun ketika diminta, mengulas lanjut mengenai pemilihan dan calon-calon, beliau berkata soal calon sepenuhnya di bawah Jawatankuasa Pemilih yang dipengerusikan oleh Ustaz Yahaya Othman.
Sementara itu dalam mengulas mengenai persiapan muktamar, Ustaz Nasharuddin berkata, sehingga kini semua persiapan berjalan lancar.
Ujarnya, jawatankuasa pemilih telahpun menerima pencalonan secara rasmi dari beberapa kawasan yang telah selesai bermesyuarat.
Katanya, pencalonan dibuka sehingga 15 Mei ini, dan kemudiannya penama yang dicalonkan akan diminta memberi respon terhadap pencalonan sebelum 27 Mei.
"Jika calon yang dinamakan tidak membalas surat tawaran dari Jawatankuasa Pemilih, mereka dianggap menerima tawaran bertanding, tetapi jika mahu menarik diri, mereka perlulah mengemukakan surat penarikan diri," kata beliau.
Menurut Ustaz Nasharuddin, selain pemilihan pucuk pimpinan parti, fokus utama Muktamar kali ini ialah memperkemaskan parti menghadapi pilihanraya ke-12.
Muktamar PAS kali ini akan menyaksikan pemilihan di peringkat jawatan kepimpinan dalam parti. Ketika ini, kebanyakan kawasan sedang sibuk menyelesaikan mesyuarat agung pemilihan peringkat kawasan dan memilih calon bagi kepimpinan pusat.
Kebiasaan muktamar tahunan PAS, muktamar di peringkat dewan-dewan akan turut diadakan dua hari atau sehari lebih awal dari Muktamar penuh.
Bagi Dewan Pemuda PAS Pusat, muktamar peringkat dewan akan diadakan di Hotel Perdana, sementara Dewan Muslimat PAS Pusat di Putik dan Dewan Ulama PAS Pusat di Perdana Resort masing-masing pada 1 dan 2 Jun ini. - mks.
|