|
PENGALAMAN menjalani penggambaran di Madinah dan Mekah merupakan kenangan yang tak mungkin dapat dilupakan oleh pelakon, Wardina Saffiyah Fadlullah, 26, atau lebih dikenali sebagai Wardina.
"Berlakon di sana cukup menyeronokkan, cuma cuaca terlalu panas sehingga mencecah 45°C membuatkan saya muntah-muntah dan cirit-birit," kata Wardina yang turut membawa anak kecilnya, Amna Nafeesa Ikhwan, 1, bersamanya.
Bagaimanapun dia bersyukur kerana sepanjang berada di sana hanya dia dan krew saja yang mengalami masalah kesihatan, anaknya sihat sehingga pulang ke Malaysia.
Oleh kerana suhu terlalu panas Wardina akui dia terpaksa menjalani penggambaran drama Cinta Madinah dalam keadaan yang agak memenatkan.
Katanya, jalan cerita yang menarik membuatkan dia bersetuju untuk membintangi drama bersiri 20 episod arahan Mohd Jailani Mohd Yusof itu.
| |
Cinta Madinah yang dijangka akan ditayangkan pada bulan Ramadan di RTM turut akan ditayangkan di seluruh negara Arab Saudi melalui Channel Iqra' pada bulan Ogos ini.
Cinta Madinah yang diadaptasikan daripada novel karya Abu Hassan Morad mengisarkan tentang warga Malaysia yang sudah berkahwin berhijrah ke Madinah kerana mempunyai masalah keluarga telah berkahwin lagi di Madinah.
Bagaimana kesudahannya nantikan tayangan Cinta Madinah yang turut dibintangi oleh Shukery Hashim, Datuk Sarimah, Hamidah Wahab, Zul Yahya, Norzazleen Zulkifli, Zulkifli Zain, Normala Omar, Ismail Din dan M Rajoli.
Sementara itu, Wardina yang sepatutnya hadir ke majlis Riang Ria Pureen tidak muncul hingga ke akhir majlis memohon maaf kerana ketidakhadirannya itu.
"Saya tak berniat buat begitu tapi kerana keadaan kesihatan saya ketika berada di Madinah membuatkan saya tiba lewat di Malaysia, sekalipun saya minta untuk hadir tapi pihak Pureen kata dah lewat dan saya mohon maaf atas apa yang berlaku," katanya lagi.
|