|
Pada dasarnya penyakit merebak dan menanah di dalam parti Umno iaitu kempen memburukkan peribadi dan politik wang tidak boleh tidak turut sama menjangkiti parti Pas. Sebagai parti yang bersaing dan berkawan, Pas tentu turut sama mempelajari dan mengikut apa yang Umno buat walaupun perbuatan itu keji dan bertentangan dengan naluri perlembagaan parti berkenaan.
Mungkin angka elemen itu tidak sampai satu peratus! Namun begitu, (meskipun angkanya kurang satu peratus) ia sudah cukup untuk memberi isyarat dan peringatan awal kepada Pas agar berhati-hati dengan gejala milik mutlak Umno itu.
Pas seharusnya mengawal kejadian ini daripada membesar dan merebak dan seterusnya membudaya organisasi berkenaan. Kata orang, sebelum cacing naik ke mata sesuatu yang bijaksana perlu dilakukan.
Ibarat bakteria, jika sudah ada unsur-unsur demikian Pas harus mencari satu vaksin untuk menghapuskannya sesegera boleh. Pas tidak boleh tunggu lama kerana budaya atau unsur itu akan merebak dengan cepat. Sikap membiarkan dan menganggap ianya perkara kecil (simplistik) mungkin satu hal yang silap dan membahayakan Pas.
Perlu disedari kempen ala Umno dan politik wang akan menjatuhkan imej Pas yang dilihat sebagai suci selama ini. Fenomena itu juga akhirnya akan menjadikan Pas dua kali lima sahaja dengan Umno, dan natijah buruknya menyebabkan Pas dengan Umno akan tertera sama tinggi dan sama rendah di kanta mata umum.
Untuk menolak hal ini tidak boleh lagi. Unsur-unsur berkenaan sudah mula jelas menetas dan wujud di dalam Pas. Sebagai contoh ialah apa yang berlaku di kawasan Ketereh, Kelantan. Apa yang berlaku di Ketereh menjelang muktamar kawasan itu 21 April lalu cukup mencemas dan membimbangkan.
Kawasan Ketereh adalah kawasan yang menjadi tumpuan dan perhatian hangat di Kelantan. Kawasan ini di antara kawasan melibatkan pertandingan jawatan tertinggi khasnya Yang Dipertua. Boleh dikatakan setiap kali diadakan pemilihan kawasan ini tidak pernah rehat daripada ‘mengambil bahagian’ dalam pemilihan Yang Dipertua.
Pada muktamar 21 April lalu sekali lagi Wan Ismail ditentang, bagaimana pun beliau menang dengan kelebihan 64 undi menewaskan Ariffin Ab. Rahman bekas pensyarah Biro Tata Negara (BTN).
Ada beberapa sebab kenapa ia berkeadaan begitu dan menjadi tumpuan. Di antaranya kerana Ketereh terletak dalam kawasan orang kuat Umno, Datuk Annuar Musa. Sebagai orang kuat Umno, Annuar Musa seboleh-bolehnya mahu keadaan Pas di Ketereh ini paling lemah sekali di Kelantan.
Bukan itu sahaja, sejak kehadiran Wan Ismail di Ketereh secara tidak langsung hegemoni Umno di kawasan itu mula menurun. Dengan pendekatan dan juga stail bersahaja Wan Ismail beliau berjaya memantapkan Pas. Annuar Musa sendiri pernah menerima kesan kekuatan Pas itu apabila tumpas dalam pilihan raya umum 1998 di Parlimen Peringkat.
Situasi itulah menyebabkan Umno juga turut menyelia dan memantau perjalanan Pas Ketereh. Bagi Umno kejayaan dan juga program yang diperkenalkan Wan Ismail sangat ditakuti. Justeru itu kalau boleh Umno mahu memancung leher politik mastermind Pas itu dan biarlah orang yang berhidung tinggi dan tidak berprinsip menerajui Pas kawasan itu.
| |
Ada beberapa unsur yang dikenal pasti menunjukkan Umno mencampuri urusan muktamar Pas kawasan itu. Sekurang-kurangnya kalau tidak secara langsung elemen berkenaan menyubur di luar di sepanjang kempen menjelang muktamar berkenaan.
Misalnya politik wang dikatakan berlaku secara berleluasa yang mana tidak pernah terjadi sebelum ini. Setiap perwakilan didatangi oleh orang tertentu yang menawarkan ganjaran dan meminta pilih si anu dan jangan pilih si anu.
Selain itu kempen memburukkan batang tubuh juga berlaku baik secara lisan atau pun surat layang. Paling teruk dikecam ialah Wan Ismail seolah-olah satu pun anggota Wan Ismail tidak ada yang baik. Begitu juga penggunaan nama Tok Guru Nik Aziz. Kononnya Tok Guru mahukan orang itu dan tidak suka kepada orang ini.
Dan paling jelas lagi bahawa Umno juga turut sama mencampuri ialah apabila jentera kempen untuk orang-orang tertentu terdiri daripada orang yang sama menjadi jentera kempen Umno pada pilihan raya lalu. Situasi ini sungguh anih dan menghairankan! Apakah orang ini yang bersikap talam dua muka semasa pilihan raya lalu?
Satu unsur yang cukup jelas bahawa ada elemen Umno ialah apabila ada tepuk sorak pada muktamar berkenaan. Dewan muktamar jadi riuh dengan tepukan dan sorakan apabila nama-nama calon tertentu diumumkan. Unsur berkenaan jelas ianya datang dari Umno kerana ia tidak pernah berlaku sebelum ini. Budaya Pas ialah takbir dan tahmid.
Selain itu kempen ala Biro Tata Negara (BTN) yang selama ini diguna pakai oleh Umno termasuk mengugut, menggertak, dan diplomasi juga digunakan di sepanjang kempen muktamar berkenaan. Apakah kerana calon yang menentang Wan Ismail itu bekas penceramah BTN maka segala ilmu di BTN dipraktikkan bagi menjamin kemenangan?
Berdasarkan hakikat itulah, kemungkinan pemilihan Pas kawasan Ketereh sudah diresapi oleh Umno tidak dapat diketepikan. Dalam erti kata lain Umno sudah mencampuri urusan pemilihan di Ketereh. Hakikat ini dikuatkan lagi dengan hujah, bahawa tokoh Umno sendiri khabarnya tidak senang duduk pada sepanjang muktamar itu berjalan.
Khabarnya di pihak Umno begitu suka kalau Wan Ismail Wan Jusoh dikalah kerana dengan kekalahan itu ia boleh melemahkan jentera Pas di kawasan itu.
Mungkin hal ini tidak disedari oleh ahli Pas Ketereh bahawa mereka telah dimonitor oleh pihak tertentu. Perkara ini berlaku dalam diam dan unsur Umno meresap secara perlahan-lahan.
Adalah wajar kalau Pas Kelantan memerhati perkara ini. Pas perlu bertindak sesuatu bagi mengelakkan sesuatu yang lebih buruk daripada berlaku. Sekiranya budaya kempen seperti itu, politik wang menjadi subur di dalam Pas dan pengaruh Umno terus meresap, kemungkinan seluruh sendi organisasi Pas akan menjadi lemah-longlai.
Apa yang berlaku di Ketereh bukan sahaja suatu tragedi kepada Pas tetapi adalah peringatan awal bahawa Umno sedang berusaha keras untuk mendarah daging ke dalam Pas apabil parti itu gagal untuk melemahkan Pas dari luar secara mendada. Suatu hakikat Umno telah berjaya menyusup ke dalam Pas tidak boleh dipandang remeh apa lagi dilupakan begitu sahaja.
|