|
ALOR STAR: Perebutan kerusi Timbalan Presiden Pas menjelang muktamar ke-51 parti itu di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik) bulan depan semakin panas dengan pencalonan Naib Presidennya, Azizan Abdul Razak, bagi jawatan itu.
Sebelas daripada 15 kawasan Pas di Kedah yang selesai bermesyuarat 1 Mei lalu mencalonkan Pesuruhjaya Pas Kedah itu untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden yang kini disandang Hassan Shukri.
Berikutan pencalonan Azizan itu, jawatan Timbalan Presiden parti berkenaan kini terbuka dan setakat ini mereka yang sudah dicalonkan termasuk Hassan; Bendahari Pas, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman; Setiausaha Agung, Nasharuddin Mat Isa dan Ketua Penerangan Pas, Datuk Dr Haron Din.
Perlembagaan Pas menetapkan pencalonan minimum untuk melayakkan pertandingan jawatan timbalan presiden ialah dua.
Haron yang menerima 13 pencalonan sehingga 5 Mei lalu, dilaporkan menarik diri daripada pertandingan itu atas alasan kesihatan dan memilih pendekatan kompromi kerana tidak mahu berebut jawatan.
Sumber berkata, Pas kawasan yang mencalonkan Azizan yang juga Ahli Majlis Syura Ulama parti itu ialah Jerlun, Kubang Pasu, Padang Terap, Pokok Sena, Pendang, Langkawi, Sungai Petani, Padang Serai, Sik, Kuala Kedah dan Alor Star.
| |
Bagaimanapun, Pas Kawasan Jerai, yang diketuai Azizan sendiri tidak mencalonkan sesiapa bagi jawatan timbalan presiden sementara Pas Kawasan Kulim-Bandar Baru menamakan Hassan, manakala Pas Kawasan Baling dan Merbok masing-masing mencalonkan Haron.
Azizan ketika dihubungi berkata, beliau bersedia "menghadapi sebarang kemungkinan" pada pemilihan kali ini.
"Saya tidak boleh mengulas kerana keputusan muktamad mengenai pencalonan hanya akan diketahui Ahad ini, kita akan lihat nanti. Saya juga belum dimaklumkan mengenai perkara itu," katanya.
Ditanya sama ada beliau bersedia bertanding bagi jawatan berkenaan, Azizan berkata, beliau akan membuat keputusan mengenainya apabila sampai masanya.
Beliau menyangkal dakwaan pencalonannya itu akan memberi laluan kepada ‘anak Kedah’ memegang kembali kepemimpinan tertinggi Pas selepas kematian Datuk Fadzil Noor.
"Pertandingan dalam parti adalah perkara biasa, jawatan naib atau timbalan presiden tidak menjadi soal kerana akhirnya kita berkhidmat untuk parti," katanya.
|