|
Walaupun terdapat laporan-laporan mengenai keadaan kesihatan Datuk Dr Haron Din yang semakin serius, namun ia tidak menghalang PAS kawasan untuk terus mencalonkan beliau bertanding jawatan timbalan presiden dalam pemilihan parti itu bulan depan.
Dr Haron yang kini memegang jawatan Timbalan Mursyidul am dan Ketua Penerangan PAS, telah dicalonkan oleh empat lagi PAS kawasan, menjadikan jumlahnya meningkat kepada 25 pencalonan setakat ini.
Kedudukan itu meletakkan Dr Haron di depan, meninggalkan penyandang jawatan itu sekarang, Senator Hassan Shukri setakat ini hanya mendapat sembilan pencalonan.
Difahamkan, hampir 100 daripada 170 PAS kawasan sudah mengadakan mesyuarat masing-masing, tetapi menurut laporan Harakahdaily, 49 daripadanya telah memutuskan untuk mengumumkan pencalonan masing-masing.
(Menurut pegawai parti itu, kira-kira 50 lagi PAS kawasan yang telahpun bermesyuarat, tidak mengumumkan pencalonan masing-masing. Manakala kawasan-kawasan lain mempunyai sehingga 15 Mei ini untuk bermesyuarat bagi memilih jawatankuasa masing-masing dan membuat pencalonan bagi barisan kepimpinan pusat).
Bergantung pada kesihatan
Bercakap kepada malaysiakini, Dr Haron berkata, beliau amat menghargai kepercayaan ahli-ahli parti itu untuk mencalonkannya bagi jawatan naib presiden, tetapi menegaskan apa juga keputusannya nanti, adalah bergantung kepada keadaan kesihatannya.
Dr Haron, 65 tahun, yang sudah dua kali menjalani pembedahan pintasan jantung, enggan menyatakan sama ada pengakuannya mengenai keadaan kesihatannya sekarang, sebagai isyarat tidak langsung, kepada ahli-ahli supaya berhenti mencalonkannya untuk jawatan tersebut.
“Terpulanglah kepada mereka bagaimana hendak mentafsirkan laporan tersebut. Mereka (kawasan) bebas berbuat apa yang mereka mahu... tidak siapa yang mengarahkan apa yang mereka boleh atau tidak boleh buat. Saya hanya menyatakan yang benar: Saya tidak sihat,” katanya ketika dihubungi.
Ditanya sama ada beliau secara rasmi tidak mahu memegang jawtan tersebut walaupun jika dia menang tanpa bertanding, Dr Haron memang diketahui tidak sukakan pertandingan, berkata beliau tidak dapat menjawab soalan itu, sambil menambah, keadaan kesihatannya akan menjadi faktor penentunya nanti.
“Hanya kesihatan yang boleh menjawab soalan tersebut. Buat masa ini, saya dinasihatkan jangan memikul tanggungjawab berat. Keadaan saya adalah serius sekarang...dan saya perlu memakai mesin untuk memantau jantung saya sepanjang masa,” katanya.
Sementara itu, seorang pemimpin PAS yang tidak mahu disebut namanya, berkata pencalonan yang banyak untuk Dr Haron bagi jawatan nombor 2 parti itu, mencerminkan kesungguhan ahli-ahli untuk melihat perubahan dalam pucuk pimpinan parti.
“Suka atau tidak suka, barisan kepimpinan sekarang terpaksa bertanggungjawab terhadap kekalahan parti dalam pilihanraya umum tahun lalu. Kita tidak boleh lari...Ahli-ahli percaya jika barisan kepimpinan ditukar, akan wujud ruang untuk (kemajuan) parti,” katanya.
Pilihan akar-umbi
Sementara itu, pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Dr Rosly Yaakob berkata pencalonan yang berterusan untuk Dr Haron bukan sesuatu yang menghairankan bagi mereka yang rapat dengan ahli akar umbi parti.
“Berdasarkan pergaulan saya dengan ahli akar umbi parti, ramai yang mahu beliau mempelopori (kemajuan) parti. Saya fikir beliau memiliki banyak sifat-sifat positif. Mengenai kesihatan beliau...dalam PAS kita bekerja selagi kita mampu berbuat demikian..
| |
“Kepada ahli biasa PAS, mereka tidak menerima masalah kesihatan sebagai alasan. Bila anda sakit, anda dapatkan rawatan, bila anda sihat, anda bekerja untuk parti. Jadi itulah salah satu sebab mengapa saya tidak hairan, soal kesihatan, tidak menjejaskan pencalonan beliau,” katanya.
Tetapi jika Haron – yang telah menyatakan beliau mungkin tidak sihat untuk menghadiri muktamar parti bulan depan – tidak dapat bertanding, maka seorang lain perlu dicari untuk membantu presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang, menerajui parti itu.
Menurut spekulasi, antara enam yang dicalonkan bagi jawatan tersebut, calon terbaik ialah bekas Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Halim Abdul Rahman, yang juga ahli Parlimen Kubang Kerian MP (lihat rajah).
Seorang pekerja parti berkata, Halim mempunyai peluang cerah berbanding penyandangnya Hassan yang kini dianggap tidak popular kerana dikaitkan dengan kerugian pelaburan koperasi Kohilal, sewaktu beliau menjadi pengerusinya dahulu.
“Saya rasa mereka yang mencalonkan Dr Haron, akan memilih Datuk Halim (yang juga seorang ulama) bagi menggantikan Hassan. Hassan kini tidak popular!” katanya.
“Beliau akan mendapat sokongan padu dari Kelantan kerana Menteri Besar dan juga Mursyidul Am PAS, Datuk Seri Nik Abdul Aziz Nik Mat telah memberi restu untuk Datuk Halim bertanding jawatan tersebut,” katanya.
Bagaimanapun, ada sesetengah pihak yang mempersoalkan kredibiliti Halim terutama apabila beliau telah di kesampingkan dalam senarai calon PAS negeri dalam pilihanraya umum lalu.
“Tentu ada sebabnya mengapa Datuk Nik Aziz berbuat demikian. Jika beliau tidak cukup bagus untuk (bertanding di peringkat) negeri, bagaimana beliau hendak memegang jawatan tinggi parti di peringkat pusat?” soal seorang pemimpin PAS dari Selangor.
Sementara itu, berdasarkan laporan Harakahdaily, bagi jawatan naib presiden, penyandangnya Datuk Dr Hassan Ali mendahului pencalonan (25), diikuti seorang lagi penyandang jawatan itu, Datuk Mustafa Ali dan Husam Musa masing-masing mendapat 23 pencalonan.
Seorang lagi naib presiden sekarang, Azizan hanya mendapat lapan pencalonan. Calon wanita pertama untuk jawatan tersebut, Dr Siti Mariah Mahmud mendapat empat pencalonan.
|